Tag: #LNF

  • Lagu “BPD” untuk Tingkatkan Kesedaran Mengenai Gangguan Mental oleh LNF

    Lagu “BPD” untuk Tingkatkan Kesedaran Mengenai Gangguan Mental oleh LNF

    Kumpulan muzik indie funk pop, Late Night Frequency (LNF), terus mengukuhkan peranan mereka dalam memperjuangkan kesedaran kesihatan mental dengan pelancaran single terbaru mereka bertajuk “BPD” atau Borderline Personality Disorder. Lagu ini, yang juga akan dimuatkan dalam album penuh mereka yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini, bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan mengurangkan stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental.

    “BPD” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi juga merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran yang lebih besar, di mana LNF berusaha untuk membuka perbincangan tentang gangguan mental yang semakin memberi kesan kepada individu muda, khususnya di Malaysia. Lagu ini mengisahkan tentang Borderline Personality Disorder, satu bentuk gangguan mental yang memberi kesan kepada kestabilan emosi dan hubungan interpersonal. Liriknya ditulis oleh Dr. Moja Salim, vokalis utama LNF, yang juga seorang doktor perubatan berkelayakan dan pernah bertugas di Jabatan Psikiatri, Hospital Serdang. Pengalaman Dr. Moja dalam bidang psikiatri memberikan perspektif yang lebih mendalam dan realistik dalam menterjemahkan gejala-gejala BPD dalam bentuk muzik.

    Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, kes-kes berkaitan gangguan mental, termasuk BPD, semakin meningkat, terutama dalam kalangan golongan remaja dan dewasa muda. Data menunjukkan bahawa 14% daripada kes individu yang mencederakan diri sendiri yang dimasukkan ke hospital adalah mereka yang mengalami tanda-tanda BPD. Dengan latar belakang perubatan yang dimiliki oleh Dr. Moja, LNF berharap lagu ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat dalam mengenali simptom BPD dan seterusnya mencari jalan penyelesaian serta bantuan profesional.

    Sebagai langkah lanjut dalam kempen kesedaran ini, LNF telah mengadakan sesi wawancara bersama pakar psikiatri terkenal, Dr. Aida Harlina, dari Hospital Cyberjaya. Wawancara ini disiarkan melalui platform media sosial LNF, di mana Dr. Aida membincangkan lebih lanjut mengenai gejala BPD, cara untuk mengenal pasti gangguan mental, serta pentingnya mendapatkan sokongan dan rawatan yang betul. Selain itu, LNF turut berkerjasama dengan beberapa rakan industri termasuk Taja Meet Uncle Hussain, Hazeeq Dataran Kertas, dan Fai Fugo, yang turut membantu dalam penghasilan lagu ini.

    Pada 1 Februari 2025, muzik video rasmi bagi lagu “BPD” telah dilancarkan di Jupiter Station SS15, Subang Jaya. Acara tersebut juga merangkumi persembahan oleh artis seperti penulis/pelukis K.W., Dataran Kertas, dan Insiden Ruang Legar, serta perkongsian mengenai terapi oleh Puan Mashitah, seorang Psikologi Klinikal di Hospital Cyberjaya. Muzik video yang diarahkan oleh Hashra Shamsudin ini adalah hasil kolaborasi antara Late Night Music, Haru Biru Films, Frames Matter, dan Juicy Brain. Muzik video ini kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Late Night Frequency.

    Dengan pelancaran lagu “BPD” dan muzik video ini, LNF berharap dapat membawa kesedaran yang lebih luas tentang gangguan mental dan menggalakkan lebih ramai individu untuk tidak merasa terasing dalam menghadapi masalah mereka. Melalui seni dan muzik, LNF berusaha untuk menghapuskan stigma yang berkaitan dengan kesihatan mental dan membuka ruang untuk perbincangan yang lebih terbuka di kalangan masyarakat.

    Artist: Late Night Frequency

    Composer: Dr. Moja Salim & Ringoedahar

    Author: Dr. Moja Salim

    Mixing/Mastering: Taja Mustapha

    Producer/Co-Producers: Taja Mustapha, Dr. Moja Salim, Hazeeq Azhar