Siri jelajah AJL40 Meet & Greet Yang Ke-40 memulakan langkah dengan penuh meriah apabila menerima sambutan luar biasa daripada peminat muzik tempatan di Kuantan City Mall pada 20 Jun lalu. Program yang dianjurkan sempena meraikan 40 tahun perjalanan dan revolusi muzik Malaysia menerusi Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) itu berjaya menghimpunkan para peminat bersama barisan finalis AJL40 dalam suasana yang lebih santai dan dekat. Kehadiran ramai pengunjung membuktikan bahawa semangat terhadap industri muzik tempatan terus kukuh, sekali gus menjadikan hentian pertama jelajah ini sebagai pembuka tirai yang cukup bermakna.
Melalui inisiatif Meet & Greet Yang Ke-40, para finalis AJL40 berpeluang turun padang untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat, berkongsi pengalaman serta menghargai sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan seni mereka. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara artis dan peminat, malah menjadi platform untuk meraikan pencapaian muzik tempatan yang telah berkembang selama empat dekad.
Selepas kejayaan di Kuantan, debaran AJL40 kini diteruskan ke selatan tanah air apabila Johor Bahru diumumkan sebagai destinasi seterusnya bagi siri jelajah ini. Orang ramai khususnya peminat muzik di Johor dijemput untuk hadir memeriahkan acara yang akan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Angsana Mall, Johor Bahru. Hentian kedua ini dijangka akan terus menyemarakkan bahang AJL40 dengan pelbagai aktiviti menarik serta peluang eksklusif untuk bertemu barisan finalis secara lebih dekat.
AJL40 Meet & Greet Yang Ke-40 dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia dengan sokongan Volvo sebagai rakan kerjasama. Inisiatif ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong industri hiburan tempatan sambil mendekatkan artis dengan komuniti peminat di seluruh negara.
