Tag: #KJH2025

  • Festival 3 Hari Rai Kehangatan Budaya & Hiburan di Sarawak

    Warga Bumi Kenyalang sekali lagi membuktikan semangat luar biasa apabila Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak menutup tirainya dengan penuh gemilang selepas tiga hari berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya, dari 5 hingga 7 September 2025. Kehadiran ratusan ribu pengunjung sepanjang penganjuran menunjukkan bahawa Jom Heboh terus kekal relevan sebagai karnival pilihan keluarga di Malaysia.

    Lebih daripada sekadar pesta hiburan, KJH Sarawak menjadi medan pertemuan pelbagai lapisan masyarakat merentasi budaya, generasi, etnik dan kaum. Suasana yang meriah dan penuh warna-warni diperkaya dengan aktiviti interaktif, pameran unik serta hiburan mesra keluarga yang menjadikannya sebuah pengalaman yang menyeronokkan, mendidik serta berinformasi untuk semua.

    Karnival ini turut menjalin kerjasama erat bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP). Kehadiran YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersama Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia pada hari pertama penganjuran, menambahkan lagi seri acara tersebut. Agensi-agensi di bawah MTCP seperti Jabatan Muzium, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, BeSarawak, Majlis Kraf Sarawak serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut memainkan peranan penting dalam memperkayakan pengisian karnival. Kehadiran mereka memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih mengenali keunikan destinasi, tarikan pelancongan serta kekayaan budaya negeri itu.

    Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1447H, malam pembukaan diserikan dengan program keagamaan “Sembang Santai” di pentas utama yang membincangkan keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan ummah. Sesi tersebut dikendalikan oleh Pensyarah UNIMAS, Ts. Syahrul Nizam Junaini bersama panel jemputan termasuk Ustaz Haji Mual Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.

    Sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 100 reruai dibuka dengan pelbagai aktiviti menarik merangkumi hiburan, gaya hidup, kesihatan dan sukan. Antara tarikan utama ialah zumba, bola sepak jalanan, NSTP Car Sim Experience, Spin Fighters Challenge, Pencarian Emcee Cilik, sukan memanah serta pemeriksaan kesihatan gigi dan saringan kanser serviks secara percuma. Semua aktiviti ini menjadikan karnival satu destinasi yang lengkap untuk seisi keluarga.

    Dari segi impak ekonomi, KJH Sarawak berjaya mencatat lebih RM15 juta hasil daripada kehadiran pengunjung yang menikmati pelbagai tawaran eksklusif, hadiah menarik dan produk edisi terhad yang dibawakan oleh jenama tempatan dan antarabangsa seperti F&N, Kewpie, Affin Bank, Szindore Perfume, SUPER dan Zus Coffee.

    Studio Tonton Drama Sangat turut menjadi tumpuan dengan kehadiran personaliti Media Prima seperti Mior Abdul Malik, Naz Habibur Rahman, Farah Nabilah Wazer, Fatin Hamimah, Asri Badrun, Fadzly Fuad, Barr Zaizan dan Syamira Nazir. Para peminat juga berpeluang bertemu barisan pelakon drama popular seperti Wanie Ooi, Mark Adam, Ezzanie Jasny, Apich Lo dan Jazmy Juma, selain penampilan maskot popular Ejen Ali dan Ejen Alicia yang menambah keceriaan suasana.

    Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat turut mencuri perhatian apabila Axiomara Tijan Andy, 19 tahun, muncul juara dan membawa pulang hadiah utama RM1,000. Puteri Maishara Binti Mohsen, 20 tahun, pula dinobatkan sebagai naib juara dengan hadiah RM700, manakala tempat ketiga diraih Falesyia Anak Harry, 19 tahun, yang membawa pulang RM500.

    Puncak kemeriahan karnival ialah Konsert Jom Heboh yang dibawakan oleh U Mobile dan berlangsung selama dua malam berturut-turut. Pada 6 September, pentas dimeriahkan dengan persembahan Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah, manakala pada 7 September pula, pengunjung dihiburkan dengan alunan muzik daripada Floor 88, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Amir Jahari. Walaupun hujan turun pada malam pertama, semangat penonton tidak luntur bahkan ada yang sanggup menunggu sejak jam 4 petang untuk mendapatkan tempat terbaik pada malam seterusnya demi menyaksikan artis kesayangan mereka.

    Karnival Jom Heboh bakal meneruskan siri keceriaannya dengan persinggahan seterusnya di Pulau Pinang. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.jomheboh.com.my atau mengikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram serta berkongsi pengalaman mereka menggunakan tanda pagar rasmi #KarnivalJomHeboh dan #KJH.