Tag: #KiaMalaysia

  • KLIMS 2026: Kia Bakal Cetus Revolusi Automotif Lewat Pameran ‘Bold & Progressive’

    KLIMS 2026: Kia Bakal Cetus Revolusi Automotif Lewat Pameran ‘Bold & Progressive’

    Kia Sales Malaysia secara rasmi bersedia untuk mencetuskan revolusi automotif tanah air bersempena dengan pembukaan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026, menerusi pameran berkonsepkan ‘Bold & Progressive’. Kehadiran strategik jenama automotif terkemuka Korea Selatan ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12 hingga 21 Jun 2026, bakal menyaksikan fasa baharu dalam landskap mobiliti tempatan melalui pengenalan barisan produk global berteknologi tinggi serta pengumuman inisiatif pemilikan yang komprehensif.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim, menegaskan bahawa penyertaan di KLIMS 2026 merupakan satu manifetasi penting terhadap visi global Kia yang progresif. Menurut beliau, pameran model-model terbaharu ini mencerminkan komitmen jitu syarikat dalam menyediakan penyelesaian mobiliti inovatif bagi memenuhi tuntutan pengguna pasaran Malaysia yang sentiasa dinamik dan berkembang maju.

    Tunjang utama kepada anjakan revolusi Kia di KLIMS 2026 dizahirkan melalui penampilan sulung sedan Kia K4 spesifikasi GT-Line untuk pasaran domestik. Dibangunkan berasaskan falsafah reka bentuk ‘Opposites United’, K4 menawarkan keseimbangan optimum antara estetika sporty dengan aspek praktikaliti harian, dipacu oleh unit enjin 1.6L TGD i berkuasa 193 PS. Ruang dalaman jentera ini dilengkapi dengan Integrated Panoramic Display komprehensif yang mengintegrasikan skrin instrumen digital dan skrin infotainmen 12.3-inci bagi menetapkan tanda aras baharu dalam segmen sedan kontemporari.

    Selain rekayasa sedan konvensional, Pavilion Kia turut mengetengahkan fasa elektrifikasi masa hadapan melalui barisan model inovatif EV4, EV5, dan PV5. Kia EV4, sebuah sedan elektrik yang dibina di atas platform modular E-GMP, menawarkan keupayaan jarak pemanduan sehingga 612 km serta sistem pengecasan pantas DC 10-80% dalam tempoh 29 minit sahaja. Manakala Kia EV5 pula memfokuskan kepada segmen SUV keluarga lestari dengan kuasa mencecah 230 kW. Bagi sektor komersial dan logistik moden, Kia PV5 Passenger mempamerkan keupayaan seni bina Platform Beyond Vehicle (PBV) yang fleksibel, yang mana model ini telah pun menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai MPV of the Year di What Car? Awards 2026.

    Bagi mengukuhkan penyampaian visi jenama, Pavilion Kia turut menyediakan ekosistem pengalaman pelanggan yang imersif dan berstruktur. Para pengunjung berpeluang menguji pandu model sedia ada seperti Kia Carnival yang menawarkan kecekapan bahan api tinggi dengan jarak operasi melebihi 900 km, serta Kia Sportage varian jarak roda panjang yang dilengkapi reka bentuk lampu LED bumerang ikonik. Pameran ini turut diperkayakan dengan zon interaktif bertemakan FIFA World Cup 2026, kolaborasi kebudayaan bersama Korea Tourism Organization (KTO), serta instalasi seni visual digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh artis visual tempatan, Max Jala.

    Namun, pemacu utama kepada revolusi pasaran oleh Kia Sales Malaysia adalah pelancaran rasmi Program Kia TotalCare yang berkuat kuasa bermula Jun ini. Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek, menyatakan bahawa skim pemilikan komprehensif ini merupakan jaminan paling berani dalam industri, yang dizahirkan bagi mencerminkan keyakinan mutlak organisasi terhadap keutuhan kualiti produk dan kelestarian perkhidmatan jangka panjang mereka di Malaysia.

    Menerusi Program Kia TotalCare, pelanggan yang melaksanakan tempahan bagi sebarang varian Kia Sportage atau Kia Carnival (konfigurasi 7 dan 8 tempat duduk) dalam tempoh 1 hingga 22 Jun 2026, serta menyempurnakan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Ogos 2026, bakal menerima portfolio perlindungan berfasa 8-tahun. Pakej eksklusif ini merangkumi waranti pengeluar selama 8 tahun atau 240,000 km, pakej servis percuma selama 8 tahun, perlindungan penggantian 8 unit tayar percuma, rebat tunai bernilai RM8,000, serta pembiayaan insurans percuma untuk tahun pertama.

    Sebagai insentif tambahan, semua tempahan kenderaan Kia dalam tempoh kempen ini turut melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah korporat yang menawarkan hadiah utama berupa pakej percutian rasmi ke Seoul, Korea Selatan atau peranti pintar Samsung Galaxy S26 Ultra 1TB. Pengenalan strategi serampang dua mata yang menggabungkan produk berteknologi tinggi dan jaminan pasca-jualan radikal di KLIMS 2026 ini membuktikan kesediaan Kia Sales Malaysia untuk menerajui dan menstruktur semula standard mobiliti masa hadapan negara.