Tag: #KedahNite2026

  • Kedah Nite 2026 Satukan Anak Perantauan Jelapang Padi, Artis & Tokoh Berpengaruh Dalam Satu Wadah Berprestij

    Kedah Nite 2026 Satukan Anak Perantauan Jelapang Padi, Artis & Tokoh Berpengaruh Dalam Satu Wadah Berprestij

    Kedah Nite 2026 bakal menjadi acara bersejarah yang menghimpunkan anak perantauan negeri Jelapang Padi, termasuk barisan artis, selebriti, ahli sukan serta tokoh berpengaruh kelahiran Kedah dalam satu majlis berprestij di ibu kota. Walaupun Kedah telah melahirkan ramai nama besar dalam industri seni tanah air seperti Farid Kamil, Rozita Che Wan, Maria Tunku Sabri, Ahmad Idham, Ezad Lazim dan Zulkifli Ismail, pembabitan mereka sebelum ini dilihat kurang disatukan di bawah satu organisasi khusus yang mampu dimanfaatkan untuk kepentingan negeri asal.

    Penubuhan Persatuan Rantauan Warisan Kedah (Waris Kedah) sejak setahun lalu hadir sebagai platform alternatif terbaik untuk menyatukan rakyat Kedah di perantauan. Presiden Waris Kedah, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar memaklumkan program sulung persatuan itu ialah Kedah Nite 2026 (Majlis Santapan Diraja) yang dijadualkan berlangsung pada 14 Februari 2026 di Matrade Hall, Kuala Lumpur, dengan sasaran kehadiran kira-kira 800 anak Kedah dari pelbagai latar belakang. Program ini diadakan bagi mengeratkan silaturahim, selain membuka ruang jaringan perniagaan dan kolaborasi strategik dalam kalangan anak watan Kedah.

    Menurut beliau yang juga Pengerusi Penganjur Kedah Nite 2026, inisiatif ini turut menyahut titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu melihat anak watan kembali menyumbang bakti kepada negeri asal. Majlis ini juga menjadi wadah penting untuk memperkasa identiti, warisan serta sumbangan anak Kedah terhadap pembangunan ekonomi dan negara, di samping berfungsi sebagai platform jangka panjang bagi pertukaran idea, kerjasama pelaburan dan inisiatif ekonomi sosial.

    Kedah Nite 2026 akan diserikan dengan keberangkatan kerabat diraja Kedah serta kehadiran jemputan kenamaan, bertemakan ‘black tie’ dan glamor, dan akan dihoskan oleh Maria Tunku Sabri. Acara ini turut menampilkan persembahan hiburan oleh artis dan pemuzik antarabangsa di bawah naungan Kumpulan Weststar, selain penyampaian anugerah pengiktirafan khas kepada tokoh anak Kedah yang mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa. Majlis ini mendapat tajaan penuh Kumpulan Weststar dengan Pengarah Urusannya, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, tokoh kelahiran Kedah, sebagai penaung.

    Barisan artis yang hadir pada sidang media termasuk Zulkifli Ismail, Ezad Lazim dan Asheed (Def Gab C) turut menyatakan sokongan dan kebanggaan terhadap penganjuran acara ini, yang disifatkan sebagai langkah penting menyatukan anak Kedah selepas sekian lama. Kedah Nite 2026 dijangka menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan memartabatkan warisan dan kebersamaan rakyat Kedah, serta berpotensi untuk dijadikan acara tahunan dengan pengisian yang lebih menyeluruh dan bermanfaat.