Tag: #KarnivalInsolvensi2026 #PeluangKedua #JabatanInsolvensiMalaysia #Melaka #MITCMelaka #Malaysianupdates

  • Jangan Lepaskan Peluang! Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Kini di Melaka

    Jangan Lepaskan Peluang! Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Kini di Melaka

    Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Zon Tengah yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Mydin MITC Melaka.

    Majlis perasmian rasmi karnival ini akan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka pada Jumaat, 31 Julai 2026, jam 11.00 pagi.

    Penganjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) bagi memperkukuhkan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi. Dasar ini memberi ruang dan peluang kepada individu yang berdepan masalah kewangan untuk membina semula kehidupan mereka.

    Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan disediakan kepada pengunjung termasuk khidmat konsultasi serta nasihat berkaitan kebankrapan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, semakan status kebankrapan, penerangan mengenai proses pelepasan kebankrapan, pameran dan perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik, selain program kesedaran kewangan dan literasi pengurusan hutang.

    Turut menjadi tarikan utama ialah lelongan aset, kenderaan dan hartanah yang ditawarkan pada harga permulaan serendah RM10.

    Selain itu, pelbagai aktiviti mesra keluarga turut diadakan termasuk pesta makanan, pertandingan rakyat dan cabutan bertuah yang sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

    Pengunjung juga berpeluang menikmati Jualan Rahmah serta jualan murah Shopee yang menawarkan pelbagai barangan pada harga istimewa.

    Bagi memeriahkan suasana, persembahan artis-artis terkenal tanah air akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut. Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Dato’ Hattan, Tomok, Baby Shima dan Azlan Typewriter, selain beberapa lagi artis jemputan.

    Karnival ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat serta perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah menggabungkan elemen pendidikan, hiburan dan kesejahteraan komuniti.

    Melalui penganjuran ini, Jabatan Insolvensi Malaysia berharap dapat mendekatkan perkhidmatannya kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran mengenai Dasar Peluang Kedua Insolvensi serta membantu mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah berdepan isu kebankrapan.