Astro sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa dan meraikan bakat tempatan apabila kembali dengan musim baharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Program yang menjadi wadah utama kepada generasi otai untuk menyerlahkan kemampuan dalam dunia seni suara kini tampil dengan format yang lebih segar dan inklusif. Kilauan Emas 2025 akan mula bersiaran pada 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Susulan kejayaan penganjuran semula pada tahun lalu, musim kali ini memperkenalkan beberapa pembaharuan strategik yang menjadikan program ini lebih dekat di hati penonton. Antaranya adalah penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai individu yang masih aktif menyanyi untuk turut bersaing di pentas berprestij ini. Format baharu turut menampilkan penyertaan juri awam yang terdiri daripada wartawan hiburan dan pelanggan setia Astro, serta pendekatan penceritaan yang lebih beremosi dan menyentuh hati, menjadikan setiap persembahan bukan sekadar nyanyian tetapi satu pengalaman penuh jiwa.
Sesi uji bakat yang telah diadakan di Miri, Johor Bahru dan Shah Alam sepanjang Mei dan Jun lalu menyaksikan sambutan yang amat menggalakkan dengan lebih 500 penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat. Peserta bukan sahaja menonjolkan kekuatan vokal, malah turut mempersembahkan bakat dalam lakonan dan tarian, sekali gus menyerlahkan keunikan serta warna-warni budaya yang dibawa ke pentas Kilauan Emas.
Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, musim ini mencatatkan peningkatan ketara dari segi format produksi dan kriteria penyertaan. Beliau menyatakan rasa teruja terhadap sambutan yang diterima dan menegaskan bahawa Kilauan Emas bukan sekadar sebuah rancangan hiburan, tetapi merupakan platform yang menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama. Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila melihat penyertaan daripada individu yang berasal dari keluarga seni, membuktikan bahawa semangat dan minat terhadap dunia seni tidak pernah pudar dan terus diwarisi merentasi generasi.

Musim ini akan menyaksikan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun berentap merebut gelaran juara. Mereka terdiri daripada Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay, yang masing-masing membawa keunikan dan kisah tersendiri yang bakal menyentuh hati penonton.
Pengacaraan utama musim ini dikendalikan oleh Elly Mazlein, manakala Joey Daud akan menggalas tugas sebagai pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri mengekalkan primadona Erra Fazira selaku juri tetap, digandingkan dengan pelawak terkenal Roy Azman serta penyanyi bersuara emas, Ning Baizura sebagai juri baharu. Kilauan Emas 2025 juga memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos segmen Spotlight yang bersiaran selepas konsert pada jam 11.30 malam, diikuti Keanu Azman dan Sarah Karmila yang akan mengendalikan segmen Live+.
Sebagai tambahan kepada siaran televisyen, penonton juga boleh menikmati Kilauan Emas 2025 secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka, memastikan setiap detik istimewa boleh distrim di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Dengan format baharu, penyertaan lebih inklusif dan pendekatan penceritaan yang menyentuh emosi, Kilauan Emas 2025 bersedia mengangkat bakat generasi otai ke tahap yang lebih gemilang menjadikan pentas ini bukan sekadar ruang persembahan, tetapi lambang perjuangan dan impian yang tidak pernah padam.
