Tag: #HiburanKeluarga

  • PENANG MEMANG LUAR BIASA! 300,000 ORANG UTARA MEMERIAHKAN KARNIVAL JOM HEBOH X MEGA JPJ MADANI 2026 DI BATU KAWAN!

    PENANG MEMANG LUAR BIASA! 300,000 ORANG UTARA MEMERIAHKAN KARNIVAL JOM HEBOH X MEGA JPJ MADANI 2026 DI BATU KAWAN!

    Kuala Lumpur, 28 April 2026 – Karnival Jom Heboh (KJH) x Mega JPJ MADANI 2026 mencipta fenomena luar biasa apabila lebih 300,000 pengunjung membanjiri Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang sepanjang tiga hari penganjurannya dari 24 hingga 26 April 2026. Suasana penuh meriah yang menggabungkan hiburan, aktiviti komuniti serta perkhidmatan rakyat menjadikan edisi kali ini antara yang paling signifikan dalam sejarah penganjuran karnival ikonik tersebut.

    Kolaborasi julung kali antara Karnival Jom Heboh dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena ulang tahun ke-80 agensi itu berjaya membawa dimensi baharu kepada pengalaman pengunjung. Pendekatan yang menggabungkan elemen hiburan dan perkhidmatan kerajaan dalam suasana santai membuka ruang interaksi lebih dekat antara rakyat dan agensi, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.

    Kemeriahan acara turut diperkukuh dengan kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan sambutan ulang tahun ke-80 JPJ. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook serta barisan kepimpinan tertinggi negara dan negeri, sekali gus menambah prestij kepada penganjuran ini.

    Sepanjang tiga hari berlangsung, pelbagai aktiviti menarik berjaya mencuri perhatian pengunjung. Antaranya termasuk JPJ Fun Run yang menghimpunkan ribuan peserta dalam suasana penuh semangat, selain inisiatif kebajikan seperti pertukaran helmet dan servis minyak hitam motosikal secara percuma yang menerima sambutan luar biasa. Jualan nombor pendaftaran kenderaan turut menjadi antara tarikan utama, menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan.

    Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) terus menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan karaoke, cabaran nyanyian serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Kehadiran zon hiburan keluarga seperti Explorace Ejen Ali dan sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali turut menambah kemeriahan, khususnya dalam kalangan pengunjung muda dan keluarga.

    Pengunjung juga berpeluang beramah mesra bersama selebriti dan personaliti popular seperti Zazzleen, Zairi Aziz, Alya Iman, Muaz Zabir, Gabriella, Siti Hariesa dan Nabil Aqil menerusi sesi eksklusif sepanjang karnival, sekali gus menjadikan pengalaman lebih dekat dan bermakna.

    Tidak ketinggalan, Rumah Hantu Jom Heboh x Pewaris Susuk tampil sebagai tarikan unik dengan pengalaman seram yang mendebarkan, selain memberi peluang kepada pengunjung untuk bertemu barisan pelakon filem tersebut secara eksklusif. Tarikan ini berjaya mencuri perhatian ramai dan menjadi antara aktiviti paling dibualkan sepanjang acara.

    Selain itu, lebih 150 reruai daripada pelbagai jenama dan agensi turut memeriahkan karnival dengan aktiviti interaktif, promosi eksklusif serta tawaran menarik. Dunia Kreatif NSTP dan pelbagai zon gaya hidup termasuk Love Food Fest yang menampilkan hidangan viral dan tempatan turut menjadi destinasi wajib pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

    Acara kemuncak, Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut menjadi tarikan utama apabila ribuan peminat membanjiri kawasan konsert. Malam Sabtu diserikan dengan persembahan hebat daripada Dato’ Awie, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Kristal X dan Wani Kayrie, manakala malam Ahad pula menyaksikan persembahan bertenaga daripada Nadeera, Ara Johari, Hael Husaini, Mariam OIAM, K.O.I dan Floor 88 yang berjaya menggegarkan suasana dengan sorakan gemuruh peminat.

    Secara keseluruhannya, Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 bukan sahaja menawarkan hiburan menyeluruh, malah berjaya memperkukuh hubungan antara rakyat dan agensi melalui pendekatan yang lebih santai, inklusif dan dekat dengan komuniti. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan Karnival Jom Heboh sebagai platform hiburan keluarga terbesar negara yang terus relevan dan dinanti-nantikan setiap tahun.

  • 4 ALASAN MENGAPA ANDA TIDAK BOLEH LEPASKAN DUYUNG LEGENDA AURORA – FILEM KOMEDI FANTASI TEMPATAN PALING DINANTI HUJUNG TAHUN INI!

    4 ALASAN MENGAPA ANDA TIDAK BOLEH LEPASKAN DUYUNG LEGENDA AURORA – FILEM KOMEDI FANTASI TEMPATAN PALING DINANTI HUJUNG TAHUN INI!

    Legenda tidak pernah benar-benar hilang; ia hanya menanti masa untuk kembali menghidupkan cerita. Begitulah roh di sebalik Duyung Legenda Aurora, filem komedi fantasi tempatan yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 25 Disember 2025. Menggabungkan mitos, pengembaraan, kekeluargaan dan humor, filem ini bukan sekadar hiburan ringan, malah menyelitkan mesej tentang kasih sayang, pengorbanan dan keberanian. Dengan barisan pelakon popular, jalan cerita unik dan sentuhan visual fantasi yang segar, Duyung Legenda Aurora menjadi naskhah wajib untuk tontonan seisi keluarga.

    Berikut antara sebab kenapa anda tidak patut lepaskan peluang untuk menonton filem ini:

    • Menghidupkan Kembali Nostalgia Ikonik Duyung
      Watak Puteri Duyung yang pernah menjadi fenomena kini kembali dengan sentuhan baharu, mengekalkan pesona dan keanggunan asal. Elemen nostalgia ini bukan sahaja memikat penonton lama tetapi juga memperkenalkan legenda ini kepada generasi baru dalam skala sinematik yang lebih moden.
    • Gabungan Mantap Komedi, Fantasi dan Emosi Kekeluargaan
      Filem ini menyeimbangkan humor ringan dengan kisah emosi kekeluargaan yang menyentuh hati, khususnya hubungan ibu dan anak antara Puteri Duyung dan Aurora. Humor yang sederhana menyempurnakan cerita, menjadikannya sesuai untuk semua lapisan usia.
    • Barisan Pelakon Popular dengan Karakter Ikonik
      Dibintangi oleh Maya Karin, Anna Jobling, Saiful Apek, Yusry KRU dan Yassin Yahya, filem ini menampilkan watak-watak yang jelas dan dinamik. Setiap karakter membawa keunikan tersendiri, menjadikan dunia Duyung Legenda Aurora lebih meriah dan hidup.
    • Filem Keluarga Sesuai Ditonton Musim Perayaan
      Dengan tayangan pada 25 Disember dan klasifikasi P12, filem ini ideal untuk tontonan seisi keluarga. Jalan ceritanya yang ringan, mesej positif dan elemen pengembaraan menjadikannya hiburan sempurna untuk musim cuti hujung tahun.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyelami dunia fantasi penuh magis, tawa dan emosi bersama Duyung Legenda Aurora. Saksikan kisah keberanian, kasih sayang dan pengorbanan yang merentasi dua dunia. Dapatkan tiket anda di pawagam mulai 25 Disember 2025.

  • Durioo+ Umum Tayangan Eksklusif Goldbeak The Movie, Tawar Movie Pack Hanya RM10 Sebulan

    Durioo+ Umum Tayangan Eksklusif Goldbeak The Movie, Tawar Movie Pack Hanya RM10 Sebulan

    Durioo+, platform penstriman yang terkenal dengan kandungan selamat dan menghiburkan untuk anak-anak, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju hiburan keluarga Muslim dengan pelancaran tayangan eksklusif filem animasi antarabangsa, Goldbeak The Movie, bermula 20 Oktober 2025.

    Filem ini, yang sebelum ini pernah mencuri perhatian penonton di peringkat antarabangsa, kini tampil dalam versi bahasa Melayu eksklusif di Durioo+. Menariknya, olahan semula filem ini disuntik dengan nilai Islamik dan mesej positif, menjadikannya tontonan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik serta sesuai untuk seisi keluarga.

    Dalam sesi Tayangan Eksklusif Goldbeak The Movie yang berlangsung di Durioo Studioo, para penonton terdiri daripada pempengaruh dan wakil media meluahkan rasa teruja terhadap usaha Durioo+ membawakan kandungan berkualiti untuk anak-anak. Seorang hadirin berkongsi pengalaman positifnya dengan menyatakan bahawa jarang sekali filem antarabangsa mempunyai nilai Islamik yang diterapkan dengan begitu baik. Beliau turut memuji usaha Durioo+ yang bukan sahaja menterjemah tetapi menyesuaikan jalan cerita dan babak agar lebih mesra dengan nilai tempatan dan keislaman.

    Kejayaan ini merupakan kali keenam Durioo+ berjaya menayangkan filem antarabangsa yang dialih suara ke bahasa Melayu secara eksklusif. Sebahagian besar daripadanya turut melalui proses penyuntingan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyesuaikan kandungan dengan nilai tempatan, termasuk dari aspek visual dan audio. Sebelum ini, Durioo+ telah mencipta impak melalui tayangan filem seperti Bilal: Lahirnya Wira Baru dan Cats The Movie yang mendapat sambutan luar biasa daripada penonton tempatan.

    Goldbeak The Movie diarahkan oleh pengarah animasi Ireland, Nigel W. Tierney, yang pernah menghasilkan karya bersama nama-nama besar seperti Bad Bunny, Little Dicky dan Jaden Smith, serta terlibat dalam produksi animasi terkenal DreamWorks seperti Kung Fu Panda 3, How to Train Your Dragon 2, The Croods dan Shrek Forever After. Filem ini turut diarahkan bersama oleh Dong Long dari Liangzi Film, China, dan menampilkan pelakon suara antarabangsa David Henrie serta personaliti popular Valkyrae.

    Filem ini mengisahkan tentang Goldbeak, seekor helang yang dibesarkan oleh keluarga ayam sejak kecil. Merasa dirinya berbeza dan ingin mengetahui asal-usul sebenar, Goldbeak meninggalkan kampung untuk mencari kebenaran tentang siapa dirinya. Dalam perjalanan itu, dia dan adik perempuannya Ratchet tanpa sengaja membongkar rahsia hitam yang boleh mengancam kampung asal mereka. Kisah ini bukan sahaja sarat dengan nilai kekeluargaan, tetapi juga menyampaikan mesej tentang keberanian, penerimaan diri, dan kepentingan asal-usul.

    Goldbeak turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk pencalonan di Anugerah Filem Golden Rooster China ke-35 dalam kategori Best Fine Arts, serta penghargaan di China International Children’s Exhibition dan pengiktirafan oleh State Film Administration of China sebagai Excellent Chinese Film Project.

    Dalam majlis tayangan tersebut, Durioo+ turut memperkenalkan Durioo+ Movie Pack, pakej langganan baharu yang menawarkan akses kepada 15 filem antarabangsa dan tempatan serta lebih 20,000 kandungan lain di platform itu. Dengan harga serendah RM30 untuk tiga bulan pertama, bersamaan hanya RM10 sebulan, pengguna boleh menikmati tontonan tanpa iklan di empat peranti serentak. Dengan harga lebih rendah daripada tiket pawagam, seisi keluarga kini boleh menikmati hiburan berkualiti, selamat dan bernilai pendidikan di rumah atau di mana sahaja.

    Menurut Nuown Zainal, pengasas bersama Durioo+, Goldbeak The Movie merupakan contoh terbaik usaha Durioo+ untuk membawa lebih banyak filem berkualiti yang sesuai untuk tontonan keluarga. Beliau menegaskan bahawa langganan serendah RM10 sebulan bukan sekadar hiburan, tetapi satu pelaburan dalam membina pengalaman skrin yang sihat dan bermakna bersama anak-anak melalui platform yang selamat.

    Inisiatif ini sekali lagi memperkukuh misi Durioo+ dalam menyediakan hiburan yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik serta membentuk generasi ummah yang berakhlak dan berilmu melalui kandungan berkualiti.

    Durioo+ yang dilancarkan pada Februari 2022 dengan sokongan Y Combinator W22 dari Silicon Valley kini menjadi aplikasi penstriman nombor satu dunia untuk kanak-kanak Muslim. Platform ini menawarkan lebih 20,000 video termasuk animasi, dokumentari, lagu, filem dan siri Islamik, serta mempunyai pelanggan aktif di lebih 80 negara. Dengan lebih sejuta muat turun di App Store dan Play Store, Durioo+ terus mengembangkan ekosistem digitalnya melalui ciri baharu seperti DuDeen, DuReels dan Durioo Games yang menggabungkan hiburan serta pembelajaran secara interaktif.

    Melalui misi “Fun & Safe Screen Time”, Durioo+ bukan sekadar menyediakan tontonan menyeronokkan, tetapi juga membentuk asas pembelajaran dan nilai murni dalam kalangan anak-anak, seiring dengan usaha membina Ummah yang Beriman, Berakhlak dan Berilmu.

  • TTMM Panas! Netizen Puji Segmen Post Mortem Dato Alif & Ammayan

    TTMM Panas! Netizen Puji Segmen Post Mortem Dato Alif & Ammayan

    Program terbaharu Astro, Talk To My Manager (TTMM) terus mencuri perhatian penonton sejak tirai siarannya dibuka pada 24 Ogos lalu di Astro Ria saluran 104 tepat jam 9 malam. Berkonsepkan legasi hiburan keluarga, TTMM tampil dengan kelainan apabila mengetengahkan pertembungan pasangan anak-beranak yang masing-masing sudah pun mempunyai empayar serta jenama tersendiri dalam industri seni tanah air.

    Keunikan TTMM terletak pada konsepnya yang bukan sekadar hiburan tipikal semata-mata, sebaliknya memberi ilmu dan pendedahan berguna. Program ini memperlihatkan bagaimana bakat terpendam anak-anak dipupuk menjadi produk seni sementara ibu atau bapa bertindak sebagai pengurus yang mengendalikan perjalanan karier mereka.

    Antara peserta yang menyertai program ini termasuk pasangan ibu dan anak iaitu Siti Saerah bersama Amad, Sharifah Shahirah bersama Audrra, Sharifah Zarina bersama Athalia, Liza Hanim bersama Marsya dan Ina Naim bersama Hadie. Tidak ketinggalan pasangan bapa dan anak iaitu Ameng bersama Ammar, Shuib bersama Thalita, serta Aziz M. Osman bersama Ara Aziz. Barisan peserta yang pelbagai ini menambah warna pada perjalanan musim pertama TTMM.

    Menariknya, bukan sahaja barisan peserta yang menjadi bualan tetapi juga kehadiran pasangan usahawan sensasi Dato Alif Syukri dan anak lelakinya Ammar Ahyan atau lebih dikenali sebagai Ammayan. Walaupun tidak bertanding sebagai peserta, duo ini diberi kepercayaan untuk mengendalikan segmen Post Mortem yang bersiaran setiap minggu selepas TTMM iaitu pada jam 11 malam.

    Gelagat dua beranak ini nyata mencuri tumpuan kerana perbezaan karakter mereka yang bagai langit dengan bumi. Alif dengan gaya selamba dan kecohnya dilihat beberapa kali tersasul ketika mengacara, manakala Ammayan pula tampil lebih tenang dan serius membaca skrip sewaktu berbual dengan para peserta. Aksi kontras itu menjadikan Post Mortem TTMM lebih hidup dan menghiburkan.

    Di media sosial, warganet berkongsi keterujaan mereka apabila pasangan ini berganding buat pertama kali mengacarakan program televisyen selepas sebelum ini mencetus fenomena melalui sesi siaran langsung jualan produk di TikTok. Ada yang mengaku ‘pecah perut’ dengan lawak spontan Alif dan cara Ammayan menegur juri serta peserta dengan penuh formal. Antaranya termasuk momen ketika Ammayan secara tiba-tiba memberi salam kepada Datuk Syafinaz saat beliau sedang mengulas persembahan, selain insiden apabila Ammayan tetap memanggil penyanyi Liza Hanim dengan gelaran puan kerana mengikut skrip rasmi meskipun diminta memanggil aunty.

    Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, menyifatkan pemilihan Alif Syukri dan Ammayan sebagai hos Post Mortem TTMM sebagai langkah yang tepat dan selari dengan konsep program. Menurut beliau, aura serta sikap bersahaja pasangan itu ketika melakukan siaran langsung menjadikan mereka sesuai mengendalikan segmen tersebut. Tambahnya lagi, meskipun gaya keduanya berbeza dengan Alif yang kecoh dan Ammayan yang kekok, nilai kekeluargaan mereka yang akrab memberi daya tarikan tersendiri buat penonton.

    TTMM menggunakan format penjurian berdasarkan 100 peratus pemarkahan daripada juri tetap pada minggu pertama. Bagi minggu kedua dan seterusnya, undian penonton turut memainkan peranan dan sudah pun dibuka di laman Astro Gempak. Program ini berlangsung selama tujuh minggu dengan Datuk Aznil Hj. Nawawi atau Pak Nil bertindak sebagai pengacara utama, manakala barisan juri tetap terdiri daripada Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.

    Konsert mingguan Talk To My Manager bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Penonton juga boleh menonton semula program ini menerusi aplikasi Astro GO serta sooka. Dengan format segar, barisan peserta menarik serta tambahan segmen Post Mortem yang penuh hiburan, TTMM diyakini bakal menjadi antara program hiburan keluarga paling hangat tahun ini.