Tag: HafizSuip

  • Konsert By Ajai & Mega Friends Bakal Menggegarkan Megastar Arena Kuala Lumpur Pada Bulan Ogos 2024

    35 Tahun Meniti Impian

    Pada 6 Mac 2024 di Kuala Lumpur, minat terhadap karya mereka terus meningkat. Hampir setiap seniman yang sedang mendapat perhatian kini mencapai kejayaan melalui lagu-lagu yang mereka hasilkan.

    Sebut sahaja siapa. Daripada yang tersohor namanya seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dato’ Sheila Majid, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti, Misha Omar, Ella, Dato’ Jamal Abdillah, Hafiz Suip, Ning Baizura, Nora, Ziana Zain, Liza Hanim, Allahyarham Dato Sharifah Aini, Saleem dan Siti Sarah, dan ramai lagi, kepada generasi pertengahan dan baharu seperti Hazama, Black, Niki Palikat, Aufahanie, senarainya tak terungkap, Mereka telah mencipta kegemilangan dengan lagu-lagunya.

    Sedar tak sedar, insan seni ini telah bertapak di dalam industri muzik 35 tahun lamanya dan namanya masih gah di mata peminat seni daripada segenap lapisan usia.

    Mohd Faizal bin Maas atau lebih dikenali dengan Ajai sememangnya begitu sinonim namanya dengan irama ‘killer’ genre balada. Antara lagu-lagunya yang masih malar segar menjadi siulan bukan satu, bukan dua malah beratus tersusun rapi dalam senarai berdaftar MACP.

    Konsert ByAjai & Mega Friends bakal berlangsung pada Sabtu, 3hb Ogos, 2024 di Megastar Arena Kuala Lumpur dibawakan khas oleh Menara Network Sdn Bhd. Tiket-tiket konsert boleh dibeli secara online di WWW.TICKET2U.COM.MY bermula 6hb Mac, 2024 ini. Tawaran harga tiket yang dibuka ini merupakan tawaran “Early Birds”. Peminat yang membeli tiket-tiket “SUPER MEGA VIP” pula berpeluang untuk sesi ‘Meet & Greet” bersama Ajai dan juga membawa pulang goodie bag merchandise rasmi.

    Untuk konsert pertama Ajai, beliau akan menggunakan khidmat Sharon Paul selaku Pengarah Muzik konsert. Pemuzik-pemuzik juga akan diiringi oleh barisan ‘strings” bagi menambahkan lagi perisa muzik. Sebagai seorang yang sangat cerewet dalam mengenengahkan lagu-lagunya, Ajai pastinya mahukan yang terbaik untuk setiap sudut di konsert pertamanya ini.

    ‘Apa yang saya boleh janjikan, insyaallah, semua lagu yang bakal didendangakan oleh saya mahupun artis-artis MEGA FRIENDS saya pastikan lagu karoks sampai hilang suara kata Ajai secara berseloroh. ‘Dan yang pasti juga, kualiti bunyian, susunan muzik dan setiap inci yang dipersembahkan oleh team Menara Network dan produksi tiada kompromi’, jelas pihak Menara Network tanda setuju dengan misi yang ingin Ajai sampaikan pada semua peminatnya di konsert tersebut.

    Pastinya, inilah buah tangan yang telah lama anda nantikan. Kita punyai ‘Hit Maker’ yang bakal menggegarkan pentas di konsert ByAjai bersama barisan Mega Friends nya seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama, Aufahanie dan Maestronya, Ajai.

    Di kesempatan ini juga pihak Menara Network dan Ajai ingin merakamkan ucapan terima kasih pada pihak pengurusan Hotel Royale Chulan Damansara dan Royale Chulan KL di atas persetujuan menjadi rakan hotel rasmi bagi konsert kali ini.

    TRIVIA KONSERT BYAJAI & MEGA FRIENDS

    • Mohd Faizal bin Maas @ Ajai dilahirkan di Johor Bharu pada 15 Мас, 1975.
    • Memulakan karier seninya pada tahun 1989, sewaktu berusia 14 tahun.
    • Megastar Arena Kuala Lumpur menjadi pilihan lokasi konsert. Namanya juga selari dengan konsert ‘ByAjai & Mega Friends’
    • “Mega Friend” merupakan definasi Ajai kepada barisan penyanyi undangan yang bakal beraksi di pentas Konsert ByAjai yang julung kalinya ini
    • 5 penyanyi ditampilkan yang dikenali di tahun-tahun yang berbeza dengan lagu-lagu hit mereka masing-masing
    • Ajai bakal membawakan versi komposer untuk lagu-lagu hit yang diciptakan
    • Semua lagu yang bakal didendangkan juga merupakan lagu-lagu MEGA, yang pernah beliau ciptakan.
    • Tiket-tiket juga dilabelkan ‘Mega’ dan juga tajuk-tajuk lagu ciptaan Ajai. Boleh dibeli secara online di WWW.TICKET2U.COM.MY bermula 6hb Mac, 2024.

    TRIVIA LAGU HATI INI TELAH DILUKAI 2.0

    • Penyanyi duet asal ialah Kris Dayanti
    • Lagu ini dirakamkan pada tahun 1998 sewaktu Ajai berkhidmat sebagai Pengurus A&R di Warner Music (M)
    • Pengacara Rina Nose telah menjadikan lagu ini viral semula di pentas Big Stage apabila menjemput Ajai bernyanyi bersamanya secara spontan
    • Ajai pula melamar Aina Abdul bukan nya Rina Nose untuk menjadi rakan duet terbarunya secara langsung di pentas akhir Big Stage
    • Tanggung jawab memberikan nafas baru pada susunan muzik digalas oleh Sharon Paul.
    • Lagu dan lirik video rasmi di pasaran di edarkan disemua digital platform pada 6 Mac, 2024 di bawah edaran Believe Music.
    • Ajai dan Aina sedang dalam rangka perancangan merakamkan ‘official MTV’ dengan Kerjasama Menara Network. Nantikan!
  • Penyanyi Terkenal Hafiz Suip Dalam Single Terbaru ‘Terus Bersinar’

    Hafiz Suip, seorang penyanyi yang tak perlu lagi diperkenalkan, telah muncul sebagai bakat besar yang membawa kerjayanya ke puncak kejayaan. Dengan pelbagai pengiktirafan yang sudah diterima, namanya telah meletakkan dirinya di liga tersendiri.

    Bercakap soal lagu, mana mungkin boleh melupakan lagu “Awan Nano”, “Noktah Cinta”, “Ku Akui”, “Bahagiamu Deritaku”, “Kisah Cinta Kita” dan banyak lagi. Malah, deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan hingga kini.

    Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yangdiketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati. Bukan bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

    Terbaharu, Hafiz, 33, atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip muncul dengan single berjudul “Terus Bersinar” terbitan syarikat rakaman Nova Music.

    Menariknya, lagu “Terus Bersinar” yang bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

    “Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik. Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

    “Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

    Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu itu ketika kali pertama mendengar melodinya.

    “Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu. Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ini memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru saya.

    “Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

    Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan composer yang kian meningkat naik dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanahair.

    “Mas Dewangga seorang composer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

    “Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu, kebetulan saya pun suka,” katanya.

    Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu “Terus Bersinar” bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

    “Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun Begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan. Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, insya-Allah,” katanya.

    Menariknya, lagu “Terus Bersinar” turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30-episod terbitan Mache All Star United berjudul ‘Surat Dari Tuhan’ yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai 30 Oktober ’23.

    Single “Terus Bersinar” Hafiz Suip dipasarkan pada hari yang sama dengan Tarikh mula siaran drama bersiri tersebut dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik pada 30 Oktober ’23. Video muzik rasmi single tersebut juga boleh mula ditonton pada hari yang sama jam 3pm di saluran Youtube Nova Music Videos https://youtu.be/NJKcgZBbw0A?si=QlmhA6KfnI-Eo-W5