Tag: Hael Husaini

  • Penyanyi Terkenal Hael Husaini Kembali Dengan Karya Terbaru ‘Kejora’ dari album Antonim Part 1.

    Penyanyi Terkenal Hael Husaini Kembali Dengan Karya Terbaru ‘Kejora’ dari album Antonim Part 1.

    Dengan penuh keterujaan, Hael Husaini, penyanyi dan komposer terkemuka yang bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment, mempersembahkan single ketiganya dari album Antonim Part 1.

    Lagu terbaru ini berjudul “Kejora” dan video muzik eksklusifnya akan dilancarkan pada 9 Ogos 2024, jam 9 malam, di saluran YouTube rasmi Hael Husaini. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan pelancaran istimewa ini!

    Dalam video muzik ini, Hael Husaini berkolaborasi dengan Qasrina Karim, yang juga merupakan pasangannya dalam drama terkenal My Famous Ex-Boyfriend. Video muzik ini dihasilkan oleh Rocketfuel Studios dengan penggambaran yang dilakukan dalam tempoh satu hari di Shah Alam. Proses penggambaran yang padat ini berjaya menghasilkan visual yang memukau dan emosional, sambil menyampaikan jalan cerita yang penuh perasaan.

    Hael Husaini

    Apa yang membezakan video muzik Kejora adalah konsep dan arahan kreatifnya yang memaparkan Qasrina Karim dalam sisi berbeza. Berbeza dengan wataknya dalam drama dan penampilannya di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahiran menarinya yang jarang dilihat oleh peminat. Koreografi yang dihasilkan khas untuk video muzik ini memperlihatkan kebolehan Qasrina dalam menari, sekaligus menambahkan dimensi baru kepada lakonannya.

    Hael Husaini memainkan peranan sebagai seorang penyanyi dalam video muzik ini, sementara Qasrina Karim menggambarkan watak seorang wanita yang menunggu cinta sejatinya. Kisah cinta yang digambarkan dalam video muzik ini adalah refleksi kepada lirik dan melodi lagu Kejora, yang menceritakan tentang kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.

    Lagu Kejora adalah hasil ciptaan Hael Husaini bersama dua komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi. Lagu ini menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan dalam cinta, dengan melodi yang merdu dan lirik yang mendalam. Hael Husaini, yang terkenal dengan kebolehan vokalnya yang luar biasa, sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam menghasilkan karya muzik yang berkualiti tinggi.

    Hael Husaini

    Album Antonim Part 1 oleh Hael Husaini telah dilancarkan pada Januari 2024 dan boleh distrim di semua platform penstriman digital. Album ini telah mendapat sambutan yang luar biasa, dengan lebih daripada 3 juta penstriman di Spotify setakat ini. Setiap lagu dalam album ini mencerminkan kepelbagaian emosi dan pengalaman hidup, menjadikannya sebuah karya seni yang lengkap dan memuaskan.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan video muzik Kejora pada 9 Ogos 2024 di saluran YouTube Hael Husaini. Anda juga boleh terus strim terus lagu Kejora dan album Antonim Part I di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta berpeluang menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini.

  • TV3 Hadir Dengan Rancangan Hiburan Baharu

    Barisan kapten yang dipertaruhkan untuk merebut kejuaraan Program Terpaling Juara

    TV3 hadir dengan rancangan hiburan baharu, Program Terpaling Juara yang akan membuka tirai menerusi siaran langsung dari jam 9 malam, setiap Ahad bermula 21 Ogos ini di studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

    Terpaling Juara mempertandingkan tiga kapten berpengalaman yang terdiri daripada penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij.

    Mereka adalah Akim Ahmad (Juara Lagu 30 – Potret); Hael Husaini (Juara Lagu 32 – Jampi & Juara Lagu 33 – Haram); dan Naim Daniel (Juara Lagu 34 – Sumpah) yang akan membimbing seorang penyanyi senior dan seorang bintang baharu untuk merebut kejuaraan serta menjayakan acara mingguan yang bertemakan #playlistAJL.

    Selain itu, tiga peserta yang terpilih pula adalah Shaz (Shazreen Shaharum, 26), Aqmal (Aqmal Ramdan, 26) dan Aqeesh (Aqeesh Aleeya, 18). Mereka terpilih menerusi uji bakat yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai lalu yang disertai oleh 380 orang calon.

    Lebih menarik lagi, persembahan terbaik mingguan akan diumumkan dalam segmen Terpaling Padu Minggu Ini. Pemenang akan ditentukan dengan 70% markah daripada juri tetap Datuk Hattan dan Fauziah Latiff serta 30% daripada undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

    Program ini juga mengangkat kembali lagu – lagu popular AJL yang sudah pasti akan menggamit nostalgia penonton Terpaling Juara.

    Sepanjang program ini ditayangkan, Terpaling Juara akan diketuai oleh Nurhul Huda Haji Khalid, penerbit eksekutif kanan, Ikha Arnisya Mohd Anuar, penerbit eksekutif, dan Azrul Effendi Abdullah, penerbit.

    Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala naib juara bakal memenangi RM50,000 dan pemenang ketiga pula menerima RM30,000.

    Program Terpaling Juara ditaja oleh vivo Malaysia, Nivea, Hot FM sebagai rakan penyiaran rasmi, Berita Harian dan Harian Metro sebagai rakan media utama, dan Xtra dan Oh Bulan! sebagai rakan kongsi digital.

    Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.