Selepas mencuri perhatian penonton dalam program realiti popular Gegar Vaganza 2026, penyanyi bersuara gemersik, Nubhan, meneruskan perjalanan seninya dengan melancarkan single terbaharu berjudul “Andai Derita”. Single ini menandakan kemunculan semula Nubhan selepas beberapa tahun tanpa rakaman terbaru, dan menampilkan naskhah nyanyian yang sarat emosi tentang seorang lelaki yang tetap setia walaupun kepercayaan yang diberikan telah dikhianati. Berbeza daripada kisah amarah atau dendam, lagu ini mengangkat tema cinta yang memilih untuk diam, bertahan, dan akhirnya redha.
Lirik seperti “Demi bahagiamu, biarku pergi sayang” menggambarkan doa yang tidak pernah terucap, sementara melodinya memeluk hati pendengar yang pernah terluka dalam diam. Menurut Nubhan, “Setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Lagu ini saya hadirkan sebagai teman untuk mereka yang memujuk hati dalam diam. Ada masanya, derita itu tidak perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan reda.”
Nubhan, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6, telah menonjol sebagai artis pop dan balada Melayu dengan beberapa lagu hit termasuk Oh Juwita serta duet bersama Siti Nordiana, Sekali Lagi (2021). Selain muzik, beliau juga menceburi bidang keusahawanan dan aktif sebagai content creator di media sosial.
Single “Andai Derita” diterbitkan di bawah label rakaman Luncai Emas, yang turut menguruskan hak cipta lagu dan liriknya. Dengan kerjasama strategik ini, Nubhan dapat meneruskan perjalanan seni secara konsisten dalam industri muzik tempatan. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music bermula 16 Januari 2026, sementara video muzik rasmi akan hadir di YouTube Luncai Emas tidak lama lagi.
