Tag: #GayongDirectorsCut

  • Gayong Kembali Ke Layar: Edisi Director’s Cut Sempena Merdeka & Malaysia

    Gayong Kembali Ke Layar: Edisi Director’s Cut Sempena Merdeka & Malaysia

    Filem Gayong bakal kembali ke pawagam bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia. Tayangan semula ini dianjurkan oleh SOL Pictures Sdn. Bhd. bersama pengedar Empire Film SoluDon dengan kerjasama TGV Cinemas bermula 28 Ogos hingga 17 September di seluruh negara.

    Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latif berkata inisiatif ini diadakan untuk menyemarakkan lagi semangat sambutan hari bersejarah tersebut melalui sebuah karya yang menonjolkan semangat perjuangan, perpaduan dan jati diri bangsa. Menurutnya, ketika ditayangkan pada 5 Mei lalu, Gayong menerima sambutan yang cukup baik daripada penonton namun masih ramai yang terlepas peluang untuk menyaksikannya di pawagam. Oleh itu tayangan semula ini dilihat sebagai peluang kedua kepada peminat serta generasi baharu untuk menghayati kisah perjuangan yang digarap dalam filem berkenaan.

    Filem arahan Faisal Ishak ini diinspirasikan daripada kisah pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dan menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian. Versi tayangan semula kali ini hadir dengan sentuhan baharu iaitu kombinasi director’s cut bersama penilaian pengkritik filem. Penonton juga bakal menyaksikan beberapa klip eksklusif daripada filem Gayong 2 yang dijangka menemui peminat pada tahun hadapan.

    Khairul turut menegaskan harga tiket yang ditawarkan adalah sangat berpatutan iaitu RM10 sahaja, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai lapisan masyarakat untuk menonton. Beliau menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia secara keseluruhan untuk hadir menyaksikan tayangan ini kerana mesej utama filem Gayong menekankan semangat perpaduan dan perjuangan dalam memartabatkan bangsa, agama serta negara.

    Selain pembelian tiket secara walk-in di pawagam TGV, penonton juga boleh mendapatkannya melalui pembelian dalam talian. Tempahan berkumpulan turut dibuka dan maklumat lanjut boleh didapati di semua platform media sosial rasmi @filemgayongrasmi.