Tag: #FinancialServices

  • AICB Raikan Lebih 700 Profesional Perbankan di 9th Chartered Banker Conferment Ceremony

    AICB Raikan Lebih 700 Profesional Perbankan di 9th Chartered Banker Conferment Ceremony

    Kuala Lumpur, 19 Mei 2026 — Hari ini, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) terus menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan bakat perbankan di Malaysia dan rantau ini apabila meraikan lebih 700 profesional perbankan sempena 9th Chartered Banker Conferment Ceremony. Majlis ini turut menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina, sekali gus mencerminkan pengaruh AICB yang semakin meluas serta usaha berterusan dalam memperkukuh standard profesional dalam sektor perkhidmatan kewangan.

    Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini menjadi satu lagi detik penting buat industri perbankan ketika ia berdepan perubahan pesat yang didorong oleh kemajuan kecerdasan buatan (AI), perkembangan aset digital, agenda kelestarian serta landskap risiko yang semakin kompleks. Berdasarkan Tinjauan Tenaga Kerja AICB 2025, sebanyak 57% institusi kewangan masih berada pada peringkat awal dalam penggunaan AI, manakala 62% menyatakan kepesatan teknologi yang melebihi keupayaan tenaga kerja semasa menjadi cabaran utama dalam merapatkan jurang kemahiran. Situasi ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, keupayaan tadbir urus serta pembangunan kemahiran baharu dalam industri perbankan.

    Bank Negara Malaysia Deputy Governor, Encik Adnan Zaylani delivering the special address at the 9th Chartered Banker Conferment 2026.

    Dalam ucaptama beliau, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, YBrs. Encik Adnan Zaylani, berkata peranan warga perbankan kini perlu berkembang lebih jauh daripada fungsi pembiayaan tradisional. Menurut beliau, bank bukan sahaja bertindak sebagai perantara kewangan, tetapi juga sebagai pemacu utama transformasi ekonomi negara. Beliau turut menambah bahawa perubahan landskap industri hari ini datang bersama risiko yang lebih kompleks dan saling berkait, justeru memerlukan pertimbangan profesional serta kefahaman konteks yang lebih mendalam dalam membuat keputusan.

    Dalam ucapan alu-aluan pula, Pengerusi AICB, YBhg. Tan Sri Azman Hashim menegaskan bahawa industri perbankan perlu memberi keutamaan yang sama antara pelaburan teknologi dan pembangunan modal insan. Katanya, dengan perkembangan pesat AI, aset digital dan agenda kelestarian, industri memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu mengurus risiko baharu dan mengekalkan kepercayaan awam. Beliau turut menekankan bahawa kelayakan profesional AICB bersama inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel direka untuk membantu institusi mengenal pasti serta membangunkan kemahiran kritikal bagi masa depan industri.

    AICB Chairman, Tan Sri Azman Hashim delivering the welcome address at the 9th Chartered Banker Conferment 2026.

    Sementara itu, Presiden Chartered Banker Institute (CBI) United Kingdom, Paul Denton berkata profesional perbankan masa kini bukan sahaja perlu menguasai teknologi baharu, tetapi juga perlu mempunyai pertimbangan profesional yang kukuh, kepimpinan beretika serta tanggungjawab jangka panjang. Menurut beliau, status Chartered Banker melambangkan komitmen terhadap integriti dan kepercayaan awam, selain mengiktiraf pencapaian individu dalam komuniti profesional global. Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kerjasama berterusan bersama AICB dalam membangunkan bakat perbankan di Malaysia dan rantau ini.

    Pada majlis tersebut, AICB telah menganugerahkan status Fellow Chartered Banker kepada tujuh tokoh perbankan terkemuka, selain 114 ahli menerima status Chartered Banker dan 611 lagi diraikan sebagai Associate Chartered Banker, termasuk penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat. Antara penerima status Fellow Chartered Banker ialah Amanah Aboobucker dari Kumpulan AmBank, Faradina Mohammad Ghouse dari Kumpulan AmBank, Shamsul Bahrom Mohamed Ibrahim dari Kumpulan AmBank, YM Raja Shah Riman Raja Harun Al-Rashid dari Cagamas Berhad, Arshad Mohamed Ismail dari Malaysian Rating Corporation Berhad, Dr Hu Meng Kui sebagai Pemeriksa AICB bagi Modul Profesionalisme dan Etika, serta Fong Seow Loong dari Alliance Bank Malaysia Berhad.

    Bank Negara Malaysia Deputy Governor, Encik Adnan Zaylani, AICB Chairman, Tan Sri Azman Hashim and Chartered Banker Institute CEO, UK, Mrs Tanya Retter with AICB Council Members at the 9th Chartered Banker Conferment 2026.

    Majlis tahun ini turut mencatat sejarah apabila dua penerima, iaitu Vorn Samedy dari Wing Bank (Cambodia) PLC dan Thong Min Fong dari Hong Leong Bank Berhad, diiktiraf sebagai Overall Subject Prize Global Winners oleh Chartered Banker Institute. Pengiktirafan ini diberikan kepada pelajar dengan markah tertinggi di peringkat global dalam bidang Perbankan Komersial dan Pengurusan Risiko Bank, menjadikan mereka antara ahli AICB pertama yang menerima pengiktirafan berprestij ini di peringkat antarabangsa.

    Dalam masa yang sama, Kumpulan Public Bank diiktiraf sebagai Platinum Winner bagi Leading Bank for Professional Development Award atas pencapaian mempunyai jumlah pekerja bertauliah tertinggi dalam kalangan Bank Ahli Korporat AICB bagi tahun 2025. Kumpulan Maybank pula menerima Leading Bank for Chartered Banker Award kerana melahirkan jumlah Chartered Banker tertinggi pada tahun yang sama. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh pembangunan bakat, mempertingkatkan profesionalisme serta membina tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan industri perbankan.

    Secara keseluruhannya, kelayakan Chartered Banker yang ditawarkan AICB bersama Chartered Banker Institute United Kingdom terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengiktirafan profesional bertaraf global. Seiring perubahan pesat dalam industri, AICB kekal komited untuk memperkukuh standard profesionalisme, memperluaskan budaya pembelajaran sepanjang hayat serta membentuk kepimpinan beretika bagi memastikan sektor perbankan Malaysia terus dipimpin oleh tenaga kerja yang kompeten, bertanggungjawab dan diyakini.