Tag: #FilemMuzikal

  • Ada Apa Dengan Cinta Kembali Dalam Versi Muzikal, Temui Semula Magis Rangga & Cinta di Pawagam!

    Ada Apa Dengan Cinta Kembali Dalam Versi Muzikal, Temui Semula Magis Rangga & Cinta di Pawagam!

    Puisi, lagu dan cinta kembali bersatu dalam satu pentas layar yang mempesona menerusi Rangga & Cinta, sebuah filem muzikal arahan Riri Riza yang menjanjikan pengalaman penuh warna, emosi dan nostalgia. Filem ini membawa penonton menyelami semula kisah cinta paling ikonik dalam sejarah sinema Indonesia, kini diterjemahkan dalam bentuk muzikal yang segar dan menyentuh hati.

    Diterbitkan oleh Miles Films, Rangga & Cinta mengangkat semula keindahan Ada Apa Dengan Cinta? dengan nafas baharu yang lebih puitis dan berirama. Melalui gabungan melodi, puisi dan dialog yang sarat makna, kisah ini menghidupkan kembali denyut rasa antara dua jiwa muda yang pernah menggetarkan hati generasi terdahulu. Kini, ia tampil dalam bentuk yang lebih berani dan moden, menghubungkan nostalgia masa lalu dengan sentuhan kontemporari yang dekat dengan generasi baharu.

    Keistimewaan filem ini turut terletak pada sentuhan muzik daripada duo legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed. Mereka yang pernah mencipta runut bunyi abadi seperti Ada Apa Dengan Cinta dan Bimbang kini kembali dengan komposisi baharu yang menjadi nadi utama penceritaan. Setiap lagu membawa penonton menyusuri semula perjalanan cinta pertama yang polos dan jujur, sekaligus membangkitkan kenangan bagi mereka yang membesar bersama kisah Rangga dan Cinta.

    Menambah keunikan, filem ini menampilkan bakat muda El Putra Sarira sebagai Rangga dan Leya Princy sebagai Cinta. Kedua-duanya memikul tanggungjawab besar menggantikan ikon terdahulu Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo selepas melalui proses pemilihan yang ketat. Dengan gaya tersendiri, mereka berjaya menampilkan interpretasi baharu yang mencerminkan jiwa dan sensitiviti generasi Gen Z, tanpa menghilangkan aura misteri dan pesona asal watak-watak ini.

    Bagi Riri Riza, Rangga & Cinta merupakan refleksi kepada keberanian sinema Indonesia untuk bereksperimen dengan bentuk penceritaan yang lebih kreatif dan ekspresif. Beliau menzahirkan rasa syukur dapat kembali meneroka genre muzikal, terutama dengan karya muzik yang begitu dekat di hati penonton hasil ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed. Menurutnya, filem ini dihasilkan dengan penuh kasih sayang dan harapan agar penonton turut merasai kehangatan, kegembiraan serta emosi yang sama seperti yang dirasakannya sepanjang proses penghasilan karya tersebut.

    Filem ini turut menerima sambutan hangat sewaktu tayangan perdananya di Busan International Film Festival (BIFF) 2025 pada September lalu, sekaligus menandakan pencapaian membanggakan buat filem muzikal Indonesia di pentas antarabangsa. Dengan respon positif yang diterima, Rangga & Cinta dijangka mencetuskan fenomena baharu apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 November 2025.

    Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios amat berbesar hati membawakan kisah cinta abadi ini kepada penonton tempatan. Mereka menganggap filem ini sebagai “surat cinta” yang kini beralun dalam irama dan melodi, menghubungkan semula kenangan silam dengan keindahan baharu di layar perak. Untuk mengikuti perkembangan terkini dan kandungan eksklusif mengenai Rangga & Cinta, penonton boleh mengikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube menjelang tayangannya November ini.