Tag: #EventMalaysia

  • Aaron Chia dan Chen Tang Jie Terajui Karnival “Malaysia on the Move”

    Aaron Chia dan Chen Tang Jie Terajui Karnival “Malaysia on the Move”

    Karnival pengalaman selama enam hari yang meraikan budaya, sukan dan gaya hidup Malaysia akan berlangsung di Sunway Velocity Mall dari 31 Mac hingga 5 April ini. Dikenali sebagai “Malaysia on the Move: Mana-mana pun ON!”, acara ini dianjurkan oleh theCOVER ASIA dengan kerjasama Sunway Velocity Mall serta disokong oleh Sunway Multicare Pharmacy sebagai penganjur bersama, manakala MY FM dan MELODY bertindak sebagai rakan radio rasmi. Karnival ini berlangsung setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam di pintu masuk Nanjing, aras 1, dan menampilkan gabungan elemen sukan, pelancongan, budaya serta jenama tempatan. Ia turut diterajui oleh juara dunia badminton Aaron Chia dan Chen Tang Jie bersama barisan atlet kebangsaan lain dalam usaha mempromosikan budaya kesukanan, pelancongan serta produk tempatan sempena kempen Visit Malaysia 2026.

    Menurut theCOVER ASIA, tema “Mana-mana pun ON!” mencerminkan semangat dinamik rakyat Malaysia di samping menggalakkan orang ramai untuk meneroka dan menyokong produk tempatan sambil menikmati gabungan sukan, gaya hidup dan budaya. Pengasas theCOVER ASIA, Stephen Wong berkata kerjasama ini merupakan kolaborasi pertama bersama pusat beli-belah tersebut dan diharapkan dapat mendekatkan semangat sukan kepada masyarakat melalui pengaruh atlet negara, selain mengetengahkan jenama ‘Buatan Malaysia’ yang berkualiti tinggi.

    Antara atlet yang dijangka hadir termasuk pasangan beregu campuran Goh Soon Huat dan Shevon Lai, perenang Welson Sim, pemain badminton Hoo Pang Ron dan Kong Zhou Swin, juara skuasy Sukan SEA Sanjay Jeeva serta juara luncur ais Fang Ze Zeng. Pengunjung juga berpeluang meneroka Malaysia Made Experience Zone yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pengalaman makanan tempatan, bengkel DIY serta pameran kesihatan, kecantikan dan gaya hidup. Selain itu, pelbagai permainan interaktif turut disediakan termasuk cabaran padanan produk, aktiviti meneka bau dan pertandingan media sosial, dengan lebih 500 sampel produk diagihkan setiap hari sepanjang karnival.

    Antara tarikan utama karnival ini ialah jualan barangan eksklusif atlet seperti aksesori NFC Touch ’n Go serta koleksi edisi terhad termasuk kad emas tulen 999, lanyard dan pelbagai barangan gaya hidup lain. Pengunjung yang berbelanja RM200 dan ke atas turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa 100 raket badminton bertandatangan pemain profesional.

    Dalam masa sama, atlet badminton kebangsaan Chen Tang Jie bakal melancarkan kad koleksi eksklusif emas tulen 999 sebagai satu inisiatif istimewa bagi menghargai sokongan peminat sepanjang perjalanan kariernya. Koleksi ini bukan sekadar produk memorabilia, malah melambangkan dedikasi, usaha berterusan serta semangat juang yang telah membawanya ke pentas antarabangsa. Setiap kad emas yang dihasilkan membawa nilai simbolik yang mendalam, mencerminkan perjalanan penuh cabaran serta sokongan padu daripada para penyokong. Menurut beliau, penghasilan kad emas ini merupakan langkah untuk tampil dengan sesuatu yang lebih berbeza dan bermakna berbanding produk peminat konvensional, selain menjadi permulaan kepada pembangunan jenama peribadi yang lebih meluas pada masa hadapan. Pelancaran rasmi koleksi ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat serta pengumpul, sekali gus mengukuhkan hubungan antara atlet dan penyokong.

    Pengasas Click Entertainment, Tan Yin Loo berkata pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan theCOVER ASIA serta menyokong barisan atlet kebangsaan di bawah naungan mereka. Beliau turut menyifatkan Chen Tang Jie sebagai kebanggaan negara yang sentiasa mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, selain menghargai kerjasama bersama golongan muda yang membawa tenaga baharu dan merupakan tonggak masa depan negara. Tambah beliau lagi, pihaknya akan terus meneroka saluran baharu serta pendekatan inovatif bagi memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada para peminat, di samping mewujudkan hubungan yang lebih bermakna antara penyokong dan atlet kebangsaan.

    Siaran akhbar ini diterbitkan oleh Click Entertainment. Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Yin Loo di talian 012-632 6658 atau melalui emel yinloo@click-ent.com.

  • Aksi Gergasi Tiba! Hot Wheels Monster Trucks Live™: Glow-N-Fire Mulakan Jelajah Asia di Malaysia

    Aksi Gergasi Tiba! Hot Wheels Monster Trucks Live™: Glow-N-Fire Mulakan Jelajah Asia di Malaysia

    Buat pertama kalinya, pertunjukan siaran langsung Hot Wheels Monster Trucks terbesar di dunia bakal berlangsung di Asia. Hot Wheels Monster Trucks Live™: Glow-N-Fire akan memulakan debut jelajah Asia di Malaysia pada 16 hingga 17 Oktober 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil, menampilkan tiga pertunjukan sepanjang dua hari. Tiket serta maklumat lanjut acara boleh didapati di Tri-tix.com, dengan jadual pertunjukan merangkumi sesi pada Jumaat, 16 Oktober jam 8.00 malam dengan akses pra-pertunjukan VIP dari jam 5.30 petang hingga 7.00 malam, serta dua sesi pada Sabtu, 17 Oktober iaitu jam 1.00 tengah hari dengan akses VIP dari jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan jam 8.00 malam dengan akses VIP dari jam 5.30 petang hingga 7.00 malam.

    Hot Wheels Monster Trucks Live™: Glow-N-Fire dipersembahkan oleh Family Entertainment Live, manakala siri jelajah di Malaysia dianjurkan bersama oleh MUSE Group Asia dan Unik Squad. Pertunjukan ini akan menghidupkan trak-trak ikonik kegemaran peminat seperti Mega Wrex™, Tiger Shark™, Gunkster™, Bone Shaker™, Bigfoot® dan Skelesaurus™, di samping memperkenalkan trak baharu, Rhinomite yang diinspirasikan daripada badak sumbu. Pengalaman baharu ini turut menampilkan aksi-aksi mendebarkan yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini, termasuk aksi No-Handed Front Flip oleh penunggang FMX.

    Berikutan kejayaan Glow-N-Fire pada tahun 2025 yang merangkul anugerah Pollstar Family Show of the Year, Hot Wheels Monster Trucks Live™ kini bersedia meneruskan momentum ke tahun 2026 dengan siri jelajah merentasi Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan kini Asia, dengan Malaysia menjadi lokasi pembuka tirai.

    Para peminat juga berpeluang menikmati Akses Pra-pertunjukan VIP yang berlangsung dua jam 30 minit sebelum setiap pertunjukan bermula. Pengalaman ini membolehkan peminat turun ke aras arena untuk melihat dengan lebih dekat rekaan unik dan saiz epik trak-trak tersebut, serta mendapatkan tandatangan daripada pemandu dan bintang kegemaran mereka. Setiap tiket VIP turut disertakan dengan kad autograf, tertakluk kepada ketersediaan.

    Tiket untuk Hot Wheels Monster Trucks Live™: Glow-N-Fire akan mula dijual di Tri-Tix pada 16 April 2026 bermula jam 8.00 pagi dengan harga bermula daripada RM118. Harga istimewa untuk kanak-kanak turut ditawarkan bagi semua pertunjukan, menjadikannya pilihan hiburan yang berbaloi untuk seisi keluarga. Peminat juga boleh mendapatkan tiket di lokasi jelajah Hot Wheels Monster Trucks di Pavilion Bukit Jalil dari 16 hingga 26 April untuk menikmati ganjaran eksklusif seperti diskaun 10% dan hadiah misteri Hot Wheels Monster Trucks, terhad kepada 100 pembeli pertama. Untuk maklumat lanjut, layari HotWheelsMonsterTrucksLive.com.