Tag: #EmosiDalamNada

  • Dua Legenda, Satu Rasa: Karya Galau Terbaharu Misha & Melly

    Dua Legenda, Satu Rasa: Karya Galau Terbaharu Misha & Melly

    Penyanyi berkaliber tanah air, Misha Omar kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan sebuah karya baharu yang sarat emosi dan menyatukan elemen muzik Nusantara. Lagu terbaharu berjudul Break ini bukan sekadar penambahan dalam katalog seninya, tetapi juga menjadi penanda penting dalam karier Misha apabila buat pertama kalinya beliau berkolaborasi dengan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw.

    Disampaikan penuh magis menerusi vokal mantap Misha, Break adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Melly dengan sentuhan penerbit terkenal Indonesia, Tohpati. Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2025 di bawah label Sony Music Entertainment dan dipilih sebagai runut bunyi rasmi bagi drama bersiri Mandul Bukan Pilihan yang disiarkan di Astro Ria dan sooka setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

    Menariknya, kolaborasi ini bermula apabila Misha sendiri menghantar pesanan langsung (DM) kepada Melly di media sosial, menyatakan hasrat untuk menyanyikan karya ciptaan penyanyi dan penulis lagu ikonik itu. Misha menyifatkan lagu ini sebagai istimewa kerana bukan sahaja dicipta khas untuknya, malah turut dihasilkan pada waktu yang sangat tepat dalam hidup dan kariernya. Katanya, judul lagu ini yang bermaksud rehat atau jeda bukanlah gambaran kepada perhentiannya dalam dunia seni. Sebaliknya, Break adalah simbolik kepada keinginannya untuk terus menghasilkan karya bermutu yang relevan dalam pasaran muzik hari ini.

    Sebagai penyanyi yang telah lebih dua dekad bertapak dalam industri, Misha tetap berpegang kepada disiplin yang tinggi dalam setiap penghasilan lagu baharu. Untuk Break, beliau menjalani sesi vokal intensif bersama guru vokalnya, Datuk Syafinaz Selamat, di samping mendalami lirik lagu secara mendalam bagi memastikan penghayatan yang tulus dan menyentuh jiwa pendengar.

    Menurut Misha, keinginannya untuk menyanyikan karya Melly sudah lama terpendam dan akhirnya terlaksana dalam projek yang cukup bermakna ini. Lagu ini hadir dalam susunan muzik dan lirik yang sangat dekat dengan dirinya, menjadikannya lebih mudah untuk mengalirkan rasa dalam setiap baris melodi yang dinyanyikan.

    Walaupun Misha sudah lama dikenali sebagai penyanyi berjiwa besar dengan anugerah Vokal Terbaik sebanyak tiga kali di pentas Anugerah Juara Lagu, beliau tetap melihat setiap karya baharu sebagai peluang untuk belajar, berkembang dan mempersembahkan sisi berbeza dirinya sebagai anak seni. Bagi beliau, Break bukan sahaja memperkukuh reputasinya, tetapi juga memperluaskan dimensi karya melalui elemen muzik rentas negara yang diraikan dengan penuh keterbukaan.

    Lebih penting, Misha berharap kehadiran Break mampu menyentuh hati para peminat dan menyumbang kepada kepelbagaian dalam industri muzik serantau. Kolaborasi dengan Melly bukanlah untuk menafikan kehebatan komposer tempatan, sebaliknya menjadi ruang untuk beliau meneroka potensi diri dan merayakan keindahan serta kekayaan muzik Nusantara secara lebih menyeluruh.

    Kini, para peminat boleh menikmati Break di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Sebuah karya galau yang membekas di jiwa, Break adalah sebuah naskhah yang wajib didengari dan seperti kata Misha, “jangan berani berehat dari mendengarnya.”