
Tourism Malaysia mengumumkan kolaborasi strategik bersama AEON Co. (M) Bhd. (AEON) sebagai sebahagian daripada usaha menyokong dan memperkukuh pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Kerjasama ini bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, beli-belah dan gaya hidup yang dinamik menerusi pelbagai aktiviti promosi serta tawaran eksklusif kepada pelawat domestik dan antarabangsa di rangkaian pusat beli-belah AEON terpilih di seluruh negara.
Kolaborasi ini melibatkan kerjasama erat bersama pelbagai pemain industri termasuk hotel, ejen pelancongan, syarikat penerbangan serta pusat beli-belah lain bagi memperluas jangkauan promosi VM2026. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, akan menghiasi pusat beli-belah AEON di seluruh negara, selain penayangan video promosi pelancongan Malaysia menerusi skrin LED bagi menonjolkan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan negara.
Majlis pelancaran kolaborasi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man, mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing, bertempat di AEON Mall Shah Alam. Kehadiran wakil-wakil kanan daripada MOTAC, Tourism Malaysia serta AEON mencerminkan sokongan padu sektor awam dan swasta dalam menjayakan kempen berskala nasional ini.


Menurut YB Dato Sri Tiong King Sing, kerjasama strategik bersama sektor swasta seperti AEON membuktikan komitmen bersama dalam merancakkan industri pelancongan negara. Inisiatif seumpama ini bukan sahaja berupaya meningkatkan jumlah ketibaan pelawat, malah turut menjana kesan limpahan ekonomi kepada industri berkaitan termasuk peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Seiring dengan pelancaran kolaborasi ini, barangan edisi terhad khas sempena VM2026 seperti beg tote dan headband turut diperkenalkan. Pengunjung berpeluang menebus barangan eksklusif ini dengan perbelanjaan minimum RM350 melalui gabungan sehingga tiga resit pembelian, sekali gus menggalakkan aktiviti perbelanjaan dalam kalangan pengunjung pusat beli-belah.
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, pelbagai program dan aktiviti menarik akan dianjurkan termasuk Cerita Raya bersama Wira dan Manja, Carnival Bazaar yang mengetengahkan sajian tempatan, serta penganjuran Tourism Malaysia Run di beberapa negeri terpilih. Pelbagai aktiviti interaktif dan penebusan barangan eksklusif turut dirancang bagi meraikan VM2026 bersama rakan strategik, komuniti setempat serta pelawat dari dalam dan luar negara.
Tourism Malaysia kekal komited dalam merangsang perbelanjaan pelancongan menerusi segmen beli-belah dengan penganjuran acara jualan berskala besar seperti Malaysia Super Sale pada Mac 2026, Malaysia Mega Sale dari Jun hingga Julai 2026 serta Malaysia Year End Sale (MYES) dari November 2026 hingga Januari 2027. Inisiatif ini dijangka menyokong sasaran Visit Malaysia 2026 untuk menarik 43 juta pelawat antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi beli-belah utama di rantau ini.

