Pelakon dan juruhebah popular, Johan, melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan kariernya apabila kini menceburi bidang perniagaan motosikal elektrik (EV). Menerusi syarikat miliknya, Hanania Group Sdn. Bhd., Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, memperkenalkan Pusat Pameran Motosikal Elektrik (EV) GGR Motor di Melawati Square, Kuala Lumpur, sekali gus menandakan langkah seriusnya dalam dunia automotif hijau.
Sebelum ini, Johan telah membuktikan kemampuan sebagai usahawan menerusi pembukaan restoran Itik Ke Ayam? yang mendapat sambutan hangat. Kini, beliau memperluaskan cabang perniagaannya dengan menjalin kolaborasi bersama GGR Motor melalui pembukaan rasmi pusat pameran GGR x Johan, yang menjadi simbol permulaan kerjasama strategik antara Hanania Group Sdn. Bhd. dan GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. Majlis pelancaran turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, selain GGR Motor turut menandatangani MoU bersama rakan luar negara untuk kolaborasi eksport motosikal EV ke Thailand dan usaha sama dengan pengilang di China.
Pusat pameran baharu ini dibuka bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap kenderaan mesra alam, sejajar dengan hasrat negara untuk memperkukuh sektor mobiliti hijau. Majlis perasmian turut mencatat sejarah tersendiri apabila rakan penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin, hadir sebagai perasmi dan sekali gus memberi makna peribadi yang besar buat Johan. Menariknya, Johan kini menjadi artis kedua yang menjalin kerjasama dengan GGR Motor selepas Farid Kamil yang turut menyertai jenama itu pada September lalu.
Menurut Johan, pembukaan pusat pameran ini adalah bukti kesungguhannya dalam meneroka bidang automotif. Beliau menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar langkah perniagaan, tetapi juga satu bentuk sumbangan terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi hijau negara. Johan turut menzahirkan rasa syukur dan teruja dengan sambutan yang diterima daripada orang ramai sejak pembukaan rasmi kedainya.

Majlis berprestij itu turut dihadiri oleh YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Rakan Strategik Partner Professor Dr Nizar Abd Jalil, serta Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi. Penandatanganan MoU ini dijangka membuka ruang luas untuk kolaborasi dalam penjualan motosikal elektrik serta berpotensi mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu, khususnya untuk golongan muda tempatan.
Motosikal elektrik keluaran GGR Motor ini direka dengan ciri praktikal, tahan lama dan mudah digunakan. Ia menawarkan tiga mod kelajuan fleksibel bermula dengan 35 kilometer sejam bagi mod pertama, 45 hingga 55 kilometer sejam untuk mod kedua, dan sehingga 70 kilometer sejam bagi mod ketiga. Bateri pula mengambil masa sekitar enam jam untuk dicas penuh, dan tidak seperti motosikal konvensional, model elektrik ini tidak memerlukan servis enjin berkala. Hanya penyelenggaraan asas seperti tayar dan casing bateri diperlukan, sekali gus menjadikan kos penyelenggaraan jauh lebih rendah.
Komponen utama seperti bateri dan controller dijamin berkualiti, manakala alat ganti boleh didapati terus di kedai rasmi GGR Motor bagi memastikan pelanggan mendapat sokongan selepas jualan yang baik. PMH Motor sebagai Master Dealer memainkan peranan penting dalam mengembangkan pasaran produk GGR Motor, terutama di kawasan utara tanah air.
Selain itu, pelanggan mempunyai pilihan untuk menambah aksesori seperti lampu tambahan, sport rim atau bateri gantian mengikut cita rasa masing-masing. Motosikal elektrik ini juga dilengkapi dengan waranti sehingga 50,000 kilometer, memberikan jaminan ketahanan kepada pengguna. Dalam masa terdekat, syarikat merancang memperkenalkan versi baharu dengan reka bentuk lebih besar dan ciri moden tambahan.
GGR x Johan turut menawarkan enam pilihan warna menarik iaitu merah, putih, kuning, oren, biru cair dan merah jambu, dengan dua lagi warna baharu biru dan hijau bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Dari segi harga, motosikal elektrik ini dijual pada harga asal RM3,999 seunit, namun pelanggan layak menikmati rebat khas sebanyak RM1,000 daripada GGR Motor, menjadikan harga akhir hanya RM2,999. Rebat ini terbuka kepada individu berpendapatan tahunan di bawah RM100,000 dan boleh dipohon sehingga Disember 2025.
Setiap motosikal akan didaftarkan secara sah dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dilindungi insurans, manakala pemilik tidak perlu membayar cukai jalan buat masa ini kerana ia tergolong dalam kategori kenderaan elektrik dua roda.
Pembukaan pusat pameran GGR x Johan ini bukan sekadar pelancaran sebuah kedai baharu, tetapi lambang perubahan landskap industri automotif negara. Ia membawa mesej bahawa peralihan kepada mobiliti hijau bukan lagi sekadar pilihan gaya hidup, sebaliknya satu keperluan menuju masa depan lestari. Langkah berani Johan ini membuktikan bahawa artis tempatan juga mampu menjadi peneraju dalam pembangunan industri hijau yang progresif dan mampan di Malaysia.
