Tag: #DramaMelayu2025

  • Main Api Dengan Masa Silam? Cinta Pertama Kembali Ganggu Anna Jobling

    Main Api Dengan Masa Silam? Cinta Pertama Kembali Ganggu Anna Jobling

    Apabila kesetiaan mula dipersoalkan dan cinta lama muncul kembali, siapa yang benar-benar bersalah? Drama terbaharu arahan Jamal Khan berjudul Setia Itu Mahal bakal mengisi slot Akasia TV3 bermula minggu hadapan dengan sebuah naskhah yang cukup berani menyentuh konflik hati, ketidakadilan emosi dan dilema seorang wanita yang tersepit antara cinta dan tanggungjawab.

    Diterbitkan oleh Wiranusa Corporation Sdn Bhd, drama bersiri sebanyak 28 episod ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Anna Jobling, Zahiril Adzim, Redza Rosli dan Rita Nadira. Dengan skrip nukilan Sophilea, Setia Itu Mahal mengangkat kisah Dalina (lakonan Anna Jobling), seorang pereka fesyen berjaya yang hidup dalam rumah tangga yang kelihatan sempurna bersama suaminya, Dr Hakim (Zahiril Adzim) dan anak mereka, Alia. Namun di sebalik kehidupan yang nampak bahagia, terpendam rasa sunyi yang makin lama makin menghimpit apabila kasih sayang mula berkurang dan suami semakin leka dengan kerjaya.

    Segalanya berubah apabila Tengku Farid (Redza Rosli), cinta pertama Dalina, muncul semula dalam hidupnya. Meskipun Farid kini suami kepada wanita elit bernama Tengku Natasya (Rita Nadira), hatinya dikatakan masih belum mampu melupakan Dalina. Setiap pertemuan yang tidak dirancang, setiap pandangan yang dilemparkan dan setiap ayat yang dilafazkan seolah-olah mencuit semula memori lama dan menggugat keteguhan hati Dalina. Dalam kepenatan menjadi ibu, isteri dan wanita bekerjaya, Dalina semakin terhimpit dengan perasaan sendiri antara setia kepada suami dan rindu yang tidak pernah padam.

    Apabila anak mereka jatuh sakit dan Dr Hakim gagal dihubungi, Dalina terpaksa meminta bantuan daripada Tengku Farid. Tindakan itu bukan sahaja membuka semula pintu lama yang telah ditutup rapat, malah mula menimbulkan persoalan adakah ini sekadar pertolongan atau permulaan kepada sebuah pengkhianatan?

    Anna Jobling mengakui watak Dalina sebagai antara peranan paling mencabar yang pernah dipegangnya. Menurutnya, Dalina bukan mangsa dan bukan juga wanita sempurna. Dia seorang ibu yang penyayang, isteri yang setia, namun dalam masa yang sama, dia hanyalah manusia biasa. Ketika cinta lama datang tanpa dijemput, dia bergelut untuk memahami perasaan sendiri dan mula mempersoalkan makna sebenar kesetiaan yang selama ini dipegang teguh.

    Setia Itu Mahal bukan sekadar drama cinta tiga segi. Ia adalah cerminan realiti ramai wanita yang diuji dengan konflik emosi, keletihan mental dan keperluan untuk difahami. Ia mengajak penonton merenung sejauh mana seseorang mampu mempertahankan kesetiaan apabila hati mula meronta?

    Drama ini bakal menemui penonton bermula 28 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Bagi penonton digital, episod baharu boleh distrim secara percuma di iQIYI bermula jam 8.00 malam pada hari yang sama. Pelanggan iQIYI VIP juga boleh menonton episod terkini lebih awal menerusi aplikasi iQIYI, sementara pengguna biasa boleh menikmatinya secara percuma 48 jam selepas siaran.

    Sejak kemunculannya di Malaysia pada tahun 2020, iQIYI terus mencatat pertumbuhan luar biasa dengan peningkatan pengguna lebih 15 kali ganda. Malah pada tahun 2021, platform ini tersenarai sebagai perkhidmatan penstriman Asia nombor satu di Malaysia dari segi jumlah muat turun, pelanggan aktif bulanan dan tempoh tontonan.

    Untuk mengikuti perkembangan terkini tentang Setia Itu Mahal dan pelbagai lagi drama menarik, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube menerusi @TV3Malaysia serta akaun @dramasangat di Instagram.

  • Lagu Tangisan Seorang Pendosa: Marsha Milan Serlahkan Keperitan Watak Puteri Balqis

    Lagu Tangisan Seorang Pendosa: Marsha Milan Serlahkan Keperitan Watak Puteri Balqis

    Drama popular Keluarga Itu kini menjadi fenomena di TV3, memikat hati penonton dengan jalan ceritanya yang penuh emosi. Melengkapi drama ini, lagu tema (OST) Tangisan Seorang Pendosa nyanyian Marsha Milan hadir dengan penghayatan mendalam, mencerminkan perasaan watak Puteri Balqis dalam perjuangannya.

    Lagu ini dicipta sendiri oleh Marsha dengan lirik menyentuh hati hasil nukilan Hazama. Tangisan Seorang Pendosa mengangkat tema keinsafan serta pergolakan jiwa yang kuat, selari dengan perjalanan tragis watak Dhamiah yang dilakonkan oleh Puteri Balqis dalam Keluarga Itu. Kisah Dhamiah, yang mengalami penderitaan akibat kekejaman bapanya, menjadikan lagu ini begitu menyentuh jiwa.

    Menurut Hazama, lagu ini diilhamkan daripada kisah Keluarga Itu dan ditulis dari perspektif watak Puteri Balqis. “Saya mahu menyampaikan perasaan Dhamiah yang berdepan penderitaan serta kesedihan yang mendalam,” katanya. Sementara itu, Marsha Milan berkongsi bahawa melodi lagu ini dicipta dengan penuh emosi bagi menggambarkan kedalaman jiwa watak tersebut. “Lagu ini bukan sekadar karya biasa, tetapi luahan jiwa yang penuh makna,” tambahnya.

    Lirik Tangisan Seorang Pendosa mengisahkan individu yang dihantui bayang-bayang masa lalu serta perasaan penyesalan yang mendalam. Walaupun cuba berubah, dia masih terperangkap dalam kesedihan dan kekeliruan. Lagu ini turut menggambarkan konflik dalaman antara harapan dan kenyataan, memperlihatkan rasa bersalah seorang pendosa yang hanyalah manusia biasa.

    Bagi Marsha Milan, proses rakaman lagu ini bukan sesuatu yang mudah. Dia mengambil masa dua hari untuk memastikan setiap emosi dapat disampaikan dengan tepat. Setiap bait lirik dan nada suara perlu dirakam dengan penuh perasaan agar mesej lagu ini dapat dirasai oleh pendengar. Hazama turut memuji keupayaan Marsha dalam menyampaikan emosi melalui nyanyiannya, yang menurutnya berjaya membawa lagu ini ke tahap yang lebih mendalam.

    Kolaborasi antara Marsha Milan dan Hazama dalam penghasilan lagu ini jelas membuktikan pemahaman mereka terhadap watak dan emosi yang ingin disampaikan. Dengan melodi balada yang menyentuh jiwa serta vokal penuh penghayatan, Tangisan Seorang Pendosa pasti menjadi OST yang meninggalkan kesan mendalam di hati pendengar.

    Jangan lepaskan peluang untuk merasai emosi sebenar Keluarga Itu menerusi Tangisan Seorang Pendosa, yang kini boleh didengarkan di semua platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music. Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Melissa Campbell, dan Izara Aishah. Ia disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3, dan boleh ditonton 24 jam lebih awal melalui Tonton.

    Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, peminat boleh mengikuti mereka di Facebook (Alternate Records & Talents), Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).