Tag: #Cyberjaya

  • TV AlHijrah Celebrates 16th Anniversary with Launch of AlHijrah Media Nexus in Cyberjaya

    TV AlHijrah Celebrates 16th Anniversary with Launch of AlHijrah Media Nexus in Cyberjaya

    TV AlHijrah melakar satu lagi sejarah penting dalam perjalanan penyiaran Islam negara apabila menyambut ulang tahun ke-16 penubuhannya dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu di Cyberjaya baru-baru ini.

    Majlis pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN) telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Zulkifli Bin Hassan, dan turut disaksikan oleh Pengerusi TV AlHijrah, barisan Ahli Lembaga Pengarah serta warga kerja organisasi.

    AMN dibangunkan sebagai langkah strategik TV AlHijrah untuk memperkukuh kesinambungan operasi dan penyiaran organisasi melalui penyediaan infrastruktur sokongan yang lebih moden, selamat dan responsif. Kemudahan ini turut dilengkapi dengan studio mini bagi menyokong keperluan penerbitan kandungan, sekali gus memastikan penyampaian siaran kepada penonton dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.

    Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata ulang tahun ke-16 ini bukan sekadar sambutan pencapaian organisasi selama lebih sedekad, tetapi juga menjadi permulaan kepada agenda transformasi yang lebih menyeluruh untuk memastikan TV AlHijrah terus kekal relevan dan dipercayai masyarakat.

    “Selama 16 tahun, TV AlHijrah telah berkembang sebagai platform penyiaran yang membawa mesej ilmu, dakwah dan inspirasi kepada rakyat Malaysia. Sambutan kali ini lebih bermakna dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus yang akan memperkukuh kesinambungan operasi dan kesiapsiagaan penyiaran pada masa akan datang,” katanya.

    Beliau menambah bahawa pelancaran ini bukan sahaja melibatkan pembangunan infrastruktur, tetapi juga mencerminkan kesediaan TV AlHijrah untuk bergerak seiring dengan perubahan landskap media dan teknologi yang semakin pantas.

    Dalam dunia penyiaran yang semakin bergantung kepada teknologi, kekuatan organisasi bukan hanya terletak pada kandungan, tetapi juga pada sistem dan infrastruktur yang stabil, selamat dan berkesan. AMN dilihat sebagai pelaburan strategik yang membantu memperkukuh kecekapan operasi serta memastikan perkhidmatan penyiaran kekal diyakini penonton.

    Sebagai media Islam yang membawa amanah dakwah dan pembangunan ummah, TV AlHijrah perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan industri serta jangkaan penonton yang sentiasa berubah, katanya lagi.

    Penubuhan AMN juga selaras dengan usaha TV AlHijrah memperkukuh agenda transformasi digital organisasi, selain meningkatkan mutu pengurusan operasi dan infrastruktur penyiaran ke tahap yang lebih moden, mampan dan berdaya tahan.

    Selain pelancaran AMN, TV AlHijrah turut memperkenalkan Bincang Niaga 2026, sebuah inisiatif khas untuk membantu usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan ekosistem media TV AlHijrah bagi memperkukuh jenama, meningkatkan keterlihatan produk serta meluaskan capaian pasaran, bermula 22 Jun 2026 hingga 31 Julai 2026.

    Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menggunakan pelbagai platform promosi TV AlHijrah merangkumi televisyen, digital, media sosial dan platform penyiaran lain dalam ekosistemnya.

    Melalui Bincang Niaga 2026, peserta bukan sahaja dapat meningkatkan pendedahan jenama, tetapi juga menerima sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah dalam merancang kempen promosi yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing.

    Sebagai galakan, TV AlHijrah turut menawarkan diskaun istimewa sehingga 40 peratus kepada peserta yang mendaftar dalam tempoh promosi, tertakluk kepada terma dan syarat.

    Dalam masa yang sama, TV AlHijrah terus membawakan pelbagai program istimewa bagi mengajak masyarakat menghayati makna hijrah sebenar, di samping memperkukuh nilai ilmu, perpaduan, kasih sayang dan pembangunan ummah yang menjadi teras perjuangan sejak penubuhannya.

    Antara program khas yang disediakan termasuk siaran Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun pada 16 Jun, Dakwah Live: Hijrah Ummah (16 Jun, 9.00 malam), Assalamualaikum Khas Awal Muharam (17 Jun, 7.00 pagi), Dari Hati: Wanita (18 Jun, 9.00 malam), telemovie Sujudku (20 Jun 2026, 9.00 malam) serta drama pendek Bukan Kerana Itu (1 Julai, setiap hari jam 10.00 pagi dan 4.00 petang).

    Seiring usia 16 tahun, TV AlHijrah terus komited memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam negara yang bukan sahaja menyampaikan kandungan berkualiti dan berimpak, tetapi juga didukung oleh sistem operasi yang moden, stabil dan berdaya tahan bagi memenuhi keperluan penonton serta industri penyiaran yang sentiasa berkembang.