Peminat Radja diminta menandakan tarikh baharu apabila Konsert Revolusi Radja 25 Tahun kini dijadualkan berlangsung pada 19 September 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Menurut DHYAH PRODUCTION dan INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES, keputusan menukar tarikh dibuat selepas mengambil kira kesesakan jadual acara hiburan serta beberapa faktor semasa yang boleh menjejaskan pengalaman penonton sekiranya konsert diteruskan mengikut jadual asal.

Wakil penganjur, Mahbub Dermawan berkata, keutamaan mereka adalah memastikan peminat menikmati konsert dalam keadaan yang lebih selesa dan teratur.
“Kami mahu ulang tahun ke-25 Radja diraikan dengan penuh meriah. Tarikh baharu ini memberi lebih banyak ruang kepada peminat untuk hadir tanpa perlu berdepan kesesakan atau pertindihan dengan acara lain. Terima kasih atas kesabaran dan sokongan yang diberikan,” katanya.
Konsert ini dijangka menjadi malam penuh nostalgia apabila Radja membawakan lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai peminat di Malaysia dan Indonesia.

Selain persembahan utama daripada Radja, beberapa artis jemputan turut akan diumumkan bagi memeriahkan sambutan ulang tahun bersejarah tersebut.
Penganjur turut memaklumkan bahawa semua tiket yang telah dibeli kekal sah digunakan pada 19 September 2026 dan tidak memerlukan pembelian baharu.
Harga tiket bermula daripada RM75 sehingga RM1,200. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi myticket.asia.
