Tag: #BMCFamily360

  • BMC Family 360° Kembali dengan Lebih Meriah, Nabila Razali Antara Penghibur Utama

    Pesta keluarga mampan terbesar di Kajang, BMC Family 360° bertemakan “A Step to the Future” bakal berlangsung meriah di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras bermula 19 hingga 21 September 2025 dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Acara berskala besar ini dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan serta CelcomDigi dan dijangka menjadi tumpuan ribuan pengunjung.

    BMC Family 360° menampilkan pendekatan berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) dengan objektif memperkukuh nilai kekeluargaan, membina komuniti mampan dan menggalakkan gaya hidup pintar. Acara ini disusun dengan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan dan hiburan yang sesuai untuk semua peringkat umur, menjadikannya sebuah karnival keluarga yang menyeluruh.

    Turut menjadi perhatian adalah kehadiran penyanyi popular Nabila Razali yang dilantik sebagai jurucakap rasmi acara ini. Nabila atau lebih mesra disapa Bella mengakui dirinya semakin giat membuat persiapan bukan sahaja untuk persembahan, tetapi juga untuk menyampaikan mesej berkaitan kepentingan SDG kepada masyarakat. Menurutnya, penglibatan ini membuka peluang besar untuk dirinya memperkenalkan gaya hidup mampan dalam kehidupan seharian seperti menjaga kesihatan, menitikberatkan pendidikan, menggunakan air dan elektrik secara berhemah serta memastikan persekitaran yang baik untuk keluarga.

    Nabila menegaskan bahawa usaha menerapkan amalan berasaskan SDG tidaklah serumit yang disangka. Katanya, apa yang penting adalah kemahuan untuk memulakannya kerana setiap langkah kecil mampu memberi impak besar kepada masa depan. Beliau juga meluahkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk menjadi suara generasi muda yang menyampaikan mesej penting ini, sambil menyifatkan pengalaman ini sebagai sesuatu yang berharga dan bermanfaat bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk masyarakat sejagat.

    BMC Family 360° menjanjikan pelbagai pengalaman menarik sepanjang tiga hari berlangsung. Upacara perasmian akan diadakan pada 19 September 2025 jam 3 petang dengan kehadiran tetamu khas dan Nabila sebagai jurucakap rasmi acara. Malam berikutnya, 20 September jam 8 malam, penonton akan dihiburkan dengan Persembahan Malam SDG yang menggabungkan muzik, budaya dan mesej kemampanan dengan penampilan istimewa Nabila Razali. Selain itu, pengunjung juga akan dapat menyaksikan pameran oleh Angkatan Tentera Malaysia serta pameran dan showcase daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO selaras dengan 17 SDG.

    Acara ini turut menyediakan ruang riadah untuk seisi keluarga dengan adanya mini zoo, pertandingan melukis dan mewarna, segmen e-sukan serta ruang permainan interaktif. Tidak ketinggalan juga pameran inovasi dan jualan melibatkan bidang pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari.

    Dengan sasaran lebih 10,000 pengunjung dari sekitar Kajang, Cheras dan Lembah Klang, BMC Family 360° diyakini akan menjadi platform terbaik untuk keluarga meluangkan masa berkualiti bersama-sama. Ia bukan sahaja menjanjikan hiburan, malah menggabungkan ilmu pengetahuan, kesedaran kemampanan dan kebersamaan dalam suasana penuh keceriaan.

    Mari sama-sama melangkah ke masa depan yang lebih mampan dengan memeriahkan BMC Family 360°, sebuah acara keluarga yang bakal memberi inspirasi kepada semua.