Bagaimana jika satu identiti sahaja tidak mencukupi untuk menjadi wira di mata seorang anak? Slot Akasia TV3 tampil dengan Bayangan Lelaki Sempurna, sebuah drama yang mengangkat kisah penuh emosi tentang pengorbanan seorang bapa tunggal yang terpaksa menjalani dua kehidupan demi kelangsungan hidup keluarganya.
Menampilkan gandingan serasi Adam Lee dan Sweet Qismina, naskhah arahan Ejump Mohamad ini mengisahkan Ammar (Adam Lee), seorang penjual ikan yang tabah membesarkan anaknya, Aqish, sendirian. Walaupun hidup serba sederhana, Ammar tetap kuat dengan sokongan jiran mereka, Zulin, serta anaknya, Zara Milda (Sweet Qismina). Namun, segalanya berubah apabila Aqish memerlukan rawatan asma yang menelan belanja tinggi, memaksa Ammar membuat keputusan yang sukar.
Demi mencari jalan penyelesaian, Ammar mencipta identiti baharu sebagai “Luth Zafran”, seorang pempengaruh media sosial. Persona tersebut membuka peluang kepada kehidupan yang lebih mewah dan turut menarik perhatian Dahlia Rizwani (Riena Diana). Namun, di sebalik kejayaan itu, Ammar semakin terhimpit dengan rahsia yang perlu disembunyikan.
Menurut Adam Lee, watak Ammar mencerminkan kasih sayang seorang ayah yang tidak berbelah bahagi. “Ammar sanggup melakukan apa sahaja demi menjadi lelaki terbaik untuk anaknya, walaupun terpaksa hidup dalam kepalsuan,” jelasnya.
Drama 28 episod terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn. Bhd. ini turut dibintangi oleh Riena Diana, Maya Fathia, Wanns Ahmad dan Amin Iman.
Saksikan Bayangan Lelaki Sempurna bermula 9 April, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Anda juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal melalui aplikasi Tonton atau laman web rasmi www.tonton.com.my, serta mengikuti perkembangan terkini di media sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat.
