Program realiti sensasi, The Chosen One XTRA, kembali dengan tema baharu yang cukup segar, “We Listen, We Don’t Judge”. Musim kali ini tampil lebih istimewa dengan barisan juri hebat seperti Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah, manakala juri jemputan pula ialah personaliti tersohor tanah air, Datuk Aznil Hj. Nawawi. Pentas akhir ini dikendalikan oleh hos serba boleh, Nabil Ahmad, yang sentiasa menceriakan suasana dengan gaya bersahajanya.
Meneruskan kelainan yang sudah sinonim dengan program ini, The Chosen One XTRA bukan sekadar menampilkan bakat nyanyian semata-mata, tetapi turut memberi ruang untuk memperlihatkan kehebatan lain seperti tarian, akrobatik dan kebolehan bermain instrumen muzik. Musim kali ini juga membawa masuk barisan ‘coach’ selebriti baharu iaitu Naqiu, Nikki Palikat, Tuju & Loca B, Achey, Usop, Namie dan Bunga yang masing-masing membimbing bintang cilik pilihan mereka.
Antara persembahan yang mencuri perhatian ialah pasukan Naqiu yang menampilkan kumpulan Saputra dengan barisan peserta seperti Anas, Aleron, Aaron, Bilal, Aqish dan Syawal, membawakan lagu “Penglipur Lara” nyanyian asal Hazama. Nikki Palikat pula mempertaruhkan Iman dan Adawiya dengan pilihan lagu klasik “Fly Me To The Moon” yang pernah dipopularkan Count Basie dan Frank Sinatra. Turut hangat diperkatakan ialah persembahan Elysha dan Fana bersama Tuju & Loca B menerusi lagu “Jauhari”, selain pasangan Achey bersama Rayyan dan Dahlya yang membawakan gabungan “Berjuta Batu” (Alleycats) dan “Kita Usahakan Lagi” (Sebatas Senja).

Tidak ketinggalan, Usop mempertaruhkan gandingan Alif dan Yusuf dengan persembahan bertenaga menerusi lagu “Bukan Niatku” (Iklim) serta “Ada Gajah di Balik Batu” (Wali Band). Namie pula menampilkan Ayu dan Bella dengan gabungan lagu rock legenda “Bujang Senang” (Wings) serta “Pawana” (Search), meskipun pasukan ini tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya.
Lebih menarik, sistem penjurian kali ini ditentukan 100% daripada markah juri profesional sebaik sahaja persembahan tamat, menjadikan perjalanan pertandingan lebih telus dan tegas. Juara The Chosen One XTRA bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala tempat kedua, ketiga dan keempat akan menerima RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 bersama trofi.
Pentas akhir juga akan menyaksikan dua anugerah tambahan iaitu Coach Terbaik yang menawarkan wang tunai RM10,000, serta Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM10,000 yang ditentukan menerusi undian penonton di laman web rasmi www.thechosenone.com.my.
Dengan kombinasi bakat bintang cilik, kreativiti persembahan serta sokongan padu daripada para ‘coach’, musim kali ini dijangka menjadi antara yang paling mencabar dan penuh kejutan dalam sejarah The Chosen One XTRA.
