Tag: #BadutGendong

  • Badut Gendong Bakal Gegarkan Pawagam Malaysia Bermula 25 Jun 2026

    Badut Gendong Bakal Gegarkan Pawagam Malaysia Bermula 25 Jun 2026

    Selepas mencetus fenomena di Indonesia, filem seram aksi Badut Gendong kini bakal menggegarkan pawagam Malaysia bermula 25 Jun 2026.

    Badut Gendong merupakan antara naskhah di bawah francais Universe Qodrat. Di Malaysia, Universe Qodrat sudah pun mempunyai kelompok peminat tersendiri yang mengikuti rapat gabungan elemen seram, spiritual dan dramatik dalam francais ini.

    Kejayaan ini dapat dilihat menerusi sambutan hangat penonton tempatan terhadap Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025). Kehadiran Badut Gendong dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan Qodrat Universe sebagai antara francais seram serantau yang semakin berpengaruh.

    Badut Gendong membawa genre seram serantau ke arah yang berbeza dan berdiri dengan kekuatan tersendiri. Ia bukan sekadar bergantung kepada elemen gangguan makhluk halus, tetapi turut mengangkat naratif yang menyentuh sisi kemanusiaan, kehilangan, tekanan psikologi dan isu sosial yang jarang diketengahkan dalam filem arus perdana.

    Dalam masa yang sama, filem ini juga menampilkan elemen budaya dan ritual di Indonesia, termasuk latar kehidupan badut gendong atau pengamen jalanan yang menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan dan sumber rezeki di sana.

    Diarahkan oleh Charles Gozali, Badut Gendong mengikuti kisah Darso, seorang penghibur jalanan yang hidup serba kekurangan bersama isterinya, Darsi. Namun, satu tragedi kehilangan telah mengubah seluruh kehidupannya, membawa penonton menyelami bagaimana kesedihan dan tekanan boleh mengubah manusia menjadi sesuatu yang lebih gelap, atau ‘monster’.

    Dalam filem ini, Darso digambarkan sebagai simbol kemarahan kelas bawahan yang lama terpinggir. Dengan isu ketidakadilan yang bersifat universal, filem ini menegaskan bahawa ‘monster’ sebenar tidak semestinya datang dari alam ghaib, tetapi boleh terbentuk daripada luka yang tidak pernah sembuh.

    Watak Darso dibawakan oleh Marthino Lio dan digandingkan dengan barisan pelakon hebat Indonesia seperti Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Vonny Anggraini, Totos Rasiti, Insan Nur Akbar, Barry Prima dan Jose Rizal.

    Dengan lakonan yang memberi kesan mendalam, suasana filem yang tegang dan pendekatan penceritaan yang berani, Badut Gendong membawa penonton menyelami dunia gelapnya sendiri, sekali gus menjadi refleksi kepada realiti kehidupan yang sering diabaikan.

    Filem ini diterbitkan oleh MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.

    Menurut pengarah, Charles Gozali yang juga antara penulis skrip, Badut Gendong dicipta sebagai sebahagian daripada pengembangan Universe Qodrat untuk dipertemukan dengan watak Ustaz Qodrat dalam naskhah akan datang. Watak Darso pula dilihat sebagai sisi gelap kepada Qodrat, di mana kedua-duanya melalui kehilangan cinta orang tersayang, tetapi memilih jalan yang berbeza. Pertembungan ini akan membuka ruang kepada konflik yang lebih mendalam tentang bagaimana luka yang sama boleh membentuk manusia ke arah yang berbeza.

    Penerbit Badut Gendong merangkap penerbit MAGMA Entertainment, Linda Gozali berkata, idea membina crossover universe ini adalah langkah berani, namun penting untuk memastikan watak lawan kepada Ustaz Qodrat benar-benar setara dari segi kekuatan cerita. Watak Darso dibentuk berdasarkan realiti masyarakat hari ini yang semakin terpinggir akibat ketidakadilan, sekali gus menjadikan filem ini sebagai cerminan kepada isu sosial dan emosi manusia yang semakin kompleks.

    Mewakili Malaysia, Datuk Ahmad Izham bin Omar selaku Ketua Penerbit Komet Productions berkata Badut Gendong merupakan sebuah naskhah yang kuat dan unik dengan sentuhan Charles Gozali yang membawa penonton masuk ke dunia penuh misteri dan ketegangan. Kualiti filem ini juga dilihat sangat tinggi sehingga menarik perhatian pelbagai negara, dan pihaknya berbesar hati dilantik sebagai penerbit eksekutif untuk projek ini.

    Saksikan Badut Gendong di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 Jun 2026. Gunakan #BadutGendong di media sosial dan ikuti perkembangan serta klip menarik filem ini menerusi akaun rasmi MAGMA Entertainment, Komet Productions dan Astro Shaw.