Tag: #AxiataArenaKL #LiveMusicKL

  • Satu Pentas, Dua Legenda: Dewa 19 dan Padi Reborn Bakal Gegarkan Malaysia

    Satu Pentas, Dua Legenda: Dewa 19 dan Padi Reborn Bakal Gegarkan Malaysia

    Tiga tahun selepas pertemuan terakhir mereka pada 29 September 2023 menerusi konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra – Chapter 5, Dewa 19 kembali meninggalkan kesan mendalam kepada para penggemar setia mereka, ‘Baladewa’, dengan hits seperti Kangen yang masih dirindui ramai. Menjelang 2026, band legenda Indonesia ini bersiap untuk menghadirkan momen baharu melalui konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia, di mana mereka akan membawakan lagu-lagu ikonik seperti Sedang Ingin Bercinta dan Roman Picisan, yang sentiasa menjadi rindu peminat. Konsert ini dijadual berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

    Konsert kali ini diadakan oleh Icon Entertainment, penggerak di sebalik kejayaan penganjuran Separuh Nafas, memastikan Dewa 19 tidak tampil kosong. Band yang diasaskan oleh Ahmad Dhani itu akan tampil bersama rakan seperjuangan mereka termasuk Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha. Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menjelaskan bahawa Malaysia memiliki tempat istimewa di hati Dewa 19 kerana hubungan yang terjalin dengan para penggemar mereka di negara ini. Selepas berbincang dan mencapai kata sepakat, konsert dinamakan Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia sebagai penghormatan kepada cinta yang terus tertinggal di hati Baladewa.

    Konsert ini bakal menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha, dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama Tyo Nugros. Lebih menarik, buat julung kali, Icon Entertainment membawa Padi Reborn sebagai penampilan khas, menjadikan persembahan ini satu platform istimewa yang menyatukan dua band legenda Indonesia di atas satu pentas. Iman Tang berkata, “Dewa 19 dan Padi Reborn bakal menebarkan satu perasaan dan cinta yang sama, menjadikan konsert ini sangat signifikan bagi para Baladewa dan Sobat Padi.”

    Konsep persembahan menekankan kasmaran dan mesej cinta, seiring tema lagu-lagu mereka yang hits seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah, dan Menanti Sebuah Jawaban. Axiata Arena pada 6 Jun 2026 dijangka dipenuhi aura “Sedang Ingin Bercinta”, sambil peminat menyaksikan gabungan karisma dan pesona kedua-dua band. Tema pakaian bagi peminat juga mudah dan menonjolkan sisi asli mereka sebagai peminat sejati: T-shirt band asli Dewa 19 atau Padi Reborn, menjadikan pengalaman konsert lebih intim dan bermakna.

    Tiket konsert akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi melalui pautan www.ticket2u.com.my/dewa19 dengan kategori dan harga berikut: RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta), dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta). Dengan persembahan Dewa 19 dan Padi Reborn, konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia dijangka mencipta fenomena baharu, menghidupkan Axiata Arena dengan semangat persahabatan, cinta, dan muzik yang menyatukan peminat.

    Maklumat Konsert:
    Artis: Dewa 19 bersama Ari Lasso, Virzha, Marcello Tahitoe, Tyo Nugros
    Penampilan khas: Padi Reborn
    Acara: Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia
    Tarikh: 6 Jun 2026
    Lokasi: Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur
    Masa: 8 malam
    Penganjur: Icon Entertainment
    Kategori & Harga tiket: RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta), RM488 (Sedang Ingin Bercinta)
    Pembelian tiket: Tiket mula dijual pada 27 Februari 2026, jam 11 pagi di www.ticket2u.com.my/dewa19