SHAH ALAM – Aurum79 Sdn. Bhd. menerusi AurumLX mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan emas sebagai simpanan utama keluarga dengan memperkenalkan aspirasi “satu keluarga satu gram emas”. Inisiatif itu diyakini mampu membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat dalam jangka panjang.
Pengarah Eksekutif AurumLX, Muhamad Afif Mohamad berkata, pemilikan emas kini lebih mudah kerana orang ramai boleh mula menyimpan mengikut kemampuan tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.
Katanya, simpanan boleh dimulakan dengan hanya RM10 dan ditambah secara berperingkat sehingga mencapai sasaran yang diinginkan.

“Kami mahu masyarakat melihat emas sebagai simpanan, bukannya sesuatu yang hanya mampu dimiliki golongan tertentu. Kalau bermula sekarang dan terus konsisten, sasaran memiliki satu kilogram emas bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Syariah dan Penyerahan Sijil Kecekapan Pematuhan Pengukuran Ketulenan Emas oleh NMIM di Shah Alam.
Turut hadir ialah Penasihat Syariah Aurum79 Sdn. Bhd., Dr. Mohd Shahid Mohd Noh.

Afif berkata, platform digital yang dibangunkan AurumLX membolehkan pelanggan membeli serta menyimpan emas fizikal dengan lebih mudah dan selamat.
Tambah beliau, syarikat juga memberi fokus kepada aspek ketulenan emas menerusi kerjasama strategik bersama NMIM dan SIRIM bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Dalam masa sama, AurumLX turut merancang membangunkan makmal pengujian emas sendiri bagi mengukuhkan lagi proses semakan ketulenan pada masa akan datang.
Beliau berkata, pengguna juga perlu lebih peka terhadap tawaran pelaburan yang terlalu indah untuk dipercayai.
“Kalau ada pihak yang menjanjikan pulangan tetap atau keuntungan yang terlalu mudah, itu sepatutnya menjadi amaran kepada pengguna supaya tidak terjebak dengan penipuan,” katanya.
