Tag: #AstroMusic

  • Hael Husaini: Sebuah Legasi Seni

    Hael Husaini: Sebuah Legasi Seni

    Setelah lebih sedekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi, komposer dan pemenang pelbagai anugerah, Hael Husaini akhirnya merealisasikan impian besar yang sekian lama dinanti konsert solo sulungnya, “Hael Husaini & Repertoire”, dibawakan oleh Astro dan Rocketfuel Entertainment di Zepp Kuala Lumpur.

    Konsert ini bukan sekadar menghimpunkan karya-karya terbaik ciptaan Hael, malah menjadi sebuah perayaan seni yang merakam suka duka perjalanan kariernya selama 11 tahun.

    “Ini adalah manifestasi jatuh bangun saya dalam muzik. Bukan hanya persembahan, tetapi tanda penghargaan kepada peminat, rakan artis, dan semua yang percaya sejak awal,” kata Hael penuh emosional.

    Mengangkat tema “repertoire”, Hael mempersembahkan rangkaian lagu hit miliknya serta karya ciptaan yang pernah dipopularkan oleh Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali, dan Wany Hasrita. Masing-masing tampil memukau dengan gaya tersendiri, menghidupkan lagu-lagu tersebut di pentas yang sama.

    Konsert turut dibuka dengan persembahan bertenaga kumpulan ALPHA, juara Big Stage Alpha, membawakan lagu “Bujang” dan “Lara” yang pernah dipopularkan Hael.

    Antara momen istimewa malam itu adalah duet Hael dan Nadeera menerusi lagu baharu “Peluk”, kerjasama kedua selepas kejayaan lagu raya “Meriah Lain Macam”. Selain itu, Hael mempersembahkan dua lagi karya baharu “Alangkah” dan “Jari” yang bakal dimuatkan dalam album “Antonim: Part II”.

    Sorakan gemuruh memecah dewan apabila biduanita negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza muncul di pentas menyampaikan lagu ciptaan Hael. Hubungan seni antara mereka yang terjalin sejak konsert “The Next Wave” di Singapura terus diperteguh melalui momen ini.

    “Selepas 11 tahun, berdiri di pentas sendiri dengan insan-insan yang saya kagumi, termasuk Dato’ Sri Siti, adalah antara detik paling bermakna dalam hidup saya,” ujar Hael.

    Bagi yang terlepas menyaksikan secara langsung, “Hael Husaini & Repertoire” akan disiarkan secara eksklusif di Astro KITA Channel (saluran 100) pada 13 September 2025, jam 9 malam.

    Konsert ini diakhiri dengan ucapan penuh rendah hati Hael:

    “Saya mungkin tidak punya ramai kawan dalam industri, tetapi malam ini saya rasa saya ada keluarga. Terima kasih kepada semua ini bukan penutup, ini permulaan.”