Pencalonan bagi Anugerah Seni Negara (ASN) Tahun 2026 kini dibuka secara rasmi kepada seluruh masyarakat Malaysia bermula 12 Mac hingga 11 Mei 2026. Pencalonan ini memberi peluang kepada orang ramai, termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi untuk menamakan tokoh seni yang layak menerima pengiktirafan tertinggi negara dalam bidang seni.
Anugerah Seni Negara merupakan antara penghargaan paling berprestij yang diberikan kepada tokoh seni tempatan yang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan industri seni tanah air. Bagi edisi 2026, pencalonan melibatkan lima bidang utama iaitu Seni Muzik, Seni Tari, Seni Lakon, Seni Kraf dan Seni Visual.
Calon yang dicalonkan perlu memenuhi beberapa kriteria utama, antaranya merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 25 tahun dalam bidang seni masing-masing serta masih aktif berkarya. Selain itu, mereka juga perlu menunjukkan bakat dan kecemerlangan secara konsisten, menghasilkan karya yang memberi impak kepada industri seni, serta berperanan dalam membimbing bakat baharu.
Selain aspek pencapaian seni, calon juga dinilai berdasarkan kepimpinan dan pengaruh mereka dalam bidang seni sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Kriteria ini bertujuan memastikan penerima anugerah bukan sahaja cemerlang dalam karya seni, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem seni negara.
Bagi ASN 2026, tiga kategori utama anugerah akan diberikan iaitu Anugerah Seniman Negara, Anugerah Karyawan Seni serta Anugerah Pendukung Seni. Anugerah Seniman Negara akan diberikan kepada seorang tokoh seni yang benar-benar memberi sumbangan luar biasa kepada negara.
Sementara itu, Anugerah Karyawan Seni akan diberikan kepada lima penerima yang masing-masing mewakili lima bidang seni yang dipertandingkan. Manakala Anugerah Pendukung Seni pula akan diberikan kepada tiga penerima daripada kategori media, korporat dan badan bukan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan seni di Malaysia.
Antara insentif yang disediakan termasuk wang tunai sehingga RM60,000, watikah penganugerahan, trofi, serta pelbagai pengiktirafan lain sebagai penghargaan kepada sumbangan tokoh seni negara.
Orang ramai yang berminat untuk membuat pencalonan boleh mendapatkan borang serta maklumat lanjut melalui laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum tarikh tutup pada 11 Mei 2026.
