Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G dengan sokongan Kementerian Komunikasi kini melangkah ke fasa yang lebih mendebarkan apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan senarai lima finalis bagi 26 kategori yang dipertandingkan.
Lebih menarik, AIM24 turut menawarkan ganjaran bernilai RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi yang disalurkan melalui MyCreative Ventures (MyCV). Dana ini akan diberikan kepada pemenang dalam 11 kategori terpilih, termasuk RM200,000 untuk pemenang Album Terbaik serta RM50,000 untuk kategori seperti Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.
Sidang media yang berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur itu dipengerusikan oleh Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim. Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 130 finalis telah dipilih hasil penjurian telus oleh panel juri profesional. Keseluruhan permarkahan telah diaudit oleh firma Mazars, manakala urus tadbir penjurian dijalankan oleh Macomm Management Services Sdn. Bhd. Panel juri terdiri daripada penggiat industri muzik tempatan berpengalaman luas seperti komposer, penulis lirik, penyanyi, penerbit, guru vokal, pengarah video dan pakar teknikal muzik. Penjurian diketuai oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail sebagai Ketua Juri.
Menurut Rosmin, senarai lima finalis ini menggabungkan bakat baharu yang sedang meningkat naik serta nama-nama besar dalam industri muzik tempatan. Beliau yakin dengan sokongan dana daripada MyCV, pemenang AIM24 akan mampu menghasilkan lebih banyak karya berkualiti yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Puan Noreen Iszani Yusak, Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics, Puan Agnes Wong, serta barisan wakil penaja dan rakan strategik.

Sebanyak 682 pencalonan diterima untuk AIM24 berdasarkan karya muzik yang diterbitkan dalam tempoh 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penjurian awal telah dilaksanakan pada Julai lalu melibatkan kategori Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik serta kategori lain di Hotel Majestic Kuala Lumpur dan Timeless Studio.
Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada Sabtu, 13 September 2025 bermula jam 9 malam, dengan siaran langsung eksklusif oleh RTM menerusi TV2 dan RTM Klik. Acara karpet merah akan bermula sejam lebih awal pada jam 8 malam. Sebelum itu, Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025 akan menyaksikan pengumuman enam kategori iaitu Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi Distrim dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube.
Secara keseluruhan, AIM24 mempertandingkan 30 kategori termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik. Acara kali ini turut mendapat tajaan Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi serta sokongan rakan strategik seperti Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd. dan Timeless Studio.
Sejak pertama kali dianjurkan pada 1993, AIM terus menjadi platform berprestij yang mengiktiraf pencapaian terbaik dalam industri muzik tanah air. Tahun ini, dengan penambahan kategori baharu dan sokongan dana kreatif, AIM24 dijangka menjadi edisi paling bersejarah dalam perjalanan industri muzik Malaysia.
