Tag: #AlternateRecords

  • Buah Tangan Terbaharu Shiha Zikir Berjudul ‘Pelangi Kelabu’

    Buah Tangan Terbaharu Shiha Zikir Berjudul ‘Pelangi Kelabu’

    Bersama Alternate Records, penyanyi berbakat Shiha Zikir kembali dengan single terbarunya, “Pelangi Kelabu”, sebuah lagu pop balada yang penuh dengan emosi dan menyentuh hati. Lagu ini bukan sahaja memikat dengan melodi yang mempesona, tetapi juga mengungkapkan lirik yang dalam dan penuh makna, membuka ruang bagi pendengar untuk merasai setiap lapisan perasaan yang terkandung dalam lagu ini. Lebih menarik, “Pelangi Kelabu” turut menjadi runut bunyi bagi drama Marina, yang disiarkan eksklusif di aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis.

    “Pelangi Kelabu” menggambarkan kisah perjalanan hati seorang protagonis yang dilanda kesakitan akibat perpisahan. Lagu ini merungkai perasaan patah hati yang menghimpit jiwa dan menggambarkan pergelutan antara kesedihan dan usaha untuk menerima kenyataan. Dalam lagu ini, hujan dan air digunakan sebagai simbol bagi kedalaman kesedihan yang memenuhi jiwa, serta kerinduan yang membuakkan perasaan.

    Pada bahagian korus, liriknya mengisahkan protagonis yang mencari perlindungan di bawah langit mendung, berusaha menyembunyikan tangisan yang tak terucap, sambil merindui cinta yang sudah tiada. “Pelangi Kelabu” melambangkan harapan yang semakin pudar akibat kekecewaan, namun juga memberi pengajaran bahawa seperti hujan yang akan reda dan pelangi yang akan muncul semula, kesedihan ini akan berlalu dan kebahagiaan akan kembali.

    Shiha Zikir, yang terkenal dengan vokal yang penuh emosi, meluahkan rasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada projek ini. Beliau berkongsi, “Kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya sangat teruja kerana lagu ini sangat sesuai dengan tema drama yang sedang trending. Proses rakaman sangat lancar dan hanya mengambil masa 3 jam. John Jeeves banyak membantu mempermudah proses ini.”

    Bercerita tentang cabaran yang dihadapi semasa merakam lagu ini, Shiha berkata, “Cabaran terbesar saya adalah untuk mendapatkan mood yang tepat dan menghayati lagu ini sepenuhnya. Saya perlu meletakkan diri saya dalam lagu ini, membayangkan kesakitan yang saya rasa agar penyampaian saya lebih jujur. Saya berharap lagu ini memberi kesan yang mendalam kepada pendengar dan mereka dapat merasai perasaan yang saya cuba sampaikan.”

    Lagu ini adalah hasil karya bersama antara John Jeeves, Iqie Hugh, dan Omar K. Idea untuk lagu ini tercetus daripada gambaran tentang kesedihan yang mampu mengaburkan kebahagiaan, seperti pelangi yang sepatutnya berwarna-warni tetapi akhirnya menjadi kelabu. John Jeeves memuji kemampuan Shiha dalam menyampaikan pelbagai ekspresi melalui nyanyian, dan menyatakan bahawa kerjasama mereka sangat memuaskan. Beliau juga menambah, “Shiha datang ke studio dengan persediaan yang penuh dan idea-idea yang sangat bernas.”

    Menurut John Jeeves, lagu ini harus didengarkan kerana gabungan lirik yang penuh perasaan dan melodi yang menarik, ditambah dengan penyampaian Shiha yang sangat asli dan memukau. “Kami berharap lagu ini memberi impak yang mendalam kepada pendengar serta memperkenalkan sisi baharu Shiha Zikir dalam dunia seni,” kata John Jeeves. “Kami amat teruja untuk berkongsi karya ini dan berharap lagu ini akan diterima baik oleh industri muzik serta mencapai kejayaan komersial.”

    Single terbaru Shiha Zikir, “Pelangi Kelabu”, kini boleh didengari di iTunes, Spotify, YouTube Music, dan pelbagai platform penstriman dalam talian yang lain. Dengan lirik yang menyentuh hati dan melodi yang memukau, lagu ini pastinya akan menjadi teman bagi sesiapa yang pernah merasai kekecewaan dalam hidup.

    Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, jangan lupa untuk mengikuti akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

  • Zizi Safira Lancarkan Single ‘Merana’ Gabungan EDM Moden dan Tradisi Nusantara

    Zizi Safira Lancarkan Single ‘Merana’ Gabungan EDM Moden dan Tradisi Nusantara

    Penyanyi berbakat dari Sabah, Zizi Safira, kini melangkah ke satu fasa baru dalam karier muziknya dengan pelancaran single terbarunya, “Merana”. Lagu yang diterbitkan oleh Alternate Records & Talent ini menggabungkan elemen muzik moden EDM bersama sentuhan tradisional Nusantara, menjadikannya satu karya yang menarik untuk didengar oleh semua lapisan peminat muzik.

    Zizi Safira, yang mula menyanyi secara profesional pada tahun 2018, dikenali dengan suaranya yang bertenaga dan memukau. Sejak itu, beliau aktif dalam pelbagai pertandingan nyanyian dan telah menghasilkan tiga single yang dilancarkan di Sabah. Salah satu pencapaian besar dalam kerjayanya adalah kejayaannya menjuarai episod program popular TV3, I Can See Your Voice Malaysia, pada Julai 2024, yang membuka lebih banyak peluang dalam dunia muzik.

    Lagu “Merana” dihasilkan oleh komposer terkenal Mas Dewangga dan Jova Devito, dan ia mengisahkan tentang seseorang yang melalui pelbagai tekanan emosi namun memilih untuk bertahan dan melawan kesakitan itu dengan semangat dan keyakinan. Lagu ini memberikan mesej yang kuat mengenai ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup.

    Menurut Zizi, “Merana” merupakan lagu yang berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dibawakannya sebelum ini. Gabungan bunyi tradisional yang menyentuh perasaan dengan elemen moden membuatkan Zizi jatuh cinta dengan lagu ini sejak pertama kali mendengarnya. “Saya sangat teruja untuk mencabar diri sendiri dan memberikan yang terbaik dalam karya ini,” ujar Zizi.

    Bekerjasama dengan Mas Dewangga dalam lagu ini memberi pengalaman yang sangat bermakna baginya. “Kerjasama dengan Abang Mas Dewangga sangat berharga kerana beliau memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk menyampaikan lagu ini dengan cara saya sendiri. Proses rakaman juga sangat cepat dan lancar. Cabaran utama adalah untuk menyampaikan emosi yang mendalam, dengan karakter sinis, sambil mengawal vokal dan pernafasan untuk memberikan kesan yang maksimal,” tambah Zizi.

    “Merana” mengangkat genre EDM ke tahap yang lebih tinggi dengan menggabungkan elemen progressive house dan pop-dance bersama alat muzik tradisional. Mas Dewangga menyatakan, “Zizi adalah seorang penyanyi yang sangat profesional dan bertenaga. Vokalnya yang kuat memberikan impak besar dan menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar lagu EDM biasa.” Mas Dewangga berharap lagu “Merana” akan menjadi fenomena baru dalam industri muzik Malaysia dan meraih tempat di hati pendengar di platform digital serta acara muzik.

    Single “Merana” akan dilancarkan di semua platform digital pada 6 Disember 2024. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan Alternate Records & Talent, pengikut boleh melawat laman media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

  • Voice In Public (VIP) Kembali Menggegar Industri Muzik Dengan Single ‘Setia’

    Voice In Public (VIP) Kembali Menggegar Industri Muzik Dengan Single ‘Setia’

    Band alternative rock/pop yang semakin mendapat perhatian, Voice In Public (VIP), sekali lagi mencuri tumpuan dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu mereka yang berjudul ‘Setia’. Lagu ini merupakan kolaborasi pertama mereka bersama komposer dan penulis lirik terkenal, Klangit, dan juga single kedua mereka bersama label Alternate Records & Talent.

    Dengan genre pop rock yang penuh emosi, ‘Setia’ mengisahkan tentang perjuangan seorang wanita yang dikhianati dalam percintaan, namun tetap setia kepada janji manis yang akhirnya mengundang luka di hati. Di sebalik muzik yang kuat dan menggugah, VIP menampilkan vokal mantap daripada penyanyi utama, Dyeana Halim, yang didukung oleh petikan gitar daripada Awie dan Daha, serta rentak bass Rahul yang mengalun penuh melodi. Gabungan ini membawa pendengar menyelami perjalanan emosi yang mendalam dan berbekas di hati.

    Bagi VIP, menjaga emosi konsisten sepanjang lagu ini bukanlah satu tugas yang mudah. “Kami berharap ‘Setia’ dapat menyentuh hati pendengar dan menjadi karya yang dikenang lama,” kata mereka. Mereka juga mengajak para peminat untuk merasai lagu ini dengan sepenuh hati, menekankan bahawa ‘Setia’ bukan sahaja tentang cinta, tetapi juga mengenai kesetiaan yang mampu mengubat hati-hati yang terluka.

    Dalam temubual, VIP turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur kerana diberi peluang untuk membawa lagu ciptaan Klangit yang terkenal dalam industri muzik tempatan. “Ini adalah penghormatan besar buat kami. Lagu ini adalah hasil kolaborasi yang penuh makna,” ujar Dyeana. Proses rakaman yang lancar turut disokong oleh pengalaman dan bimbingan daripada Klangit, khususnya daripada ahli-ahli band tersebut, Ary dan Haris, yang telah berpengalaman hampir dua dekad dalam dunia muzik profesional. “Mereka banyak berkongsi ilmu dan memberi sokongan kepada kami sepanjang proses rakaman,” tambah Dyeana.

    Komposer Klangit, yang terkenal dengan karya-karya besar dalam industri muzik, memberikan pujian tinggi terhadap VIP. “Lagu ini wajib didengari. Vokal Dyeana sangat mantap dan mesejnya jelas—jangan sia-siakan seseorang yang setia,” kata Ary dan Haris. Klangit juga optimis bahawa ‘Setia’ akan diterima dengan baik oleh peminat muzik tempatan dan berharap agar VIP terus berkembang maju dalam perjalanan muzik mereka.

    Kini, ‘Setia’ sudah boleh didapati di semua platform digital utama, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Jangan lupa untuk mendengar lagu ini dan jadikannya sebahagian daripada senarai putar harian anda.

    Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Alternate Records & Talent, ikuti mereka di media sosial melalui Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

  • ‘Terukir’ Karya Penuh Makna Daus Eli Buat Peminat

    ‘Terukir’ Karya Penuh Makna Daus Eli Buat Peminat

    Daus Eli, seorang penyanyi yang sudah lama dikenali dalam industri muzik Malaysia, kini kembali dengan single terbarunya yang berjudul Terukir. Ini adalah kolaborasi pertamanya dengan Alternate Record & Talents, yang membawa warna baharu dalam perjalanan muziknya. Terukir bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi sebuah karya yang mendalam, menggabungkan unsur cinta sejati, ketulusan, dan nilai kerohanian. Lirik-lirik seperti “Kan ku terima cintamu di atas nama-Nya” dan “Selagi kau selalu ada, terbit rasa cinta” menggambarkan mesej cinta yang lebih daripada sekadar romantik—ia juga merujuk pada kepercayaan dan keteguhan iman.

    Menurut Daus Eli, proses pembikinan lagu ini mengambil masa hampir dua bulan, melibatkan penggubahan muzik, rakaman vokal, serta proses mixing dan mastering. Beliau turut menyumbang sebagai komposer dan penulis lirik bersama Syed Asyraf. “Proses penghasilan lagu ini memberi pengalaman yang sangat berharga. Saya berharap agar setiap patah kata dalam lagu ini dapat menyentuh perasaan pendengar,” ujar Daus.

    Lagu ini menggabungkan genre Pop Catchy-Reggae, dengan melodi yang ceria dan energik, sesuai sebagai mood booster untuk sesiapa sahaja yang mendengarnya. Namun, di balik suasana yang ceria, terdapat elemen emosi yang mendalam yang menyentuh keindahan cinta sejati. Terukir membawa tema cinta yang lebih matang, penuh keikhlasan dan kepercayaan, menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua golongan usia.

    Daus Eli, yang terkenal melalui penyertaan dalam program realiti pada 2010, kini telah meniti perjalanan selama 14 tahun dalam dunia hiburan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, beliau terus melangkah maju dan tetap mengukir nama dalam industri muzik tanah air. “Saya berharap Terukir bukan sahaja diterima baik oleh peminat, tetapi juga dapat meninggalkan kesan mendalam di hati mereka,” tambah Daus.

    Menurut Syed Asyraf, inspirasi untuk lagu ini datang daripada perbualan santai dan permainan gitar, serta kisah cinta yang agung seperti perkahwinan Nabi Adam dan Hawa. “Lagu ini adalah simbolik bahawa setiap perjalanan hidup dan cinta kita telah tertulis oleh-Nya. Ia juga mengajak kita untuk menerima takdir dengan hati yang terbuka,” kata Syed.

    Keunikan Terukir terletak pada gabungan elemen kerohanian dan romantik dalam liriknya. Daus Eli turut mengakui cabaran dalam menghasilkan lagu yang dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat, tanpa disalah tafsirkan. “Saya mahu *Terukir* dikenang bukan hanya sebagai sebuah lagu, tetapi sebagai karya yang memberi impak yang mendalam,” jelas Daus.

    Terukir adalah hadiah untuk peminat yang mencari muzik yang tidak hanya menghiburkan, tetapi juga penuh dengan makna dan emosi yang mendalam. Dengan melodi yang memikat dan lirik yang puitis, lagu ini memperlihatkan kehebatan Daus Eli sebagai seorang pengkarya yang mampu menghasilkan lagu yang relevan dan menyentuh hati.

    Jangan lepaskan peluang untuk mendengar Terukir yang kini boleh didengari di platform seperti iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Alternate Record & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di media sosial di Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

  • ‘Ada Kamu’ Lagu Baharu Ika Mustafa Rai Keindahan Persahabatan Sejati

    ‘Ada Kamu’ Lagu Baharu Ika Mustafa Rai Keindahan Persahabatan Sejati

    Lagu ‘Ada Kamu’ yang dinyanyikan oleh Ika Mustafa hadir sebagai sebuah karya yang memberi penghargaan kepada keindahan persahabatan sejati. Lagu ini menjadi simbol penting bagi mereka yang menghargai kehadiran sahabat yang sentiasa ada dalam suka dan duka. Dengan melodi pop yang ceria dan segar, ‘Ada Kamu’ membawa pendengar untuk merasai keceriaan dan kegembiraan, sambil memberikan kesan mendalam melalui mesejnya yang penuh makna.

    Berkisarkan tentang hubungan persahabatan, ‘Ada Kamu’ menampilkan lirik yang penuh dengan kesetiaan, keikhlasan, dan sokongan tanpa syarat. Lagu ini menggambarkan keindahan hidup yang dikelilingi sahabat-sahabat yang sentiasa ada untuk menemani dalam saat-saat baik dan buruk. Dengan irama yang ringan dan energetik, lagu ini mendorong pendengarnya untuk terus menyambut hidup dengan penuh keceriaan.

    Ika Mustafa, yang mula dikenali melalui rancangan Lagu Cinta Kita musim ketiga, kini meneruskan perjalanan seninya di bawah label Alternate Records. Mengenai penghasilan ‘Ada Kamu’, Ika berkongsi pengalamannya bekerja dengan dua nama besar dalam industri muzik iaitu Amir Hasan sebagai penulis lirik dan Mingaling yang bertanggungjawab untuk susunan muzik. “Projek ini sangat bermakna bagi saya kerana dapat bekerjasama dengan dua orang yang sangat berbakat. Lagu ini juga menjadi OST untuk drama Gadis dan Angan-Angan, yang merupakan satu penghormatan bagi saya,” jelas Ika.

    Menyentuh tentang proses kreatif lagu ini, Ika menjelaskan bahawa penghasilan ‘Ada Kamu’ melibatkan dua sesi utama. Sesi pertama berfokus pada penulisan lagu, rakaman demo, dan mendapatkan kelulusan pihak produksi, manakala sesi kedua adalah untuk merakam versi akhir lagu. “Proses ini amat menyenangkan kerana saya diberi kebebasan kreatif dan berpeluang untuk bekerjasama dengan orang-orang yang memahami visi saya,” tambahnya.

    Dalam penghasilan lagu ini, Ika tidak hanya mempersembahkan genre pop biasa, tetapi turut menggabungkan elemen hip hop dan rap yang memberikan sentuhan unik pada lagu ini. “Lagu ini sedikit berbeza kerana tidak meromantisasi hubungan percintaan seperti kebanyakan lagu, sebaliknya ia lebih kepada meraikan keindahan persahabatan yang sebenar,” ujar Ika.

    Amir Hasan, yang turut menyumbang sebagai penulis lirik dan komposer, berkongsi bahawa inspirasi untuk *Ada Kamu* datang secara spontan. “Kami mencipta lagu ini melalui sesi freestyle di studio bersama rakan-rakan, dan saya rasa lagu ini mempunyai tenaga dan bunyi yang berbeza daripada apa yang biasa didengari di pasaran muzik sekarang. Semoga ia dapat memberi kesan positif kepada pendengar,” kata Amir.

    Sementara itu, Amir turut mengungkapkan penghargaan terhadap Ika sebagai seorang penyanyi yang sangat berbakat dan bersemangat. “Ika sangat ceria, fokus, dan vokalnya memberikan tenaga serta keunikan yang sempurna untuk lagu ini. Proses rakaman berjalan lancar walaupun kami mengambil masa untuk mencari melodi yang tepat,” ujarnya.

    Lagu ‘Ada Kamu’ bukan sahaja tampil sebagai single keempat Ika bersama Alternate Records, tetapi ia juga dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Gadis dan Angan-Angan. Bagi peminat yang terlepas siaran drama ini, ia boleh ditonton semula di platform Tonton.

    Dengarkan ‘Ada Kamu’ sekarang di iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Nikmati setiap bait lirik yang menyentuh hati dan sambut keindahan persahabatan dengan lagu yang penuh makna ini.

    Untuk maklumat terkini mengenai projek-projek Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial melalui akaun rasmi Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).

  • ‘Selalu’ Nyanyian Ameerais, Sebuah Kisah Cinta Yang Sarat Emosi

    ‘Selalu’ Nyanyian Ameerais, Sebuah Kisah Cinta Yang Sarat Emosi

    Setiap detik indah yang dilalui dalam hidup sering kali mencetuskan rasa ingin berhenti sejenak, menikmati keindahan cinta yang tidak ada penghujungnya. Inilah perasaan yang ingin diabadikan oleh Alternate Records melalui karya terbaharu Ameerais, berjudul ‘Selalu’, sebuah lagu yang sarat dengan emosi dan mengisahkan cinta yang kekal walaupun dalam dunia yang bersifat sementara.

    Lagu ini turut menjadi lagu runut bunyi bagi drama Dhia Kasyrani, yang akan disiarkan di slot Akasia TV3 mulai 22 November 2024, setiap Isnin hingga Jumaat, pada jam 7.00 malam. Bagi peminat yang ingin menonton lebih awal, episod terbaru juga boleh distrim melalui platform iQIYI satu jam selepas siaran di TV3.

    ‘Selalu’, yang bergenre pop balada dengan elemen moden, menceritakan kisah cinta yang terpisah oleh jarak, namun tetap utuh dan tidak pudar. Lagu ini mengangkat tema cinta sejati yang penuh pengorbanan, yang menggambarkan perasaan rindu dan kasih sayang yang berpanjangan meskipun terpaksa berpisah. Dengan lirik yang mendalam dan melodi yang menyentuh hati, lagu ini dijangka akan memberikan kesan yang mendalam kepada para pendengar, membawa mereka merasai keindahan cinta yang penuh dengan perjuangan dan kesetiaan.

    Lagu ‘Selalu’ adalah hasil ciptaan bersama Mas Dewangga, Ezra Kairo, dan Amir Hassan. Menurut Mas Dewangga, idea untuk lagu ini tercetus daripada kisah cinta yang penuh kerinduan dan penantian. “Kami ingin mencipta sesuatu yang dapat menyentuh hati pendengar, dengan menggambarkan perasaan sayang yang tidak kesampaian. Lagu ini sangat sesuai dijadikan lagu tema untuk drama Dhia Kasyrani yang mengisahkan perjalanan cinta dan perjuangan antara dua individu yang tidak serasi,” ujarnya.

    Mas Dewangga juga menambah bahawa ‘Selalu’ adalah salah satu daripada hampir sepuluh lagu yang telah dihasilkan oleh mereka bersama Alternate Records, setiap satunya mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri. “Kami berharap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar dan dekat dengan hati mereka yang pernah melalui situasi yang serupa. Semoga lagu ini juga dapat memperkenalkan Ameerais sebagai seorang penyanyi yang berbakat dan berpotensi untuk berjaya di industri muzik Malaysia,” tambahnya.

    Berbicara mengenai kerjasama dengan Ameerais, Mas Dewangga memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh penyanyi tersebut. “Rakaman lagu ini hanya memakan masa sekitar dua jam sahaja kerana Ameerais sangat komited dan bersedia. Suaranya yang unik dan penuh dengan emosi menjadikan lagu ini lebih hidup dan terasa dekat dengan pendengar. Beliau mampu menghidupkan lirik dengan penjiwaan yang mendalam, menjadikan sesi rakaman berjalan dengan lancar dan penuh perasaan,” kata Mas Dewangga.

    Ameerais, yang sudah berkecimpung dalam industri muzik selama 14 tahun, berkongsi keterujaannya tentang lagu ‘Selalu’. “Lagu ini agak berbeza daripada lagu-lagu rock yang biasa saya nyanyikan. ‘Selalu’ lebih kepada pop Melayu, dengan sentuhan R&B yang santai. Ia lebih segar dan relevan dengan aliran muzik masa kini. Saya berusaha menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa agar dapat menghubungkan perasaan pendengar dengan mesej yang ingin disampaikan. Kerjasama dengan Mas Dewangga dan seluruh pasukan sangat bermakna buat saya,” ujar Ameerais.

    Lebih menarik lagi, Ameerais turut memberi penghargaan terhadap video muzik ‘Selalu’ yang memperlihatkan penampilan isterinya, yang memberi kesan emosi yang lebih mendalam terhadap penyampaian lagu ini. “Kehadiran isteri dalam video muzik ini memberikan satu dimensi tambahan kepada cerita di sebalik lagu. Saya berharap ‘Selalu’ akan diterima dengan baik oleh para peminat dan menjadi lagu yang dekat di hati mereka,” katanya penuh harapan.

    Mengenai perancangan masa depan, Ameerais menyatakan, “Saya berterima kasih kepada Alternate Records kerana memberikan peluang untuk bekerjasama dalam projek ini. Jika ada rezeki, saya berharap dapat berduet dengan artis lain untuk lagu seterusnya. Saya juga ingin terus berkarya dan menghasilkan lagu-lagu yang memberi kesan mendalam kepada pendengar.”

    Lagu ‘Selalu‘ kini sudah boleh didengari di platform penstriman seperti Spotify, YouTube Music, dan iTunes. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Ameerais dalam drama Dhia Kasyrani dan menikmati lagu tema yang menyentuh jiwa ini.

    Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

  • Marsha Milan Terima Anugerah Ahli Darjah Kinabalu

    Marsha Milan Terima Anugerah Ahli Darjah Kinabalu

    Penyanyi dan selebriti ternama dari Sabah, Marsha Milan, baru-baru ini dianugerahi penghormatan tertinggi negeri Sabah, iaitu Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K). Penghargaan ini disampaikan sempena sambutan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

    Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat berharga yang diberikan kepada individu yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing, dan Marsha diiktiraf atas pencapaiannya yang cemerlang dalam industri hiburan serta sumbangannya yang berharga kepada seni dan budaya negeri Sabah.

    Ketika ditemu bual, Marsha menyatakan bahawa beliau tidak menyangka akan menerima anugerah yang besar ini. “Saya amat terharu dan berbesar hati dengan anugerah ini. Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha, jelas menunjukkan rasa syukur dan kegembiraannya.

    Sebagai anak jati Sabah, pengalaman Marsha membesar di tanah kelahirannya telah membentuknya menjadi seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya. Meskipun pada awal kariernya, beliau menghadapi pelbagai cabaran untuk menembusi industri hiburan yang pada waktu itu sangat kompetitif, Marsha telah berjaya membuktikan bakat dan keupayaannya. Beliau kini merupakan salah satu ikon dalam industri hiburan Malaysia. Dalam satu kenyataan, Marsha berkata, “Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini. Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat, dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka.”

    Sebagai seorang ikon, Marsha ingin menyampaikan pesan yang penting kepada bakat-bakat muda Sabah agar terus berusaha mengejar impian mereka dengan penuh dedikasi dan kegigihan. “Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus pada bakat dan minat anda yang sebenar,” katanya dengan tegas. Beliau percaya bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah dan memerlukan usaha yang berterusan.

    anugerah

    Sepanjang perjalanan kariernya yang cemerlang, Marsha telah melalui pelbagai cabaran dan mengambil pelbagai peranan untuk memastikan dirinya tetap relevan dalam industri hiburan yang sentiasa berubah-ubah. “Untuk kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, mengacara TV, menjadi emcee, hingga menyanyi sebagai vokalis latar. Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya. Tapi semuanya berbaloi, dan saya tidak pernah menyesal,” jelas Marsha, sambil menunjukkan semangat juangnya dalam mengejar impian.

    Penerimaan Ahli Darjah Kinabalu ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian Marsha, tetapi juga memberikan beliau inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada perkembangan industri hiburan Sabah. Marsha berharap untuk terus mengangkat nama Sabah dalam dunia hiburan dan sedang merancang beberapa projek khas untuk peminatnya di negeri kelahirannya. Beliau bercita-cita untuk memperkenalkan lebih banyak elemen budaya dan seni Sabah kepada dunia. “Cinta saya kepada tanah air, Sabah, adalah keutamaan saya. Saya juga bercita-cita untuk membawa lebih banyak elemen kraf Borneo dalam karya-karya saya di masa akan datang, insyaAllah,” tambah beliau.

    Ahli Darjah Kinabalu yang telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada 16 Oktober 2024, di Istana Seri Kinabalu ini mengukuhkan lagi kedudukan Marsha sebagai satu ikon dalam industri hiburan dan sebagai sumber inspirasi kepada bakat-bakat muda di Sabah yang bercita-cita untuk berjaya. Dengan pencapaian ini, Marsha diharapkan dapat menjadi contoh kepada generasi akan datang untuk tidak pernah putus asa dalam mengejar impian mereka dan untuk terus berusaha meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

    Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan terkini Marsha dan mendapatkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan dengan industri hiburan, mereka boleh melayari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. Melalui platform ini, peminat dapat menyaksikan pelbagai projek menarik yang akan datang dan memberi sokongan kepada Marsha serta bakat-bakat lain dari Sabah yang sedang berusaha untuk mencipta nama di pentas yang lebih besar.

  • Firdaus Rahmat Gabung Rap dan Pop Rock dalam ‘Menang Atau Kalah’

    Firdaus Rahmat Gabung Rap dan Pop Rock dalam ‘Menang Atau Kalah’

    Firdaus Rahmat, penyanyi dan pengkarya yang pernah menjulang namanya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pada edisi ke-36, 37, dan 38, kini sedang giat meneruskan usaha untuk mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu pengkarya terhebat di Malaysia.

    Dalam langkah terbaharu ini, beliau dengan rasa teruja telah mempersembahkan satu sisi baharu dalam muziknya melalui single terbarunya berjudul ‘Menang Atau Kalah’. Yang menariknya, ini adalah kali pertama Firdaus menggabungkan elemen ‘rap’ dalam karyanya, menandakan evolusi muzik yang lebih pelbagai dan dinamik.

    Lagu ‘Menang Atau Kalah’ bukanlah sekadar sebuah lagu, tetapi ia juga mencerminkan perjalanan seni Firdaus Rahmat sebagai penyanyi, penulis lirik, komposer, dan penerbit. Lagu ini dihasilkan bersama komposer berbakat, Iqie Hugh, dan turut berfungsi sebagai lagu runut bunyi bagi drama aksi mendebarkan berjudul ‘Skuad X’, yang akan ditayangkan di slot Lestary di TV3. Ini menunjukkan bahawa Firdaus tidak hanya fokus pada muzik, tetapi juga berusaha untuk menghubungkan karya seninya dengan medium lain seperti drama, menjadikan karyanya lebih relevan dan meluas.

    Tema utama dalam lagu ini adalah semangat pantang menyerah dan tekad untuk menghadapi segala rintangan. “Lirik lagu ini terinspirasi dari semangat juang yang tak pernah luntur,” ujar Firdaus. “Saya mahu pendengar merasa bahawa dalam apa jua situasi, kita perlu terus berusaha tanpa putus asa. Sama ada kita menang atau kalah, yang penting ialah perjalanan yang kita tempuh dengan penuh tekad.” Pendekatan ini menggambarkan sikap positif dan memberi motivasi kepada pendengar untuk tidak menyerah walau dalam keadaan sukar.

    Menariknya, ‘Menang Atau Kalah’ membawa kelainan dengan gabungan genre pop rock yang dipacu dengan rentak yang laju serta bahagian rap. Ini merupakan langkah pertama Firdaus dalam mencuba sesuatu yang berbeza dalam muziknya. “Saya teruja dengan konsep baharu ini. Mencuba sesuatu yang luar biasa dengan memasukkan unsur rap adalah seperti mencabar diri sendiri. Bahagian rap memberikan energi dan dimensi baharu yang saya harap akan diterima baik oleh para peminat,” jelasnya. Gabungan ini menunjukkan bahawa Firdaus berani berinovasi dan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti muziknya.

    Sesi rakaman lagu ini juga menarik perhatian kerana ia diselesaikan dalam masa yang sangat singkat, hanya satu jam, membuktikan keserasian kukuh antara Firdaus dan Iqie Hugh. “Chemistry antara saya dan Iqie sentiasa menjadi kunci kepada penghasilan karya yang unik. Saya amat kagum dengan kebolehan Iqie dan beliau adalah pencetus kepada idea-idea segar yang membantu setiap lagu kami menjadi lebih bermakna dan relevan,” katanya. Ini menunjukkan bahawa hubungan profesional yang baik antara pengkarya dapat menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan berkesan.

    Firdaus juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kariernya. “Terima kasih kerana menerima setiap karya yang dikeluarkan oleh saya. Dengan sokongan anda, saya dapat melangkaui garisan yang tak pernah dicapai sebelum ini. Walau jasa tak terbalas dengan kata-kata, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Alternate Records kerana sentiasa percaya dengan karya saya selama ini. ‘Menang Atau Kalah’ adalah karya yang ke-24 saya bersama Alternate Records,” tambah beliau. Ini menunjukkan bahawa Firdaus menghargai sokongan yang diterima dan bertekad untuk terus memberikan yang terbaik kepada pendengar.

    Beliau berharap agar karya terbaharu ini, ‘Menang Atau Kalah’, akan mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi lagu yang menemani mereka dalam kehidupan seharian. Dengan impian untuk mencipta lebih banyak kelainan dan memberi nafas baru dalam karya akan datang, Firdaus berhasrat untuk memberikan dimensi yang lebih segar dan kepelbagaian dalam industri muzik tanah air.

    Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mendengar karya terbaharu Firdaus Rahmat, ‘Menang Atau Kalah’, yang dijadualkan dilancarkan pada 18 Oktober 2024. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti dan layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan evolusi muzik Firdaus Rahmat yang pasti memukau hati pendengar!

  • Menjelang Showcase Pertama Puteri Khareeza ‘Sebenar’

    Menjelang Showcase Pertama Puteri Khareeza ‘Sebenar’

    Setelah meraih kejayaan dalam dunia muzik dan mencuri perhatian di layar televisyen, penyanyi dan pelakon yang serba boleh, Puteri Khareeza, kini bersiap sedia untuk memikat peminat melalui showcase solo pertamanya yang bertajuk ‘Sebenar’.

    Showcase ini dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Sidang media eksklusif yang diadakan hari ini memberikan gambaran awal mengenai showcase ini, di mana Puteri akan mempersembahkan single terbarunya, “Sebenar”, yang merupakan lagu runut bunyi (OST) untuk drama popular TV3, Khilaf Yang Tertulis. Dalam majlis tersebut, Puteri juga menyampaikan dua lagu secara eksklusif untuk tetamu media yang hadir.

    Puteri Khareeza tidak dapat menyembunyikan keterujaannya mengenai showcase sulungnya, dan bertekad untuk memberikan persembahan terbaik kepada semua peminat. Showcase ‘Sebenar’ bukan sekadar pentas untuk mempamerkan bakat nyanyiannya, tetapi juga peluang untuk peminat mengenali sosok Puteri Khareeza dengan lebih dekat dan meraikan perjalanan seni beliau dalam industri hiburan.

    “Saya berasa sangat gugup tetapi juga teruja kerana ini adalah kali pertama saya mengadakan showcase dengan bantuan pihak pengurusan. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk peminat dan keluarga saya,” ujar Puteri Khareeza. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah menyokongnya, terutama pihak pengurusan dan guru vokalnya yang telah membantunya dalam persiapan untuk showcase ini. Dengan latihan selama lima bulan bersama guru vokal, Cikgu Delly, serta sokongan dari Alternate Records, Puteri yakin dapat memberikan persembahan yang mengagumkan.

    “Showcase ini adalah pencapaian besar bagi saya sejak memulakan karier dalam industri hiburan. Ini adalah pengalaman pertama saya dan saya akan mengingati momen ini sebagai satu titik penting dalam kerjaya saya,” tambahnya. “Saya berharap dapat menghiburkan semua tetamu dan memberikan persembahan yang luar biasa untuk peminat saya,” katanya penuh harapan.

    Showcase

    Lagu-lagu yang akan dipersembahkan adalah gabungan karya popular dan beberapa lagu baru yang pastinya akan menggembirakan peminat. Proses pemilihan lagu dilakukan dengan teliti untuk memenuhi citarasa peminat dan menonjolkan keunikan vokalnya. Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk “Sebenar”, “Sakitnya Hati”, “Duka Di Sebalik Tawa”, “Sinaran”, dan banyak lagi. Showcase ini dijangka menarik kira-kira 500 peminat setia, yang juga akan dimeriahkan dengan persembahan kolaborasi istimewa bersama artis jemputan seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul (alumni Lagu Cinta Kita 3), dan Adi dari kumpulan Venus.

    Puteri Khareeza juga menunjukkan bahawa kejayaan dalam industri hiburan tidak menghalang pencapaian akademik yang cemerlang. Sebagai pelajar jurusan undang-undang di UiTM Shah Alam, beliau berjaya menyeimbangkan karier dan pendidikan. Sokongan dari keluarga, rakan-rakan, dan terutamanya Alternate Records menjadi sumber kekuatannya. “Pendidikan adalah sangat penting dan perlu diseimbangkan dengan minat saya dalam seni. Alhamdulillah, pensyarah saya sangat memahami dan menyokong kerjaya seni saya,” ujar Puteri. Meskipun menghadapi cabaran, beliau yakin dapat menamatkan pengajian dengan jayanya.

    Menurut Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Müzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, showcase ini bertujuan untuk menunjukkan kehebatan Puteri sebagai seorang artis yang mampu mengimbangi dunia hiburan dan akademik. “Puteri bukan sahaja versatil dalam lakonan dan nyanyian, tetapi juga seorang pelajar yang cemerlang. Kejayaannya dalam mengekalkan prestasi seimbang adalah sesuatu yang kami kagumi dan boleh menjadi contoh bagi artis muda lain. Beliau seorang yang rajin dan berdedikasi, dan showcase ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyokong kerjayanya,” kata Puan Shahila.

    Sebagai artis muda yang beraspirasi, Puteri telah bersama Alternate Records selama tiga tahun dan telah mencapai banyak kejayaan. Antaranya, beliau merupakan finalis Top 6 dalam rancangan Big Stage dan pernah dicalonkan sebagai BBNU Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2023. Selain itu, beliau juga menjadi wajah utama untuk jenama Panadol dan beberapa jenama terkenal lain.

    Dilahirkan dari program realiti Lagu Cinta Kita 3 pada tahun 2022, Puteri Khareeza telah membuktikan dirinya sebagai seorang artis yang serba boleh. Selain nyanyian, beliau juga aktif dalam dunia lakonan, membintangi drama popular seperti Nuh & Nayla, Wanita Syurga, dan Kerana Cinta Itu Ada. Lagu-lagu hitnya seperti “Duka Di Sebalik Tawa” (OST Melur Untuk Firdaus), “Sebenar” (OST Khilaf Yang Tertulis), dan “Helah” (OST Haloba) telah menerima sambutan luar biasa, dengan “Duka Di Sebalik Tawa” meraih lebih 475 juta tontonan di TikTok, 5.4 juta tontonan di YouTube, dan 2.4 juta penstriman di platform dalam talian seperti Spotify.

    Showcase ‘Sebenar’ adalah peluang terbesar untuk Puteri menonjolkan bakatnya dan merupakan bukti usaha kerasnya dalam mencapai impian serta memberi impak dalam dunia hiburan tempatan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Puteri Khareeza ‘Sebenar’ Showcase secara langsung di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November 2024. Mari bersama-sama kita ‘healing’ dengan alunan muzik yang meraikan satu peristiwa penting dalam kerjaya Puteri.

    Showcase ini pasti akan menjadi acara yang dinantikan oleh peminat setia yang mengikuti setiap langkah dalam kerjaya seninya. Jadi, tunggu apa lagi? Tandakan 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dalam kalendar anda!

    Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, sila layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

     

  • Kolaborasi Alternate Records dan Universal Music Malaysia Bawa Revolusi Muzik Tempatan

    Kolaborasi Alternate Records dan Universal Music Malaysia Bawa Revolusi Muzik Tempatan

    Dua ‘label’ berkolaborasi menjadi rakan strategik pemasaran muzik tempatan! Gabungan antara syarikat rakaman muzik tempatan Alternate Records dan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Universal Music Malaysia dijangka membawa revolusi dalam landskap muzik tempatan dan bakal membuka peluang baharu untuk artis-artis tempatan untuk meluaskan pengaruh muzik mereka di peringkat domestik, serantau dan global.

    Kerjasama antara Alternate Records yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, bergabung tenaga dengan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia yang tidak asing lagi dengan rangkaian artis ternama, meletakkan satu anjakan paradigma bagi memperkenalkan perubahan yang baharu dalam industri muzik tempatan bagi memenuhi cita rasa penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman yang berbeza.

    Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, pihaknya perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk membina sebuah ‘rumah’ kepada bakat baharu. “Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami sentiasa percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya seperti Alternate Records adalah penting bagi mencungkil bakat baharu agar kepelbagaian genre muzik dapat dihasilkan. Ia juga merupakan satu langkah yang penting dalam mengembangkan lagi industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya yang kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian dalam industri muzik”.

    Tambah Kim Lim lagi, “Bagi kami, tidak semestinya mengenai dari mana asal artis tersebut. Yang lebih penting adalah jika muzik benar-benar berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kita cuba bina bersama.”

    Kim Lim berpendapat, kerjasama kedua pihak adalah tepat selain menyifatkan kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini. “Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran masa kini. Pengumuman kerjasama dengan Alternate Records & Talents hanyalah langkah pertama kedua-dua syarikat rakaman muzik untuk berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat untuk industri muzik Malaysia,” katanya.

    Sebagai sebahagian daripada usaha ini, antara artis yang telah dan bakal memulakan projek kerjasama itu termasuk Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo. “Ini adalah antara beberapa senarai artis yang telah dan akan bekerja rapat bersama dengan Alternate Records. Dan kami sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang,” tambah Kim Lim.

    Puan Shahila Shah Harun, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, berkongsikan keterujaan ketika mengumumkan kerjasama bersama Universal Music Malaysia ini, “Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music ini adalah satu langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mampu menembusi pasaran muzik.”

    Tambah Puan Shahila Shah lagi, “Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis yang berbakat dan seharusnya kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi peluang kepada artis sedia ada tetapi juga membuka pintu kepada bakat-bakat baru yang mencari platform untuk menonjolkan potensi mereka. Selain itu, usaha sama ini akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang lebih berani, segar, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.”

    Dengan pengumuman ini, industri muzik Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk membawa muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Semangat kolaborasi dan pertukaran idea ini memberikan sinergi yang unik, menjana keharmonian yang membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang dan menjadi terkenal di peringkat domestik, serantau dan global.

    Dalam erti kata lain, industri muzik Malaysia semakin diminati dan dihormati di persada serantau dan antarabangsa, membuka lembaran baru untuk insan kreatif Malaysia melalui platform yang lebih berdaya maju serta lebih berprestij.