Syria Care hari ini mencatatkan sejarah penting apabila melancarkan Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief, sebuah organisasi baharu yang membawa misi kemanusiaan Malaysia ke peringkat global termasuk tanah air sendiri.
Menurut Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, HUMAM Relief ditubuhkan pada tahun 2024 hasil daripada pengalaman, pengorbanan dan kejayaan Syria Care yang telah berkhidmat lebih sedekad di bumi Syam. Beliau menegaskan bahawa organisasi ini hadir dengan visi lebih luas, bukan sahaja memberikan bantuan kecemasan, tetapi juga membina masa depan yang mampan dan bermaruah untuk masyarakat rentan di seluruh dunia.
“HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’, tetapi dengan mandat yang lebih luas, ia akan berperanan sebagai ‘abang’ kepada Syria Care. Syria Care akan terus fokus kepada bumi Syam, manakala HUMAM Relief membawa pengalaman itu ke peringkat global. HUMAM Relief percaya bahawa setiap bantuan mesti menghormati identiti, budaya dan maruah komuniti yang dibantu, supaya mereka bukan sekadar hidup tetapi hidup dengan martabat,” ujar beliau.
Walaupun masih baharu, HUMAM Relief telah mula bergerak ke beberapa negara dengan melaksanakan projek awal seperti pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah yang rosak akibat konflik di Syria serta projek W.A.S.H (Air, Sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia. Projek ini memberi tumpuan kepada inisiatif kebersihan wanita dan kesihatan haid melalui kerjasama dengan agensi kerajaan serta badan-badan korporat.
Siti Sakinah menambah bahawa HUMAM Relief berhasrat untuk berkembang menjadi peneraju dalam misi kemanusiaan dengan memberi tumpuan kepada projek-projek mampan di Malaysia dan juga peringkat antarabangsa. Melalui inovasi, pemerkasaan serta penyelesaian yang lestari, HUMAM Relief mahu melihat komuniti rentan membina semula kehidupan dan memperbaiki taraf hidup.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan logo baharu Syria Care yang melambangkan aspirasi segar dan kematangan organisasi. Syria Care yang ditubuhkan pada 2012 bermula dari sebuah bilik kecil hasil inisiatif sukarelawan serta bekas pelajar Syria di Malaysia. Diterajui pengasasnya Sheikh Samir Sakka, Syria Care berkembang daripada usaha kecil menjadi sebuah NGO berimpak besar.
Misi pertamanya pada tahun 2013 diuji dengan tragedi apabila seorang petugas ditembak ketika menjalankan tugas. Namun, peristiwa itu tidak melemahkan semangat, sebaliknya menguatkan tekad mereka untuk terus berjuang. Syria Care didaftarkan secara rasmi pada tahun 2014, menjadi NGO pertama di Malaysia yang khusus membantu krisis kemanusiaan di Syria.
Sepanjang lebih sedekad, Syria Care telah melaksanakan pelbagai projek termasuk Kampung Malaysia di Idlib yang menempatkan 274 keluarga daripada khemah ke rumah selamat, penajaan hampir 6,000 anak yatim, pembinaan 19 sekolah termasuk sekolah khas anak yatim di Aqrabat, rumah anak yatim dan warga emas Dar As Sakinah di Jisr Al Shughur serta bantuan yang memberi manfaat kepada hampir 6 juta penerima di Malaysia, Syria, Türkiye, Lubnan, Afghanistan, Uganda, Yaman, Nepal dan selatan Thailand. Syria Care juga menjadi NGO Malaysia pertama yang berdaftar secara rasmi di Syria, membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih sistematik.
Dengan kehadiran HUMAM Relief, Syria Care kini lebih fokus kepada bumi Syam termasuk Syria, Palestin dan Lubnan, manakala HUMAM Relief berfungsi sebagai sayap global untuk memperluaskan capaian bantuan. Kedua-dua organisasi ini digerakkan oleh pasukan yang sama dengan semangat yang tidak pernah berubah iaitu semangat kemanusiaan.
Siti Sakinah turut menegaskan bahawa perjalanan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan rakyat Malaysia. Beliau menyatakan bahawa lebih sedekad pengalaman Syria Care membuktikan sumbangan dan doa rakyat Malaysia mampu mengubah kehidupan insan lain. HUMAM Relief adalah kesinambungan daripada kekuatan ini, dan misi ini bukan hanya milik Syria Care atau HUMAM Relief semata-mata tetapi milik semua manusia yang diamanahkan untuk membela sesama insan.
