Syed Iqbal Persembah Ketenangan Dalam “Basstamam”

Penyanyi baharu, Syed Iqbal, secara rasmi memulakan langkah besar dalam kerjaya seninya dengan menandatangani kontrak bersama Masyhur, label muzik berteras keislaman milik Universal Music Malaysia. Kemunculan sulung beliau menerusi single “Basstamam” menampilkan kombinasi ketenangan jiwa dan ketulusan emosi yang terus menyentuh hati para pendengar.

Mengangkat makna ketenangan batin, “Basstamam” merupakan karya ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh, manakala liriknya ditulis oleh Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh. Lagu ini memberi mesej mendalam tentang menenangkan insan tersayang – sahabat, ahli keluarga atau pasangan – yang sedang bergelut dengan tekanan hidup, serta mengajak semua untuk hidup dengan lebih damai dan sejahtera.

“Pada mulanya saya agak gementar untuk masuk studio, tapi suasana rakaman sangat selesa. Alhamdulillah, saya berjaya siapkan rakaman dalam masa dua jam sahaja,” kongsi Syed Iqbal, teruja dengan pencapaian sulungnya itu.

Diterbitkan oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, “Basstamam” disusun dengan harmoni muzik yang lembut dan meresap, sesuai untuk momen reflektif atau saat bersendirian. Menurut Syed Iqbal, lagu ini lahir dari niat untuk memberi harapan kepada jiwa-jiwa yang diuji. “Saya harap sesiapa yang mendengar lagu ini akan rasa tenang. Ketenangan itu adalah hadiah terbaik dalam dunia yang penuh cabaran,” jelasnya.

Menariknya, video muzik (MV) “Basstamam” turut menjalani penggambaran di lokasi mencabar dan berbukit. “Walaupun kena panjat bukit dan shoot dari pagi sampai petang, saya sangat bersyukur dengan pasukan produksi yang cukup berdedikasi dan menyokong sepenuhnya visi kreatif saya,” katanya lagi.

Sebelum dilancarkan secara rasmi, “Basstamam” sudah mencuri perhatian ramai di media sosial. Di TikTok, lagu ini mencetuskan fenomena dengan lebih 20,000 ciptaan video, manakala di Instagram, lebih 2,000 video telah dihasilkan. Secara organik, peminat turut mewujudkan trend “Wahai Bulan Purnama” – transformasi visual yang memperlihatkan perubahan positif dalam hidup seseorang.

Lagu “Basstamam” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 30 Mei 2025, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Masyhur.

“Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati ramai orang dan menyebarkan mesej yang menenangkan, tidak kira siapa pun yang mendengarnya.” – Syed Iqbal