
Peminat muzik tempatan bakal berpeluang menyaksikan persembahan Rizky Febian apabila penyanyi dan pencipta lagu popular Indonesia itu kembali ke Kuala Lumpur menerusi “Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur” pada 29 November 2026 di Zepp KL.
Konsert yang dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia itu bakal menampilkan karya-karya popular Rizky serta persembahan yang mengangkat tema cinta, kerinduan dan perjalanan emosi.
Rizky Febian dikenali menerusi lagu-lagu seperti “Kesempurnaan Cinta”, “Penantian Berharga”, “Cuek”, “Makna Cinta”, “Terlukis Indah” dan “Hingga Tua Bersama”, yang turut mendapat sambutan dalam kalangan peminat di Malaysia.
Hubungan Rizky dengan peminat Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Beberapa kali tampil di Kuala Lumpur sebelum ini, kehadirannya sentiasa dinantikan oleh peminat yang mengikuti perjalanan muziknya.
Rizky berkata beliau sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur dan berharap persembahan kali ini dapat memberikan pengalaman yang menghiburkan serta meninggalkan kenangan istimewa buat semua yang hadir.
Tiket konsert telah mula dijual pada 18 September 2026 secara dalam talian menerusi https://www.ticket2u.com.my/cd?id=52284&t=1. Harga tiket ialah RM228 bagi CAT 1 (Standing), RM248 bagi CAT 2 (Premium Seat) dan RM238 bagi CAT 3 (Normal Seat).
“Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur” turut mendapat sokongan Rifelous Malaysia sebagai Rakan Rasmi, Gempak sebagai Rakan Media Rasmi dan Zepp KL sebagai Rakan Venue Rasmi.
