Blog

  • Maxim Malaysia Dedah Laporan Awam Pertama Mengenai Keselamatan dan Pematuhan Pemandu

    Maxim Malaysia Dedah Laporan Awam Pertama Mengenai Keselamatan dan Pematuhan Pemandu

    Maxim Malaysia buat julung kalinya menerbitkan laporan awam yang memperincikan data berkaitan keselamatan, sokongan pelanggan serta pengesahan lesen pemandu bagi tempoh separuh pertama tahun 2026. Langkah ini bertujuan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan operasi harian dan mengukuhkan keyakinan penumpang, pemandu serta pihak berkuasa terhadap perkhidmatan e-hailing yang disediakan.

    Berdasarkan laporan tersebut, isu berkaitan keselamatan mewakili kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan pertanyaan yang diterima melalui saluran sokongan rasmi Maxim Malaysia. Peratusan ini menunjukkan bahawa majoriti pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, selain mencerminkan jumlah aduan keselamatan yang rendah berbanding keseluruhan pertanyaan yang direkodkan.

    Maxim Malaysia turut memaklumkan bahawa setiap pertanyaan berkaitan keselamatan diberi keutamaan dan diproses melalui mekanisme tindak balas yang dipercepatkan. Aplikasi Maxim juga dilengkapi dengan fungsi SOS yang dipertingkatkan bagi membolehkan penumpang menghubungi kontak kecemasan dengan segera serta berkongsi maklumat perjalanan mereka sekiranya diperlukan.

    Sepanjang tempoh pelaporan, lebih daripada 90 peratus pertanyaan pelanggan berjaya diselesaikan, manakala lebih 70 peratus daripadanya diproses dalam tempoh 24 jam. Pemandu menyumbang sebanyak 61.5 peratus daripada keseluruhan pertanyaan yang diterima, sementara penumpang mewakili baki 38.5 peratus. Kebanyakan pertanyaan melibatkan sokongan umum, pembayaran, tambang, bayaran balik dan isu berkaitan perjalanan.

    Menurut Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley, ketelusan dalam industri e-hailing perlu melangkaui pencapaian perniagaan semata-mata. Beliau berkata penumpang, pemandu dan pihak berkuasa memerlukan gambaran yang jelas mengenai cara syarikat menguruskan isu keselamatan serta perkhidmatan, selain mengetahui kadar tindak balas dan langkah-langkah yang diambil bagi memenuhi keperluan undang-undang.

    Laporan itu turut memaparkan perkembangan program pengesahan lesen pemandu yang dilaksanakan oleh syarikat. Maxim Malaysia membantu pemandu menjalani proses mendapatkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), menyediakan pampasan bagi kos berkaitan serta membantu dalam urusan mendapatkan Permit Kenderaan Elektronik (EVP). Program ini dijalankan dengan sokongan pasukan khas syarikat bersama sekolah memandu yang bekerjasama.

    Bagi tempoh separuh pertama tahun 2026, syarikat telah melaburkan sebanyak RM2,015,090 untuk pampasan pemandu dan sokongan pengesahan lesen. Setiap bulan, ratusan pemandu menerima bantuan dalam proses mendapatkan PSV dan EVP. Aktiviti pengesahan lesen turut meningkat sebanyak 22.5 peratus pada suku kedua berbanding suku pertama tahun ini, dengan purata tempoh penyelesaian antara dua hingga tiga hari.

    Menurut Maxim Malaysia, program berkenaan diwujudkan bagi mengurangkan beban kewangan serta urusan pentadbiran yang dihadapi pemandu, di samping memastikan semua keperluan undang-undang dan peraturan dipenuhi sepenuhnya.

    Maxim Malaysia mula beroperasi di negara ini pada tahun 2019 dan menjalankan perkhidmatan mengikut keperluan pelesenan yang ditetapkan. Operasinya tertakluk kepada rangka kerja kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Selain memperluaskan akses mobiliti di kawasan bandar dan luar bandar, syarikat juga aktif melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan.

    Melalui penerbitan laporan awam ini, Maxim Malaysia berharap dapat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada penumpang, pemandu, pihak berkuasa dan masyarakat mengenai komitmen syarikat dalam aspek keselamatan, kualiti perkhidmatan serta pematuhan terhadap keperluan pelesenan pemandu.

  • Konsert Björn Again 2026: Malam Nostalgia ABBA Menanti Peminat Malaysia

    Konsert Björn Again 2026: Malam Nostalgia ABBA Menanti Peminat Malaysia

    Peminat muzik ABBA di Malaysia bakal disajikan dengan satu malam penuh nostalgia apabila kumpulan tribute terkenal dunia, Björn Again, akhirnya akan membuat penampilan sulung mereka di Kuala Lumpur menerusi jelajah antarabangsa “The ABBA Forever Tour” pada tahun 2026.

    Didatangkan khas terus dari Melbourne, Australia, Björn Again akan mempersembahkan konsert selama dua jam yang meraikan legasi muzik ABBA menerusi persembahan penuh bertenaga, vokal yang mengagumkan, kostum ikonik serta elemen komedi dan teater yang menjadi identiti mereka sejak penubuhan kumpulan tersebut.

    Penonton boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu malar segar seperti Mamma Mia, Dancing Queen, Waterloo, SOS dan Gimme! Gimme! Gimme!, selain balada popular seperti The Winner Takes It All, I Have a Dream, Chiquitita dan Fernando yang terus menjadi kegemaran peminat dari pelbagai generasi.

    Sejak ditubuhkan di Melbourne, Björn Again telah mengadakan persembahan di lebih daripada 120 buah negara dan merupakan satu-satunya kumpulan tribute ABBA yang diiktiraf secara rasmi oleh ahli kumpulan ABBA sendiri. Reputasi mereka sebagai antara tribute act terbaik di dunia turut disokong oleh peminat terkenal termasuk Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J.K. Rowling.

    Sepanjang kerjaya mereka, Björn Again telah membuat persembahan di beberapa lokasi paling ikonik dunia seperti Stadium Wembley, Royal Albert Hall, Sydney Opera House dan Myer Music Bowl Melbourne. Mereka juga sering muncul di festival muzik antarabangsa terkenal termasuk Glastonbury Festival, Roskilde Festival, Reading Festival dan Big Red Bash.

    Media antarabangsa turut memberikan pengiktirafan tinggi terhadap persembahan mereka. Time Out pernah menyifatkan Björn Again sebagai antara persembahan langsung paling menghiburkan di dunia, manakala Benny Andersson daripada ABBA pernah berkata bahawa peminat seharusnya menikmati persembahan Björn Again kerana itulah pengalaman paling hampir untuk menyaksikan ABBA secara langsung.

    Populariti muzik ABBA kembali melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini hasil kejayaan filem seperti Muriel’s Wedding, The Adventures of Priscilla, Queen of the Desert serta fenomena pentas dan filem Mamma Mia!. Justeru, persembahan Björn Again di Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara muzik yang paling dinantikan sepanjang tahun 2026.

    Tiket akan mula dijual pada jam 10.00 pagi, 28 April 2026 menerusi platform Ticket2U. Peminat juga boleh mengikuti perkembangan terkini melalui laman media sosial Shiraz Projects dan Björn Again untuk sebarang pengumuman berkaitan konsert ini.

    Bagi peminat setia ABBA, inilah peluang terbaik untuk menikmati malam penuh nostalgia, hiburan dan lagu-lagu klasik yang telah mencipta sejarah dalam dunia muzik pop.

  • HONOR Magic V6 Proves Premium Foldables Don’t Have to Cost More

    HONOR Magic V6 Proves Premium Foldables Don’t Have to Cost More

    As foldable smartphones become increasingly popular among Malaysian consumers, HONOR is continuing to expand its presence in the premium smartphone segment. The company reports that one in every three foldable smartphones sold in Malaysia is an HONOR device, reflecting growing demand for its foldable technology.

    According to HONOR’s internal findings, consumers who have migrated from competing flagship brands are attracted by a combination of affordability, durability, battery performance, innovative design, and comprehensive after-sales support.

    The HONOR Magic V6 has been developed to deliver a complete flagship foldable experience while remaining competitively priced. Starting at RM7,699, the smartphone offers several premium features that cater to both everyday users and professionals.

    Built with a Super Steel Hinge rated at 2,800MPa tensile strength, the Magic V6 is engineered for long-term reliability. It also features IP68 and IP69 certifications for water and dust resistance, while the Anti-Scratch NanoCrystal Shield helps safeguard the cover display against scratches and accidental drops.

    The smartphone is powered by a 6,660mAh silicon-carbon battery, offering exceptional battery life for a foldable device. Fast charging support includes 80W wired charging and 66W wireless charging, reducing charging times and helping users stay connected throughout the day.

    Photography capabilities include a 64MP telephoto camera paired with CIPA 6.5 image stabilization for sharper zoom performance and improved image quality in different lighting conditions.

    Display quality remains another major strength of the Magic V6. The cover display reaches up to 6,000 nits brightness, while the foldable inner display delivers up to 5,000 nits. Both screens feature 4,320Hz PWM dimming to reduce eye strain and a low-reflection coating that improves visibility under bright lighting.

    Software enhancements such as Fast Flex, PC-level Multi-Flex, and HONOR Share enable efficient multitasking while simplifying file transfers between Android smartphones, iPhones, and Mac computers.

    To further enhance customer confidence, HONOR includes one year of Worry-Free Crack Protection together with two years of Worry-Free Quality Assurance with every Magic V6 purchase. By combining flagship hardware, productivity-focused software, and comprehensive protection, the HONOR Magic V6 continues to position itself as one of the strongest value offerings in Malaysia’s foldable smartphone market.

  • Fasha Sandha Terajui Kempen Terbaharu Safi Youth Gold Rania

    Fasha Sandha Terajui Kempen Terbaharu Safi Youth Gold Rania

    Safi memperkenalkan wajah baharu rangkaian Safi Youth Gold Rania menerusi kempen Semarakkan Seri Keremajaan yang mengetengahkan mesej lebih bermakna mengenai kecantikan dan keyakinan wanita. Pelancaran semula ini bukan sahaja menampilkan pembaharuan dari segi produk, malah membawa pendekatan yang lebih dekat dengan pengalaman serta cabaran wanita Malaysia pada masa kini.

    Menerusi kempen tersebut, Safi ingin mengubah persepsi bahawa penjagaan kulit anti-penuaan hanya bertujuan untuk kelihatan lebih muda. Sebaliknya, jenama itu menekankan bahawa kecantikan sebenar bermula daripada keyakinan diri, kesejahteraan emosi dan penghargaan terhadap diri sendiri.

    Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, Safi Youth Gold Rania kini diperkasakan dengan teknologi Peptida Kolagen yang direka untuk membantu meningkatkan keanjalan dan seri kulit. Pada masa sama, Safi turut memperkenalkan tiga inovasi baharu iaitu PDRN Booster Repair Serum yang merupakan serum PDRN Spicule Halal pertama di Malaysia, CycloPeptide Water Elixir yang menggunakan teknologi CycloPeptide pertama di negara ini serta Beauty Miracle Oil.

    Keistimewaan rangkaian ini terletak pada pembangunan formulanya yang disesuaikan dengan keperluan kulit wanita Malaysia. Dengan mengambil kira faktor cuaca panas dan lembap sepanjang tahun, setiap produk dibangunkan menggunakan teknologi penjagaan kulit bertaraf antarabangsa bagi memberikan hasil yang lebih berkesan kepada pengguna tempatan.

    Menurut Safi, keberkesanan produk ini turut disokong oleh ujian klinikal yang menunjukkan kulit boleh kelihatan lebih cerah, anjal dan berseri dalam tempoh seawal tiga hari penggunaan.

    Selain memperkenalkan inovasi baharu, Safi turut mengembalikan nama Rania yang pernah menjadi pilihan ramai pengguna. Nama tersebut dikekalkan sebagai simbol keanggunan, kecantikan dan keyakinan wanita yang terus relevan sepanjang zaman.

    Pakar Jenama dan Tinjauan Maklumat Safi Malaysia, Kazlina Mohd Kassim berkata, hasil kajian yang dijalankan mendapati ramai wanita sebenarnya mengimpikan lebih daripada sekadar kulit yang muda. Mereka mahu mengembalikan semangat, keyakinan dan kekuatan diri yang mungkin semakin pudar akibat tekanan kehidupan seharian.

    Beliau berkata, wanita hari ini sering meletakkan keperluan keluarga dan kerjaya sebagai keutamaan sehingga terlupa untuk menjaga kesejahteraan diri sendiri. Justeru, kempen Semarakkan Seri Keremajaan diwujudkan bagi mengingatkan wanita bahawa menghargai diri adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kehidupan yang lebih seimbang.

    Bagi menghidupkan aspirasi kempen tersebut, Safi mengumpulkan kisah daripada 100 wanita Malaysia yang berkongsi pengalaman hidup mereka. Daripada jumlah itu, lima wanita dipilih untuk menjalani program transformasi yang memberi tumpuan kepada pembangunan keyakinan, kasih sayang terhadap diri dan pertumbuhan peribadi.

    Perjalanan mereka kemudiannya dijadikan kandungan inspirasi yang memaparkan pelbagai kisah kehidupan sebenar termasuk cabaran sebagai ibu sepenuh masa, pengalaman ibu tunggal, perubahan selepas bergelar ibu, hubungan dengan pasangan yang mempunyai jurang usia serta usaha membina semula keyakinan diri selepas melalui pelbagai ujian.

    Dalam majlis yang sama, pelakon dan usahawan Fasha Sandha diumumkan sebagai duta baharu Safi Youth Gold Rania. Pemilihannya dilihat selari dengan mesej kempen kerana beliau dikenali sebagai wanita yang cekal, berdikari dan sentiasa positif dalam menghadapi cabaran kehidupan.

    Menurut Kazlina, perjalanan hidup Fasha menjadi gambaran bahawa setiap wanita mempunyai peluang untuk bangkit semula dan menyerlahkan potensi diri tanpa mengira usia atau pengalaman yang dilalui.

    Sebagai pelengkap kepada kempen ini, Safi turut memperkenalkan versi baharu lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor dengan lirik yang diolah semula. Lagu tersebut membawa mesej bahawa setiap wanita masih mempunyai peluang untuk mencipta detik paling gemilang dalam hidup mereka, walau apa jua cabaran yang pernah ditempuhi.

    Melalui pelancaran semula Safi Youth Gold Rania, Safi berharap dapat terus menjadi jenama yang bukan sahaja menawarkan penyelesaian penjagaan kulit, malah memberi inspirasi kepada wanita Malaysia untuk menghargai diri, membina keyakinan dan meraikan kecantikan yang datang daripada kekuatan dalaman.

  • AurumLX Mahu Setiap Keluarga Malaysia Miliki Sekurang-kurangnya Satu Gram Emas

    AurumLX Mahu Setiap Keluarga Malaysia Miliki Sekurang-kurangnya Satu Gram Emas

    SHAH ALAM – Aurum79 Sdn. Bhd. menerusi AurumLX mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan emas sebagai simpanan utama keluarga dengan memperkenalkan aspirasi “satu keluarga satu gram emas”. Inisiatif itu diyakini mampu membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat dalam jangka panjang.

    Pengarah Eksekutif AurumLX, Muhamad Afif Mohamad berkata, pemilikan emas kini lebih mudah kerana orang ramai boleh mula menyimpan mengikut kemampuan tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.

    Katanya, simpanan boleh dimulakan dengan hanya RM10 dan ditambah secara berperingkat sehingga mencapai sasaran yang diinginkan.

    “Kami mahu masyarakat melihat emas sebagai simpanan, bukannya sesuatu yang hanya mampu dimiliki golongan tertentu. Kalau bermula sekarang dan terus konsisten, sasaran memiliki satu kilogram emas bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.

    Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Syariah dan Penyerahan Sijil Kecekapan Pematuhan Pengukuran Ketulenan Emas oleh NMIM di Shah Alam.

    Turut hadir ialah Penasihat Syariah Aurum79 Sdn. Bhd., Dr. Mohd Shahid Mohd Noh.

    Afif berkata, platform digital yang dibangunkan AurumLX membolehkan pelanggan membeli serta menyimpan emas fizikal dengan lebih mudah dan selamat.

    Tambah beliau, syarikat juga memberi fokus kepada aspek ketulenan emas menerusi kerjasama strategik bersama NMIM dan SIRIM bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian yang ditetapkan.

    Dalam masa sama, AurumLX turut merancang membangunkan makmal pengujian emas sendiri bagi mengukuhkan lagi proses semakan ketulenan pada masa akan datang.

    Beliau berkata, pengguna juga perlu lebih peka terhadap tawaran pelaburan yang terlalu indah untuk dipercayai.

    “Kalau ada pihak yang menjanjikan pulangan tetap atau keuntungan yang terlalu mudah, itu sepatutnya menjadi amaran kepada pengguna supaya tidak terjebak dengan penipuan,” katanya.

  • Yusry Abdul Halim Pertaruh Karya Penuh Emosi Dalam Album “Eternal”

    Yusry Abdul Halim Pertaruh Karya Penuh Emosi Dalam Album “Eternal”

    Selepas sekian lama memberi tumpuan kepada pelbagai cabang seni termasuk lakonan, pengarahan dan penerbitan, Yusry Abdul Halim kembali mengubat kerinduan peminat menerusi album solo terbaharu berjudul Eternal. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, album ini menjadi penanda aras baharu dalam perjalanan seni beliau selepas lebih 20 tahun tidak tampil dengan album solo penuh.

    Mengandungi enam buah lagu, Eternal menampilkan gabungan karya yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan. Setiap lagu disusun bagi membawa pendengar menyelami kisah yang berbeza, daripada cinta dan pengorbanan hinggalah kepada kehilangan, penghargaan terhadap keluarga serta realiti kehidupan masyarakat masa kini.

    Menurut Yusry, album ini lahir daripada pengalaman dan pemerhatian sepanjang perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni. Beliau percaya setiap individu mempunyai kisah yang akan terus kekal dalam ingatan dan itulah inspirasi utama di sebalik pemilihan tajuk Eternal.

    Katanya lagi, beliau mahu setiap lagu dalam album ini mempunyai nilai yang mampu menyentuh hati pendengar tanpa mengira usia atau latar belakang. Bagi beliau, muzik bukan sekadar hiburan, sebaliknya medium untuk berkongsi emosi dan pengalaman yang boleh dirasai oleh semua.

    Majlis pelancaran Eternal berlangsung dalam suasana eksklusif menerusi Eternal Gala Night yang diadakan di JioSpace pada 25 Julai 2026. Acara tersebut menghimpunkan peminat, rakan media serta penggiat industri bagi meraikan kemunculan semula Yusry sebagai penyanyi solo.

    Album ini turut memperlihatkan kerjasama bersama penyanyi rap dan komposer Luca Sickta menerusi dua buah lagu, Jiwa & Raga serta Hancur Kecewa. Kolaborasi tersebut menggabungkan sentuhan moden dengan kekuatan vokal Yusry, sekali gus menghasilkan karya yang sarat dengan emosi.

    Baki empat lagu dalam album ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yusry, membuktikan kreativiti beliau sebagai komposer masih relevan dan mampu berkembang mengikut perubahan cita rasa muzik semasa.

    Lagu Jiwa & Raga dipilih sebagai lagu utama album dengan mengetengahkan kisah cinta yang dibina atas dasar kesetiaan dan pengorbanan. Hancur Kecewa pula membawa tema kehilangan dan proses menerima hakikat selepas berakhirnya sebuah hubungan.

    Sementara itu, Pelengkap Hidup menjadi simbol penghargaan terhadap keluarga dan insan tersayang yang sentiasa menjadi sumber kekuatan. Kasarnya Cinta mengupas cabaran dalam sesebuah hubungan, manakala Kamu Harus Tahu menyentuh soal kepercayaan dan penyesalan. Album ini diakhiri dengan Narsisistik, sebuah karya yang mengajak pendengar merenung fenomena budaya media sosial serta kecenderungan masyarakat mengejar populariti dan pengiktirafan.

    Walaupun setiap lagu mempunyai identiti tersendiri, kesemuanya disatukan melalui mesej bahawa setiap pengalaman hidup meninggalkan kesan yang membentuk siapa diri seseorang pada hari ini.

    Dengan pelancaran Eternal, Yusry berharap album ini bukan sahaja menjadi koleksi lagu baharu untuk peminat, malah mampu menemani mereka dalam pelbagai detik kehidupan. Album tersebut kini tersedia untuk distrim di semua platform penstriman digital utama.

  • Japan Expo Malaysia 2026 Rasmi Dibuka di KLCC, Sasar Lebih 50,000 Pengunjung

    Japan Expo Malaysia 2026 Rasmi Dibuka di KLCC, Sasar Lebih 50,000 Pengunjung

    Kuala Lumpur, 24 Julai 2026 – Japan Expo Malaysia (JEMY) 2026 kembali memeriahkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila edisi ketujuh acara bertemakan Jepun terbesar di Malaysia itu secara rasmi membuka tirainya hari ini. Penganjuran selama tiga hari ini sekali lagi menghimpunkan peminat budaya Jepun, pemain industri dan pelancong dalam satu platform yang meraikan keunikan negara Matahari Terbit.

    Majlis pembukaan disempurnakan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Shikata Noriyuki, dengan kehadiran Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, wakil agensi kerajaan dari Malaysia dan Jepun serta rakan strategik yang menjayakan acara tersebut. Kehadiran mereka mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara yang terus berkembang melalui kerjasama dalam pelbagai sektor.

    Sebagai salah satu acara yang disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026, Japan Expo Malaysia menawarkan kemasukan percuma kepada orang ramai sepanjang 24 hingga 26 Julai. Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai pengalaman yang merangkumi budaya tradisional, makanan, pelancongan, teknologi, gaya hidup, hiburan dan peluang perniagaan dalam satu lokasi.

    Sejak mula diperkenalkan, Japan Expo Malaysia berkembang menjadi antara festival budaya Jepun paling berpengaruh di Asia Tenggara. Acara ini bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya tradisional Jepun, malah turut mengetengahkan inovasi moden serta budaya pop yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Menurut TYT Shikata Noriyuki, penganjuran tahun ini amat bermakna kerana Jepun dan Malaysia bakal menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun hadapan. Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara menjadi semakin kukuh menerusi interaksi rakyat, sama ada melalui seni, budaya mahupun pelbagai pengalaman yang dikongsi bersama. Beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan terus mengenali serta berkunjung ke Jepun selepas menghadiri ekspo tersebut.

    Suasana pembukaan turut diserikan dengan persembahan khas yang menggabungkan elemen budaya tradisional dan moden Jepun. Penyanyi Malaysia, MimiFly, berkongsi pentas bersama artis Jepun, Naomichi Hanazono, dalam persembahan yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

    Turut mencuri perhatian ialah kemunculan kumpulan idola terkenal AKB48 bersama kumpulan saudaranya dari Malaysia, KLP48. Maskot popular Polcasan yang sinonim dengan pasangan pelakon Thai BL, Tay dan New, turut membuat penampilan istimewa sekali gus menambah kemeriahan acara pembukaan.

    Majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian Japan Expo Malaysia Awards 2026 yang memberi penghargaan kepada sembilan individu atas sumbangan mereka dalam memperkenalkan budaya, produk dan perkhidmatan Jepun kepada masyarakat Malaysia.

    Antara penerima anugerah ialah Amelia Khor yang menerima Anugerah Hiburan hasil usahanya mempromosikan budaya pop Jepun menerusi dunia cosplay, muzik dan kandungan digital. Wayne Eng Kok Boon, pengasas Komorebi Dining, pula menerima Anugerah Makanan & Minuman atas komitmennya memperkenalkan hidangan Kappo Jepun yang autentik kepada rakyat Malaysia.

    Turut menerima pengiktirafan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, yang membawa pulang Anugerah Industri Kreatif. Studio animasinya sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi organisasi pertama dari luar Jepun yang menerima Anime Fan Award di Tokyo Anime Award Festival menerusi karya popular seperti BoBoiBoy, Mechamato dan Papa Pipi.

    Pengarah Urusan Siam Connection Sdn Bhd, Wong Wai Jo berkata sambutan terhadap Japan Expo Malaysia terus meningkat saban tahun dengan penyertaan lebih banyak syarikat dari Jepun dan Malaysia. Beliau optimis sasaran melebihi 50,000 pengunjung mampu dicapai sepanjang tiga hari penganjuran, lebih-lebih lagi apabila kemasukan diberikan secara percuma kepada semua.

    Tahun ini, lebih 50 pempamer mengambil bahagian dengan pelbagai tarikan menarik. Antara yang menjadi perhatian ialah The Art of Hon-Maguro yang membawa masuk tuna sirip biru Pasifik premium dari Nagasaki menerusi Sushi Oribe. Pengunjung juga boleh menyaksikan demonstrasi memotong tuna secara langsung serta menikmati pengalaman mini omakase menerusi program Sushi Moment yang menampilkan chef sushi tempatan.

    Bagi mereka yang merancang percutian ke Jepun, reruai Japan National Tourism Organization (JNTO) menyediakan pelbagai maklumat berkaitan destinasi pelancongan termasuk Hakuba Valley di Nagano dan Yamagata yang tersenarai dalam National Geographic Best of the World 2026.

    Selain itu, pelbagai jenama dan produk Jepun turut dipamerkan termasuk pengalaman penjagaan kulit daripada KOSÉ, koleksi anime dan permainan video di LaLaport ACG Base, hasil seni La Bonsai oleh Meibock Japan, pakaian kimono, payung tradisional Gifu Wagasa serta peluang pelaburan hartanah di Hokkaido menerusi Maison De Leben.

    Pengunjung juga boleh mencuba pelbagai aktiviti kebudayaan seperti menghasilkan sulaman Sashiko, seni lipatan origami dan permainan tradisional Kendama. Aktiviti interaktif ini memberi peluang kepada orang ramai mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat melalui pengalaman secara langsung.

    Sepanjang tiga hari acara berlangsung, lebih 20 artis dari Jepun dan Malaysia dijadual membuat persembahan. Antara yang bakal menghiburkan pengunjung ialah Banzai Japan, Kotomen, Nakano Himawari, Rina Hime dan KLP48 menerusi gabungan persembahan muzik tradisional, instrumental serta J-Pop.

    Dua konsert khas turut menjadi tarikan utama tahun ini apabila kumpulan alternatif Jepun, Atarayo, mengadakan persembahan pada 24 Julai sebelum AKB48 mengambil alih pentas pada 25 Julai. Kedua-dua konsert tersebut merupakan satu-satunya acara berbayar sepanjang Japan Expo Malaysia berlangsung.

    Sementara itu, pertandingan Japan Expo Malaysia Cosplay Competition yang berlangsung pada Sabtu dijangka menghimpunkan cosplayer terbaik negara bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM10,000. Pertandingan ini menjadi pentas untuk peserta mempamerkan kreativiti dan bakat dalam menghasilkan kostum serta karakter daripada anime, manga dan permainan video.

    Bukan sekadar festival hiburan, Japan Expo Malaysia turut memperkenalkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertamanya menerusi Hi! Project. Projek ini menampilkan tujuh karya seni hasil pelukis muda Malaysia, Enni, yang menggambarkan perjalanan tujuh tahun JEMY. Kesemua karya dijual pada harga RM577 setiap satu dan hasil jualan akan disalurkan kepada ZY Movement Foundation bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas.

    Japan Expo Malaysia 2026 dianjurkan oleh Siam Connection Sdn Bhd bersama G-Yu Creative Co. Ltd dengan sokongan Kedutaan Jepun di Malaysia, Japan National Tourism Organization (JNTO), Japan External Trade Organization (JETRO), The Japan Foundation Kuala Lumpur, Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB).

    Orang ramai boleh mengunjungi Japan Expo Malaysia 2026 di Dewan 6, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga 26 Julai. Kemasukan adalah percuma dan pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi Japan Expo Malaysia serta platform Facebook dan Instagram mereka.

  • “Love Me Or Not” Jadi Tiket Insomniacks Lebarkan Sayap Ke Pasaran Antarabangsa

    “Love Me Or Not” Jadi Tiket Insomniacks Lebarkan Sayap Ke Pasaran Antarabangsa

    Insomniacks sekali lagi menghadiahkan karya baharu kepada peminat menerusi Love Me Or Not, sebuah lagu pop berbahasa Inggeris yang membawa nafas berbeza dalam perjalanan seni mereka. Kolaborasi bersama penerbit Sweden, Johan Gustafsson, menjadikan lagu ini antara projek antarabangsa terbesar pernah dihasilkan oleh kumpulan itu.

    Single ini ditulis oleh Johan Gustafsson, Rebbi James, Iqie, Danial dan Iskandar, manakala proses mixing dan mastering disempurnakan oleh Martin Hansen bersama Johan sendiri. Hasilnya ialah sebuah lagu yang kedengaran lebih segar, moden dan sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.

    Menurut Insomniacks, keputusan menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris dibuat bagi membuka lebih banyak peluang di luar Malaysia. Mereka mahu memperkenalkan muzik Insomniacks kepada pendengar baharu, terutama di Filipina yang dilihat mempunyai potensi besar untuk perkembangan kerjaya mereka.

    Love Me Or Not mengangkat kisah tentang seseorang yang memilih untuk terus menyayangi walaupun sedar cintanya mungkin tidak akan dibalas. Lagu ini mengajak pendengar menerima hakikat bahawa tidak semua hubungan akan berakhir seperti yang diharapkan, tetapi setiap perasaan tetap mempunyai makna.

    Menariknya, keseluruhan lagu ini berjaya dihasilkan hanya dalam satu hari ketika sesi penulisan lagu bersama beberapa pencipta lagu antarabangsa. Pada awalnya mereka sekadar ingin bereksperimen, namun hasil yang diperoleh membuatkan semua terus jatuh hati dengan lagu tersebut.

    Bagi mereka, pengalaman itu menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang bergelar anak seni. Selain menambah ilmu, mereka juga memperoleh pelbagai idea baharu yang akan dimanfaatkan dalam projek-projek akan datang.

    Tidak lama selepas pelancaran Love Me Or Not, Insomniacks turut diumumkan sebagai opening act bagi konsert 5 Seconds of Summer pada 17 November dan 4 Disember 2026. Mereka berharap lagu ini dapat memberi kekuatan kepada mereka yang sedang melalui kisah cinta yang rumit. Single tersebut kini boleh distrim di semua platform digital.

  • Konsert Ungu 3 Dasawarsa Janji Malam Penuh Nostalgia Bersama Marsha Milan

    Konsert Ungu 3 Dasawarsa Janji Malam Penuh Nostalgia Bersama Marsha Milan

    Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur bakal menjadi sebuah malam yang sarat dengan nostalgia apabila kumpulan legenda Indonesia itu kembali menghiburkan peminat di Malaysia pada 5 September 2026 di Idea Live Arena.

    Lebih menarik, penyanyi Marsha Milan diumumkan sebagai artis jemputan khas yang akan berkongsi pentas bersama Ungu dalam meraikan tiga dekad perjalanan seni kumpulan tersebut.

    Bagi Marsha, peluang itu bukan sekadar satu persembahan biasa, malah merupakan impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas beliau pernah menyimpan hasrat untuk berduet dengan vokalis Ungu, Pasha.

    Beliau mengakui lagu-lagu Ungu mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hidup ramai pendengar kerana setiap karya membawa kisah dan kenangan tersendiri.

    “Kalau sebut sahaja lagu-lagu Ungu, memang terus teringat memori. Ramai yang menjadikan lagu mereka sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta, atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan. Saya sendiri pun begitu,” katanya.

    Marsha berkata beliau mahu membawa persembahan yang mampu menyentuh emosi penonton, selain menghidupkan suasana menerusi sesi nyanyian beramai-ramai bersama peminat.

    Walaupun jadualnya kini padat dengan persiapan menjelang AJL40, penyanyi itu yakin masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan terbaik bagi konsert tersebut.

    Beliau juga mendedahkan bahawa beberapa lagu solo bakal dipersembahkan, manakala lagu duet akan dipilih sendiri oleh Ungu.

    Selain rangkaian lagu-lagu hit yang menjadi kegemaran ramai, peminat turut bakal disajikan dengan sebuah lagu baharu daripada Ungu yang akan dipersembahkan secara eksklusif buat pertama kali di Kuala Lumpur.

    Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy berkata pemilihan Marsha sebagai artis jemputan dibuat kerana kekuatan vokal dan penghayatannya yang mampu memberikan dimensi berbeza kepada keseluruhan persembahan.

    Beliau percaya kolaborasi tersebut akan menjadi antara momen paling diingati pada malam konsert dan berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan ulang tahun ke-30 Ungu secara langsung.

  • Penyerahan Emas Fizikal Warnai Kerjasama Strategik CA Prestige Gold dan ASTO Hotel

    Penyerahan Emas Fizikal Warnai Kerjasama Strategik CA Prestige Gold dan ASTO Hotel

    CA Prestige Gold Sdn. Bhd. terus melangkah ke hadapan apabila menjalin kerjasama strategik dengan ASTO Hotel bagi memperkukuhkan ekosistem perniagaannya. Kerjasama ini bukan sahaja memberi lebih banyak kemudahan kepada pelanggan, malah membuka peluang kepada ahli Revolusi Prime Gold dan Gold Consultant menikmati pelbagai keistimewaan ketika menyertai program syarikat.

    Sepanjang kerjasama ini, ASTO Hotel akan menjadi lokasi bagi pelbagai aktiviti termasuk seminar, latihan, bengkel, persidangan serta program pembangunan usahawan. Ahli dan pelanggan juga bakal menikmati tawaran harga khas untuk penginapan dan penggunaan fasiliti hotel, sekali gus menjadikan setiap program lebih selesa dan teratur.

    Kedua-dua pihak turut merancang pelbagai aktiviti bersama seperti sidang media, pelancaran produk dan program korporat yang dijangka memberi impak positif kepada perkembangan industri perdagangan emas serta sektor hospitaliti.

    Majlis itu turut menyaksikan penyerahan emas fizikal kepada ahli Revolusi Prime Gold yang layak berdasarkan pembelian yang dibuat mengikut syarat syarikat. CA Prestige Gold menjelaskan bahawa syarikat hanya menjalankan urusan jual beli emas fizikal dan pengurusan keahlian yang mematuhi peraturan di Malaysia, manakala semua ganjaran kepada ahli adalah mengikut polisi syarikat dan tidak membawa maksud pulangan pelaburan atau keuntungan yang dijamin.