Blog

  • Dr Haji Zaharudin Abd Rahman Dilantik Penasihat Syariah YGold

    Dr Haji Zaharudin Abd Rahman Dilantik Penasihat Syariah YGold

    YGold Sdn Bhd terus memperkukuh komitmennya terhadap pematuhan Syariah dalam urus niaga emas apabila melantik Pengarah Urusan Elzar Shariah & Technology Solution Sdn Bhd, Dr Haji Zaharudin Abd Rahman sebagai Penasihat Syariah syarikat.

    Majlis tanda tangan dan penyerahan surat pelantikan tersebut berlangsung pada Sabtu, 29 Ogos 2026, jam 11 pagi di YGold Kuala Lumpur. Majlis berkenaan menyaksikan Dr Haji Zaharudin Abd Rahman bersama Pengerusi Eksekutif YGold Sdn Bhd, Tuan Zahrin Ibrahim, memeterai kerjasama berkenaan.

    Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif YGold Sdn Bhd, Tuan Shahfizzam Moideen berkata, pelantikan Dr Haji Zaharudin dibuat bagi memperkukuh keyakinan pelanggan serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pematuhan Syariah dalam urus niaga emas.

    Menurut beliau, pelantikan tersebut turut mengambil kira kepakaran dan pengalaman Dr Haji Zaharudin dalam bidang kewangan Islam, muamalat serta transaksi emas.

    Dalam peranan sebagai Penasihat Syariah, Dr Haji Zaharudin akan memberikan pandangan dan bimbingan berkaitan aspek Syariah bagi memastikan operasi, struktur perniagaan serta urus niaga emas YGold dilaksanakan selaras dengan prinsip Syariah.

    Shahfizzam turut menegaskan bahawa pematuhan Syariah merupakan perkara penting dalam membangunkan perniagaan emas yang telus, beretika dan dipercayai.

    “Pematuhan Syariah bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya menjadi asas penting dalam membangunkan perniagaan yang telus, beretika dan dipercayai,” katanya.

    Beliau berkata, melalui pelantikan tersebut, YGold berharap dapat memperkukuh kefahaman pelanggan mengenai prinsip Syariah dalam urus niaga emas, selain memastikan setiap transaksi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan beramanah.

    Dalam perkembangan berkaitan, YGold turut menganjurkan Mega Festival Ke-2 di YGold Kuala Lumpur pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026.

    Acara yang berlangsung selama tiga hari, dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu sebelum ini pernah diadakan di YGold Kajang, dengan edisi terdahulu berjaya merekodkan jualan sebanyak RM1.2 juta.

    Mega Festival tersebut merupakan cetusan idea Shahfizzam Moideen yang sentiasa mahu memberikan pengalaman serta tawaran terbaik kepada pelanggan YGold.

    Sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai promosi dan tawaran menarik termasuk emas baharu dan preloved tanpa upah, pelbagai koleksi silver seperti rantai leher, rantai tangan, bangle, cincin dan silver bar, selain koleksi berlian termasuk cincin.

    Turut ditawarkan ialah preloved gold bar daripada pelbagai jenama serta gold bar baharu pada harga di bawah pasaran. Pelanggan juga berpeluang menikmati tawaran buy back dan trade in tertinggi, selain cincin belah rotan pada harga bawah RM300.

    Festival tersebut turut menampilkan sesi bidaan dengan harga permulaan serendah RM10 serta pelbagai hadiah menarik seperti pasu eksklusif, jam dinding, bingkai hiasan dinding, baby coat dan pelbagai hadiah lain.

    Sebanyak 200 hamper turut disediakan untuk diberikan kepada pengunjung yang hadir. Pada 30 Ogos pula, pengunjung yang hadir dengan memakai baju bertemakan kemerdekaan menerima hadiah atau saguhati daripada pihak YGold.

    YGold Kuala Lumpur yang menjadi lokasi penganjuran Mega Festival Ke-2 merupakan cawangan ketiga YGold dan mula beroperasi pada 22 Mei 2026.

    Antara perkhidmatan yang disediakan di cawangan tersebut termasuk penjualan emas baharu dan terpakai, penjualan gold bar, pembelian surat pajak serta perkhidmatan buy back dan trade in.

    Dengan pelantikan Penasihat Syariah serta penganjuran pelbagai aktiviti bersama pelanggan, YGold dilihat terus memberi penekanan terhadap aspek pematuhan Syariah, ketelusan dan kepercayaan dalam mengembangkan perniagaan emasnya.

  • Killa Driz dan ChronicalZ Bergabung Dalam “STUNTMAN”

    Killa Driz dan ChronicalZ Bergabung Dalam “STUNTMAN”

    Killa Driz kembali dengan single baharu berjudul “STUNTMAN”, sebuah karya penuh tenaga yang menampilkan penyanyi rap ChronicalZ. Dipacu bunyi sintesis yang membangkitkan semangat, rentak dram rancak serta persembahan penuh keyakinan, lagu ini mengetengahkan konsep kekal tenang di tengah-tengah kekacauan.

    “STUNTMAN” diterbitkan dan digubah oleh LastKhalif, yang sekali lagi bergandingan dengan Killa Driz dalam menghasilkan susunan muzik yang berani dan tersendiri. Menerusi lagu ini, Killa Driz turut melangkah keluar daripada zon selesanya dengan menggabungkan susunan muzik yang bertenaga bersama ritma yang lebih santai.

    “Konsep lagu ini merupakan gabungan antara ketenangan dan kekacauan. Jadi, kami mahu susunan muziknya kedengaran bertenaga, manakala rentak dram pula lebih santai,” kata Killa Driz.

    Menurutnya, pendekatan tersebut digunakan bagi menggambarkan bagaimana seseorang masih mampu mencari ketenangan walaupun segala-galanya di sekeliling terasa huru-hara.

    Dari segi mesej, “STUNTMAN” membawa tema keyakinan untuk mengambil risiko, mengikut haluan sendiri dan melakukan sesuatu yang mungkin tidak berani dicuba oleh orang lain. Watak pelagak ngeri atau ‘stuntman’ dijadikan simbol keberanian, kebebasan serta keazaman untuk melangkaui batas.

    “Lagu ini adalah tentang berani mengambil risiko dan, yang paling penting, kekal setia kepada diri sendiri,” jelas Killa Driz.

    Kerjasama bersama ChronicalZ pula menjadi antara elemen utama yang memberikan identiti tersendiri kepada single ini. Kedua-dua artis telah mengenali satu sama lain selama bertahun-tahun menerusi lingkungan kreatif yang sama. Walaupun pernah berbincang untuk bekerjasama sebelum ini, mereka memilih untuk menunggu sehingga hadir sebuah lagu yang benar-benar terasa autentik dan sesuai dengan identiti masing-masing.

    Bagi Killa Driz, ChronicalZ merupakan antara penyanyi rap kegemarannya dalam industri dan mempunyai pendekatan yang sukar dijangka dalam menghasilkan sesebuah lagu.

    “ChronicalZ merupakan antara penyanyi rap kegemaran saya dalam industri. Sentiasa ada sesuatu yang tidak dijangka dalam caranya mendekati sesebuah lagu. Dia boleh menyampaikan rap dan melodi, jadi perbezaan antara gayanya dengan gaya saya menghasilkan gabungan yang sangat baik. Kerjasama ini terasa seperti memang ditakdirkan untuk berlaku,” katanya.

    “STUNTMAN” turut meneruskan kerjasama kreatif Killa Driz bersama LastKhalif yang telah terjalin sejak peringkat awal kerjaya mereka. Gabungan produksi yang berani dan mesej positif menjadikan lagu ini sebagai dorongan kepada pendengar untuk mempercayai kebolehan diri serta berani mengambil langkah walaupun terpaksa melakukannya sendirian.

    “Saya mahu para pendengar saya sentiasa percaya kepada diri sendiri. Tidak ramai pelagak ngeri di dunia, tetapi memiliki mentaliti seperti itu boleh membawa seseorang jauh. Saya berharap lagu ini dapat mengingatkan orang ramai supaya berani mengambil risiko dan percaya kepada kemampuan diri mereka,” kata Killa Driz.

    Pelancaran “STUNTMAN” hadir ketika Killa Driz sedang meneruskan pembikinan album terbaharunya, Lepas Senja. Diilhamkan oleh kehidupan selepas matahari terbenam, album tersebut bakal meneroka pelbagai emosi, hubungan dan detik sepanjang malam, termasuk patah hati, renungan diri, perayaan dan kelegaan.

    Para peminat boleh mengikuti perkembangan projek tersebut menerusi Senja World yang menampilkan kandungan di sebalik tabir, momen studio serta visual berkaitan album.

    Dalam perkembangan berkaitan, Killa Driz juga dijadualkan membuat persembahan di Motormaniac pada 6 September 2026 bersama beberapa artis daripada barisan Def Jam. Persembahan tersebut bakal memberikan peluang kepada peminat untuk mendengar beberapa lagu yang masih belum dilancarkan daripada album Lepas Senja secara penuh.

    “STUNTMAN” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

  • Pitahati Wakili Malaysia di Pentas AXEAN Festival 2026

    Pitahati Wakili Malaysia di Pentas AXEAN Festival 2026

    Kumpulan psychedelic rock Malaysia, Pitahati, bakal membawa nama Malaysia ke pentas AXEAN Festival 2026 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos di Jimbaran Hub, Bali, Indonesia.

    Pitahati merupakan antara tiga nama dari Malaysia yang terpilih untuk membuat persembahan pada edisi keenam AXEAN Festival, bersama MASDO serta kolaborasi Lil Asian Thiccie x DJ Magn3sium.

    Tahun ini, AXEAN Festival menghimpunkan lebih 40 artis di tiga pentas, selain menampilkan program persidangan, sesi networking dan pelbagai aktiviti pembangunan industri muzik.

    Bagi Pitahati, peluang untuk menyertai festival berkenaan bukan sekadar mengenai persembahan di luar negara, tetapi turut menjadi ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari Asia Tenggara serta rantau lain.

    “Bagi Pitahati, peluang ini bukan sekadar sebuah persembahan di luar negara, tetapi ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari rantau Asia Tenggara dan luar rantau,” kata Rahman, pengurus Pitahati.

    Vokalis Pitahati, Ilham, turut melihat penyertaan di AXEAN Festival sebagai peluang untuk mereka memahami perkembangan muzik serantau serta membina hubungan baharu dengan artis dan penggiat industri.

    “Bila kita pergi ke festival macam AXEAN, kita bukan datang sekadar untuk bermain. Kita juga datang untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam muzik di rantau ini, berkenalan dengan artis dan orang industri lain, dan bawa muzik kita ke ruang yang mungkin sebelum ini belum pernah kita sampai,” katanya.

    AXEAN Festival mempunyai fokus yang kuat terhadap pertukaran dan eksport muzik serantau. Sejak penubuhannya pada 2020, platform ini telah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara serta menghimpunkan ratusan delegasi industri dari pelbagai negara.

    Menurut Ilham, penglibatan band Malaysia dalam acara seperti AXEAN Festival penting bagi memastikan muzik tempatan terus menjadi sebahagian daripada perkembangan industri muzik Asia Tenggara.

    “Kami rasa penting untuk band Malaysia berada dalam ruang sebegini. Asia Tenggara ada banyak muzik yang menarik, dan kita mahu menjadi sebahagian daripada perbualan itu. Harapnya persembahan Pitahati di Bali nanti boleh membuka lebih banyak peluang untuk muzik kami bergerak di luar Malaysia,” tambahnya.

    Selain Pitahati, edisi tahun ini turut menampilkan barisan artis dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis dan beberapa negara lain.

    Kehadiran artis dari pelbagai negara menjadikan AXEAN Festival sebagai salah satu platform penting untuk pertemuan, pertukaran idea dan jaringan dalam kalangan komuniti muzik serantau.

    Bagi Pitahati, penyertaan di AXEAN Festival 2026 merupakan satu lagi langkah dalam usaha membawa identiti muzik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas, di samping terus membina hubungan dengan komuniti muzik Asia Tenggara.

    Persembahan di Bali nanti bukan sahaja menjadi pentas untuk Pitahati memperkenalkan muzik mereka, malah membuka ruang baharu untuk muzik Malaysia berkembang dan mendapat tempat di peringkat serantau.

  • Mila Jirin Buka Langkah Baharu Di Indonesia Menerusi ‘Cukup Sudah Cukup’

    Mila Jirin Buka Langkah Baharu Di Indonesia Menerusi ‘Cukup Sudah Cukup’

    KUALA LUMPUR — Belum sempat dipromosikan menerusi kempen besar-besaran di Malaysia, “Cukup Sudah Cukup”, lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini, terlebih dahulu mendapat perhatian di Indonesia.

    Lagu berkenaan kini mula mendapat putaran di beberapa stesen radio utama negara itu, termasuk Gen FM dan Prambors FM, sekali gus memberikan petanda positif terhadap langkah baharu Mila untuk memperluaskan perjalanan muziknya ke pasaran serantau.

    Perkembangan tersebut hadir ketika penyanyi berkenaan sedang membina semula momentum dalam industri muzik selepas kembali aktif dalam dunia rakaman. Pada masa sama, Mila turut mula memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar Indonesia secara berperingkat.

    Berbeza dengan single pertama, “Tersimpan Dalam Hati”, pelancaran “Cukup Sudah Cukup” tidak disertai sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia. Sebaliknya, lagu itu diedarkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan karya-karya daripada album baharunya kepada pendengar di kedua-dua negara.

    Bagi Mila, peluang apabila “Cukup Sudah Cukup” mula dimainkan di beberapa stesen radio Indonesia merupakan satu perkembangan yang cukup bermakna, terutama ketika perjalanan muziknya di pasaran tersebut masih berada pada peringkat awal.

    “Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan ‘Cukup Sudah Cukup’ sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.

    “Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.

    “Cukup Sudah Cukup” turut menjadi hasil kolaborasi Mila bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala liriknya dihasilkan oleh Aisah Rizky.

    Keseluruhan proses produksi audio lagu tersebut dilakukan di Jakarta, termasuk susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering. Kerjasama itu sekali gus menjadi antara langkah awal Mila dalam membina jaringan kreatif di Indonesia, selain meneroka pendekatan serta warna muzik yang lebih segar untuk album baharunya.

    “Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara beliau memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar.

    “Daripada situ, saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia. Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” jelas Mila.

    Bagi melengkapkan perjalanan single tersebut, muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” turut menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu.

    Muzik video berkenaan diterbitkan oleh Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga. Projek tersebut sekali gus meneruskan kesinambungan kerjasama kreatif antara penggiat seni Malaysia dan Indonesia yang menjadi sebahagian daripada perjalanan baharu Mila.

    Muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” mula ditayangkan menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada 4 September jam 3 petang. Lagu berkenaan turut tersedia di semua platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform digital lain pada tarikh yang sama.

    Momentum Mila di Indonesia bagaimanapun tidak terhenti pada pengedaran lagu dan muzik video apabila beliau dijadualkan memulakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini.

    Kunjungan tersebut bakal menjadi ruang untuk Mila bertemu secara langsung dengan stesen-stesen radio serta media di Indonesia, selain memperkenalkan dengan lebih dekat “Cukup Sudah Cukup” dan perjalanan muzik baharunya kepada khalayak di negara berkenaan.

    “Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka.

    “Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.

    “Cukup Sudah Cukup” merupakan lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Album tersebut menandakan fasa baharu dalam perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi bersama tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia.

    Single pertama, “Tersimpan Dalam Hati”, sebelum ini menjadi pembuka kepada perjalanan tersebut apabila berjaya menembusi Top 30 carta ERA 40. Kemunculan “Cukup Sudah Cukup” pula memperlihatkan perkembangan seterusnya apabila strategi pengedaran dan promosi turut diperluaskan ke pasaran Indonesia.

    Bagi Mila, usaha meneroka pasaran Indonesia bukan bermakna beliau mahu meninggalkan Malaysia, sebaliknya melihatnya sebagai peluang untuk membawa karya muziknya ke ruang yang lebih luas di rantau ini.

    “Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini.

    “Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama. Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri. Kalau ‘Cukup Sudah Cukup’ menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.

  • Prestasi Kukuh Segmen Pembiayaan Pacu Keuntungan Sunzen Pada TK2026

    Prestasi Kukuh Segmen Pembiayaan Pacu Keuntungan Sunzen Pada TK2026

    Sunzen Group Berhad (“Sunzen” atau “Kumpulan”), sebuah syarikat yang mempunyai portfolio pelbagai dalam produk kesihatan, peranti dan perkhidmatan perubatan serta pembiayaan pinjaman di Malaysia, mencatatkan peningkatan ketara dalam prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (TK2026).

    Bagi TK2026, Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM93.51 juta, meningkat 16.1% berbanding RM80.58 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula melonjak kepada RM15.89 juta daripada RM3.31 juta sebelumnya.

    Peningkatan keuntungan tersebut disokong oleh sumbangan keuntungan yang lebih tinggi sejajar dengan pertumbuhan pendapatan, pemulihan hutang lapuk yang berjaya serta pengurangan keseluruhan perbelanjaan operasi sepanjang tahun kewangan.

    Bagi suku keempat yang berakhir 30 Jun 2026 (Suku Ke-4 TK2026), pendapatan Kumpulan meningkat 31.0% tahun ke tahun kepada RM19.62 juta berbanding RM14.98 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan tersebut didorong oleh peningkatan prestasi merentasi semua segmen perniagaan.

    Kumpulan turut kembali mencatatkan keuntungan dengan PBT sebanyak RM2.40 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.53 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

    Bagaimanapun, secara suku ke suku, pendapatan Suku Ke-4 TK2026 menurun 18.2% daripada RM23.97 juta pada Suku Ketiga TK2026, manakala PBT susut 23.6% daripada RM3.15 juta.

    Penyederhanaan prestasi suku tahunan ini sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada segmen Kesihatan Manusia, khususnya eksport sarang burung yang boleh dimakan ke pasaran China. Prestasi turut dipengaruhi oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, termasuk penghapusan hutang lapuk sebanyak RM0.84 juta dan pengurangan inventori sebanyak RM0.69 juta.

    Segmen Kesihatan Manusia mencatatkan pendapatan RM10.77 juta bagi Suku Ke-4 TK2026, meningkat 22.5% daripada RM8.79 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Namun begitu, segmen tersebut merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.78 juta berbanding RM0.87 juta sebelumnya, terutamanya akibat perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, termasuk penghapusan hutang lapuk dan pengurangan inventori.

    Untuk keseluruhan TK2026, pendapatan segmen Kesihatan Manusia meningkat 11.9% kepada RM63.86 juta daripada RM57.07 juta. Kerugian sebelum cukai bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM2.33 juta berbanding RM1.77 juta pada tahun sebelumnya.

    Segmen Peranti dan Perkhidmatan Perubatan pula meneruskan momentum pertumbuhan positif. Pendapatan suku tahunan meningkat 62.3% tahun ke tahun kepada RM3.32 juta daripada RM2.05 juta, manakala PBT meningkat 66.7% kepada RM0.71 juta daripada RM0.43 juta.

    Bagi TK2026, segmen tersebut mencatatkan pendapatan RM9.83 juta dan PBT RM1.67 juta, berbanding RM6.96 juta dan RM1.15 juta masing-masing dalam tempoh sembilan bulan yang sama selepas pengambilalihan perniagaan pada Oktober 2024.

    Segmen Pembiayaan Pinjaman kekal sebagai penyumbang pendapatan utama Kumpulan. Pendapatan suku tahunan meningkat 33.5% tahun ke tahun kepada RM5.54 juta daripada RM4.15 juta, didorong oleh jumlah pembiayaan yang lebih tinggi.

    PBT segmen ini melonjak kepada RM4.70 juta berbanding RM0.82 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Prestasi tersebut disokong oleh sumbangan pendapatan yang lebih tinggi serta pemulihan hutang lapuk yang berjaya. Sebagai perbandingan, suku sebelumnya terjejas akibat penghapusan hutang lapuk sebanyak RM2.97 juta.

    Bagi keseluruhan TK2026, pendapatan segmen Pembiayaan Pinjaman meningkat 44.3% kepada RM19.83 juta daripada RM13.74 juta, manakala PBT lebih daripada dua kali ganda kepada RM15.50 juta berbanding RM7.26 juta sebelumnya.

    Pengarah Urusan Kumpulan Sunzen Group Berhad, Teo Yek Ming, berkata prestasi TK2026 menunjukkan peningkatan ketara dalam keuntungan keseluruhan Kumpulan, dengan PBT meningkat kepada RM15.89 juta.

    Menurut beliau, prestasi tersebut mencerminkan kekuatan portfolio perniagaan Sunzen yang pelbagai, khususnya pertumbuhan berterusan dalam segmen Pembiayaan Pinjaman serta Peranti dan Perkhidmatan Perubatan.

    Walaupun segmen Kesihatan Manusia masih berdepan tekanan kos jangka pendek, Kumpulan terus melihat peluang untuk memperkukuh jangkauan pengedaran dan meningkatkan kecekapan operasi segmen berkenaan.

    Sunzen akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan pendapatan yang mampan merentasi perniagaan teras, di samping mengekalkan pengurusan kos dan risiko yang berhemat.

    Bagi prospek akan datang, Kumpulan kekal optimis secara berhati-hati. Segmen Kesihatan Manusia dijangka menunjukkan peningkatan, disokong oleh pertumbuhan pesanan jualan daripada pelanggan.

    Ecolite turut mengambil langkah untuk memperluaskan kehadiran serantaunya dengan melantik pengedar tempatan di Indonesia serta memulakan proses pendaftaran produk dan pensijilan Halal yang berkaitan. Kumpulan juga sedang meneroka peluang pengedaran yang sesuai di Singapura dan Malaysia Timur.

    Selain itu, segmen Kesihatan Manusia merancang untuk memperkenalkan model langganan bagi produk terpilih bagi mempelbagaikan saluran jualan dan meningkatkan penglibatan pelanggan berulang.

    Dalam menghadapi peningkatan kos utiliti dan overhed, Kumpulan akan terus menguruskan harga serta kos secara sewajarnya. Permintaan daripada pasaran China pula dijangka kekal stabil dan berada pada tahap yang setanding dengan tempoh sama tahun sebelumnya.

    Segmen Peranti dan Perkhidmatan Perubatan pula dijangka mengekalkan momentum operasi yang positif, disokong oleh penembusan lebih mendalam ke hospital, pengembangan portfolio peranti oftalmik serta hubungan yang lebih kukuh dengan pakar oftalmologi dan kumpulan penjagaan kesihatan.

    Peningkatan permintaan terhadap teknologi diagnostik dan pembedahan dijangka membuka peluang pertumbuhan selanjutnya. Eye Nation Medical akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan bahagian pasaran, margin dan kecekapan operasi, selain memperkenalkan vertikal produk baharu untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang.

    Sementara itu, permintaan terhadap penyelesaian pembiayaan alternatif dijangka kekal berdaya tahan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Walaupun pertumbuhan pinjaman keseluruhan dijangka sederhana, segmen Pembiayaan Pinjaman akan terus mengamalkan pendekatan pinjaman yang berhemat dan selektif. Fokus akan diberikan kepada pinjaman bercagar, penilaian kredit yang ketat serta peminjam berkualiti tinggi dengan profil pembayaran balik yang lebih kukuh.

    Pendekatan tersebut dijangka membantu Sunzen mengekalkan kualiti portfolio pembiayaan serta menyokong pertumbuhan yang lebih mampan dalam jangka panjang.

    Secara keseluruhan, prestasi TK2026 menunjukkan pemulihan keuntungan yang kukuh bagi Sunzen, dengan segmen Pembiayaan Pinjaman menjadi penyumbang utama kepada keuntungan Kumpulan, manakala segmen Peranti dan Perkhidmatan Perubatan terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang positif.

    Dengan usaha memperkukuh segmen Kesihatan Manusia serta strategi pertumbuhan dalam perniagaan perubatan dan pembiayaan, Sunzen dijangka terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan pendapatan yang mampan sambil mengekalkan disiplin pengurusan kos dan risiko.

  • DPS Resources Rekod Keuntungan Bersih RM2.25 Juta, Segmen Perabot Jadi Pemacu Utama

    DPS Resources Rekod Keuntungan Bersih RM2.25 Juta, Segmen Perabot Jadi Pemacu Utama

    DPS Resources Berhad (“DPS” atau “Syarikat”) mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 (“Suku 1 TK2027”), dengan keuntungan bersih meningkat 44.4% kepada RM2.25 juta berbanding RM1.56 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

    Bagi Suku 1 TK2027, Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM11.58 juta, lebih rendah berbanding RM12.79 juta yang dicatatkan pada Suku 1 TK2026. Walaupun hasil menurun, DPS berjaya meningkatkan keuntungan kasar kepada RM4.00 juta berbanding RM3.72 juta sebelumnya.

    Keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada RM2.25 juta daripada RM1.56 juta, manakala pendapatan asas sesaham bertambah kepada 0.84 sen berbanding 0.59 sen pada suku yang sama tahun sebelumnya.

    Penurunan pendapatan terutamanya berpunca daripada sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah, pembinaan serta penyewaan bangunan dan perkhidmatan komprehensif. Bagaimanapun, kesan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih kukuh daripada segmen perabot.

    Segmen perabot mencatatkan pendapatan sebanyak RM8.07 juta pada Suku 1 TK2027, berbanding hanya RM0.37 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Segmen tersebut turut mencatatkan keuntungan sebanyak RM2.26 juta, berbanding kerugian segmen sebanyak RM0.54 juta sebelumnya.

    Prestasi keseluruhan Kumpulan turut mendapat manfaat daripada kawalan kos yang lebih baik serta peningkatan kecekapan operasi. Faktor-faktor ini membantu DPS mencatatkan keuntungan kasar yang lebih tinggi walaupun jumlah pendapatan keseluruhan adalah lebih rendah.

    Berbanding Suku 4 TK2026, DPS merekodkan penurunan hasil sebanyak RM1.46 juta. Namun begitu, keuntungan kasar meningkat dengan ketara kepada RM4.00 juta daripada RM2.23 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM1.77 juta.

    Kumpulan juga berjaya kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.25 juta, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.75 juta pada suku sebelumnya.

    Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sow Chin Chuan, Pengerusi Kumpulan dan Pengasas DPS Resources Berhad, berkata peningkatan keuntungan bagi Suku 1 TK2027 mencerminkan tumpuan berterusan DPS terhadap kecekapan operasi dan pengurusan kos.

    Menurut beliau, walaupun hasil terjejas akibat perbezaan masa dalam sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, Kumpulan masih berjaya mencatatkan keuntungan kasar dan keuntungan sebelum cukai yang lebih kukuh.

    DPS kekal fokus untuk mengukuhkan saluran projek serta memajukan inisiatif pembangunan secara berdisiplin bagi menyokong prestasi operasi yang mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

    Melangkah ke hadapan, DPS kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospeknya. Kumpulan sedang meneruskan inisiatif untuk menggunakan semula kemudahan kilang terpilih bagi operasi pusat data serta membangunkan infrastruktur teknologi tinggi di Melaka.

    Antara projek utama yang sedang dimajukan ialah Pusat Data dan Taman Teknologi Tinggi yang dipacu kecerdasan buatan (AI) di Mukim Lendu, Alor Gajah. Projek tersebut merangkumi kawasan kira-kira 345 ekar dengan kapasiti kuasa yang dicadangkan antara 500MW hingga 1GW.

    DPS turut mencadangkan pembangunan pusat data di Bukit Rambai yang meliputi kira-kira 20 ekar. Projek ini mempunyai kapasiti kuasa yang dicadangkan sebanyak 89MW, dengan potensi pengembangan sehingga 400MW, tertakluk kepada pertimbangan teknikal, kawal selia dan komersial yang diperlukan.

    Dalam usaha memperkukuhkan saluran pusat datanya, Kumpulan turut menjalin kerjasama strategik dengan BBSB Holdings Sdn. Bhd., Hangyue Intelligent Electrical Co., Ltd. dan CEIG (M) Sdn. Bhd.

    Kerjasama tersebut meliputi beberapa bidang termasuk kapasiti pusat data, potensi kolokasi perusahaan China, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur kuasa serta bekalan air.

    Inisiatif pembangunan ini turut disokong melalui penglibatan berterusan dengan pihak berkuasa dan penyedia infrastruktur berkaitan, termasuk Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad dan Kerajaan Negeri Melaka.

    Selain sektor pusat data dan teknologi tinggi, DPS terus memajukan portfolio pembangunan hartanahnya, termasuk hab komersial Taman Bukit Rambai Putra Gateway.

    Dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang berdisiplin, pengurusan kos yang berhemat dan pembentukan perkongsian strategik, DPS menyasarkan untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, meningkatkan keterlihatan pendapatan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

    Secara keseluruhannya, prestasi Suku 1 TK2027 menunjukkan bahawa DPS berjaya meningkatkan keuntungan walaupun berdepan penurunan hasil. Lonjakan prestasi segmen perabot, kawalan kos yang lebih baik serta potensi projek pusat data dan teknologi tinggi di Melaka menjadi antara faktor utama yang boleh menyokong perkembangan Kumpulan pada masa akan datang.

  • Globetronics Catat RM80.4 Juta Hasil Bagi TK2026

    Globetronics Catat RM80.4 Juta Hasil Bagi TK2026

    Globetronics Technology Bhd (GTB), pemain utama dalam industri Pemasangan dan Ujian Semikonduktor Penyumberan Luar (OSAT) dan semikonduktor, mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 24% kepada RM21.0 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 30 Jun 2026 (Suku Keempat TK2026), berbanding RM16.9 juta pada suku sebelumnya.

    Peningkatan hasil tersebut disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti pembuatan dan kimia Kumpulan. Seiring dengan pertumbuhan hasil, keuntungan kasar meningkat sebanyak 206% kepada RM4.1 juta daripada RM1.3 juta pada Suku Ketiga TK2026.

    Margin keuntungan kasar turut meningkat dengan ketara kepada 19.6% berbanding 8.0% pada suku sebelumnya, mencerminkan sumbangan hasil yang lebih tinggi sepanjang suku tersebut.

    Bagaimanapun, prestasi keseluruhan Kumpulan masih terjejas oleh beberapa faktor kewangan. Globetronics mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM26.31 juta bagi suku keempat, berbanding RM13.76 juta pada Suku Ketiga TK2026.

    Kerugian sebelum cukai (LBT) pula meningkat kepada RM28.54 juta daripada RM13.47 juta pada suku sebelumnya, manakala kerugian selepas cukai (LAT) berjumlah RM27.33 juta berbanding RM13.64 juta sebelum ini.

    Menurut Kumpulan, kerugian yang lebih tinggi tersebut berpunca daripada rosot nilai saham keutamaan dan aset kewangan berbanding suku sebelumnya.

    Bagi tempoh 12 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (TK2026), Globetronics mencatatkan hasil sebanyak RM80.4 juta dan keuntungan kasar sebanyak RM13.4 juta.

    Namun begitu, Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM56.4 juta bagi TK2026. Prestasi sepanjang tahun kewangan tersebut terjejas oleh beban pelanggan yang lebih rendah serta beberapa perbelanjaan yang ditanggung sepanjang tahun.

    Antara faktor yang memberi kesan kepada keputusan kewangan termasuk penurunan nilai saham keutamaan, pembayaran berasaskan saham serta bahagian kerugian Kumpulan daripada syarikat sekutunya.

    Pihak pengurusan Globetronics berkata walaupun persekitaran operasi keseluruhan kekal mencabar sepanjang TK2026, Kumpulan berasa digalakkan dengan peningkatan berurutan dalam hasil dan keuntungan kasar pada suku keempat.

    Peningkatan tersebut disokong oleh sumbangan pembuatan yang lebih tinggi serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin.

    Bagi tempoh akan datang, Globetronics akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan syarikat, meneroka peluang pelanggan dan produk baharu serta memajukan pelaburan strategik dan kerjasama.

    Langkah tersebut dilihat penting bagi membina asas yang lebih luas untuk pertumbuhan mampan serta mengukuhkan kedudukan GTB dalam rantaian nilai industri semikonduktor.

    Setakat 30 Jun 2026, jumlah aset Kumpulan berjumlah RM262.5 juta, manakala jumlah ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemilik Syarikat berjumlah RM238.8 juta.

    Sepanjang TK2026, Globetronics turut melabur sebanyak RM24.3 juta dalam hartanah, loji dan peralatan bagi menyokong keupayaan pembuatan serta teknologinya. Pada akhir tahun kewangan, Kumpulan mempunyai komitmen modal sebanyak RM18.9 juta untuk hartanah, loji dan peralatan.

    Melangkah ke hadapan, Globetronics akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peluang perniagaan baharu, meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan portfolio produk dan pelanggannya.

    Kumpulan juga akan meneruskan kerjasama strategik dan pembangunan keupayaan teknologi sambil mengharungi ketidakpastian yang masih wujud dalam industri semikonduktor.

    Usaha tersebut dijangka menjadi antara fokus utama GTB dalam meningkatkan prestasi operasi dan kewangan serta meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang lebih baik untuk pertumbuhan jangka panjang.

  • Seni Jaya Rekod Pertumbuhan Pendapatan 17% Kepada RM81.8 Juta Pada TK2026

    Seni Jaya Rekod Pertumbuhan Pendapatan 17% Kepada RM81.8 Juta Pada TK2026

    Seni Jaya Corporation Berhad, pakar media Luar Rumah (OOH) terkemuka di Malaysia, mencatatkan pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (TK2026), disokong oleh pengembangan rangkaian papan iklan serta permintaan berterusan terhadap format OOH digital.

    Bagi suku keempat tahun kewangan 2026 (S4 TK2026), Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM16.7 juta, meningkat 6% tahun ke tahun (YoY) berbanding RM15.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

    Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh prestasi papan iklan digital yang mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM2.3 juta atau 35% YoY. Peningkatan ini mencerminkan permintaan pengiklan yang berterusan terhadap format digital berimpak tinggi.

    Bagaimanapun, peningkatan berkenaan sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pendapatan pengeluaran sebanyak RM0.9 juta atau 49% sepanjang suku tersebut.

    Bagi keseluruhan TK2026, Seni Jaya mencatatkan pendapatan sebanyak RM81.8 juta, meningkat 17% daripada RM69.7 juta pada TK2025. Berdasarkan asas teras atau dinormalisasi yang didedahkan Kumpulan, tidak termasuk pendapatan dan perbelanjaan bukan teras, pendapatan sepanjang tahun meningkat 19% kepada RM81.8 juta.

    PAT teras atau dinormalisasi kekal positif pada RM8.5 juta, bersamaan margin sebanyak 10%. Bagaimanapun, angka tersebut lebih rendah berbanding PAT teras atau dinormalisasi sebanyak RM13.3 juta yang dicatatkan pada TK2025.

    Penyederhanaan PAT teras atau dinormalisasi bagi tahun tersebut disebabkan terutamanya oleh peruntukan cukai dan susut nilai yang lebih tinggi pada TK2026, selain ketiadaan pembayaran balik sebanyak RM2.0 juta daripada syarikat bersekutu yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

    Bagi S4 TK2026 pula, Kumpulan mencatatkan LAT teras atau dinormalisasi sebanyak RM1.9 juta berbanding PAT teras atau dinormalisasi sebanyak RM1.0 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Prestasi ini terutamanya dipengaruhi oleh pendapatan yang lebih rendah susulan konflik Timur Tengah yang bermula pada Februari 2026.

    Keputusan berkanun Seni Jaya turut terjejas secara material oleh beberapa item bukan teras, khususnya penurunan nilai muhibah bukan tunai sebanyak RM13.6 juta yang berkaitan dengan pengambilalihan Vision OOH Sdn. Bhd., serta penurunan nilai inventori sebanyak RM1.6 juta bagi TK2026.

    Menurut Kumpulan, penurunan nilai muhibah tersebut berpunca daripada peningkatan harga pasaran saham Seni Jaya daripada harga rujukan awal RM0.3160 sesaham kepada RM0.55 sesaham ketika peruntukan sebenar saham pertimbangan Vision dibuat. Keadaan tersebut meningkatkan nilai muhibah yang diiktiraf semasa pengambilalihan.

    Walaupun memberi kesan kepada keputusan berkanun, penurunan nilai muhibah tersebut merupakan item bukan tunai dan tidak melibatkan aliran keluar tunai operasi.

    Dari segi penjanaan tunai, asas perniagaan Seni Jaya kekal berdaya tahan. Tunai bersih daripada aktiviti operasi meningkat 19% YoY kepada RM25.7 juta berbanding RM21.6 juta pada tahun sebelumnya.

    Jumlah ekuiti Kumpulan turut meningkat kepada RM96.6 juta pada 30 Jun 2026 berbanding RM80.8 juta setahun sebelumnya. Dalam tempoh TK2026, Seni Jaya turut membayar dividen interim pertama sebanyak 1 sen bagi setiap saham biasa, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM2.1 juta.

    Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya Corporation Berhad, Jeff Cheah See Heong, berkata TK2026 mencerminkan pengembangan berterusan platform OOH Kumpulan dengan pendapatan meningkat kepada RM81.8 juta, manakala perniagaan teras atau dinormalisasi kekal menguntungkan bagi keseluruhan tahun.

    Beliau berkata keputusan yang dilaporkan telah terjejas dengan ketara oleh penurunan nilai muhibah bukan tunai susulan pengambilalihan Vision, namun perkara tersebut tidak mewakili aliran keluar tunai operasi.

    Menurut beliau, Kumpulan terus menjana aliran tunai operasi yang kukuh dan permintaan terhadap papan iklan digital kekal berdaya tahan.

    Memasuki TK2027, Seni Jaya akan memberi tumpuan kepada integrasi asas aset yang diperbesarkan, meningkatkan penggunaan aset serta meneruskan peralihan inventori terpilih kepada format digital bernilai lebih tinggi.

    Kumpulan turut mencatatkan perkembangan ketara dalam program pengembangan strategiknya sepanjang tempoh tersebut. Pengambilalihan Vision OOH telah diselesaikan pada 22 April 2026, diikuti pengambilalihan Ganad Media Sdn. Bhd. yang diselesaikan pada 14 Julai 2026.

    Seterusnya, pengambilalihan Unilink Group telah diselesaikan pada 12 Ogos 2026. Ketiga-tiga pengambilalihan tersebut dijangka memperluaskan lagi jejak OOH Seni Jaya di seluruh negara serta mengukuhkan asas aset premium Kumpulan.

    Seni Jaya juga telah menyelesaikan penempatan persendirian selepas menerbitkan 50.0 juta saham baharu dan mengumpulkan hasil kasar sebanyak RM20.12 juta.

    Dari perspektif pasaran domestik, keadaan ekonomi Malaysia kekal menyokong secara meluas, dipacu oleh permintaan pengguna serta pelaburan sektor awam dan swasta yang berterusan.

    Inisiatif Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 43 juta ketibaan antarabangsa turut dijangka menyokong mobiliti, perbelanjaan berkaitan pelancongan serta pendedahan jenama di lokasi yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi.

    Walaupun pengiklan terus bersikap selektif berikutan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan kos, pengiklanan OOH dilihat terus menunjukkan daya tahan relatif hasil keterlihatan yang berterusan, liputan geografi yang luas serta integrasi yang semakin meningkat dengan strategi penglibatan digital.

    Dalam persekitaran tersebut, Seni Jaya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan tapak papan iklan premium, penukaran aset statik terpilih kepada format digital serta usaha membuka sinergi merentasi rangkaian yang semakin diperbesarkan.

    Dengan Vision OOH, Ganad Media dan Unilink kini menjadi sebahagian daripada platform pertumbuhan yang lebih luas, Seni Jaya memasuki TK2027 dengan rangkaian seluruh negara yang lebih besar dan asas yang lebih kukuh untuk memacu pendapatan berulang, meningkatkan penggunaan aset serta menyokong pertumbuhan keuntungan jangka panjang.

  • SBH Marine Kembali Catat Keuntungan Pada Suku Kedua TK2026

    SBH Marine Kembali Catat Keuntungan Pada Suku Kedua TK2026

    SBH Marine Holdings Berhad kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua tahun kewangan 2026 selepas merekodkan kerugian pada suku pertama, disokong oleh peningkatan prestasi operasi, margin keuntungan kasar yang lebih baik serta pergerakan pertukaran asing yang memihak kepada Kumpulan.

    Bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026, SBH Marine mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.63 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.51 juta. Prestasi ini merupakan pemulihan ketara berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.38 juta dan kerugian selepas cukai sebanyak RM2.46 juta yang direkodkan pada suku pertama tahun kewangan 2026.

    Hasil Kumpulan turut meningkat 9.49% secara suku ke suku (QoQ) kepada RM42.94 juta berbanding RM39.22 juta pada suku sebelumnya.

    Pemulihan pada suku kedua turut disokong oleh peningkatan margin keuntungan kasar, yang berkembang sebanyak 1.29 mata peratusan kepada 9.79% daripada 8.50% pada suku pertama. Peningkatan tersebut mencerminkan realisasi jualan keseluruhan yang lebih baik.

    Segmen perdagangan saudagar mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dengan hasil meningkat 32.76% QoQ kepada RM13.77 juta daripada RM10.37 juta. Sementara itu, hasil daripada segmen pemprosesan makanan laut meningkat 2.02% kepada RM28.93 juta.

    Kumpulan turut mendapat manfaat daripada pergerakan pertukaran asing yang lebih baik. SBH Marine merekodkan keuntungan bersih pertukaran asing sebanyak RM0.56 juta pada suku kedua, berbanding kerugian bersih pertukaran asing sebanyak RM0.55 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.

    Bagaimanapun, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, hasil pada suku kedua TK2026 menurun 3.08% kepada RM42.94 juta. Penurunan ini sebahagian besarnya berpunca daripada bekalan bahan mentah yang terhad, yang memberi kesan kepada segmen pemprosesan makanan laut yang mempunyai margin lebih tinggi.

    Walaupun hasil keseluruhan lebih rendah, keuntungan sebelum cukai meningkat sedikit kepada RM0.63 juta berbanding RM0.62 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Keuntungan selepas cukai pula meningkat 7.63% kepada RM0.51 juta daripada RM0.47 juta.

    Segmen perdagangan saudagar terus memainkan peranan penting dalam menyokong prestasi Kumpulan. Hasil segmen tersebut meningkat 64.90% YoY kepada RM13.77 juta, sekali gus membantu mengimbangi kesan jumlah pemprosesan makanan laut yang lebih rendah akibat kekangan bekalan bahan mentah.

    Menurut Pengarah Urusan Kumpulan SBH Marine Holdings Berhad, Tan Boo Nam, prestasi suku kedua menunjukkan bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kumpulan mula menghasilkan peningkatan dari segi operasi.

    Beliau berkata pemulihan daripada kerugian pada suku pertama kepada keuntungan pada suku kedua disokong oleh pendapatan yang lebih tinggi dan margin kasar yang lebih kukuh. Pemulihan tersebut juga berlaku ketika bekalan bahan mentah masih terhad, sekali gus memberi ruang kepada penambahbaikan selanjutnya sekiranya keadaan bekalan terus kembali normal.

    SBH Marine menjangkakan trend bekalan udang domestik akan bertambah baik secara beransur-ansur. Bekalan daripada ladang domestik telah menunjukkan kestabilan pada suku kedua TK2026, manakala pihak pengurusan menjangkakan pemulihan bekalan yang lebih menyeluruh bermula pada suku ketiga TK2026.

    Dalam masa yang sama, Kumpulan terus memajukan pembangunan Ladang Selinsing. Sebanyak 62 kolam udang telah siap dan bersedia untuk penanaman. Blok G yang direka untuk menempatkan 26 kolam pula telah mencapai kira-kira 60% siap pada suku yang dikaji.

    Pengembangan kemudahan tersebut dijangka membantu SBH Marine memperkukuhkan keselamatan bekalan bahan mentah secara berperingkat serta mengurangkan kebergantungan kepada penternak akuakultur pihak ketiga.

    Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, SBH Marine mencatatkan hasil sebanyak RM82.17 juta dan kerugian selepas cukai terkumpul sebanyak RM1.96 juta. Kerugian tersebut mencerminkan kesan prestasi yang lebih lemah pada suku pertama sebelum Kumpulan kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua.

    Dari segi kedudukan kewangan, Kumpulan mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM28.16 juta setakat 30 Jun 2026. Jumlah pinjaman dan liabiliti pajakan berada pada kira-kira RM15.57 juta, manakala jumlah ekuiti berjumlah RM126.40 juta.

    Melangkah ke hadapan, SBH Marine kekal positif secara berhati-hati terhadap prospeknya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Kumpulan bagaimanapun menyedari bahawa permintaan udang global, harga jualan, keadaan logistik dan pergerakan mata wang asing masih menjadi antara faktor utama yang boleh mempengaruhi prestasi.

    Dengan jangkaan pemulihan bekalan bahan mentah, perkembangan berterusan Ladang Selinsing serta pengurusan kos dan pendedahan pertukaran asing yang lebih berdisiplin, Kumpulan menjangkakan prestasi operasi dapat bertambah baik secara progresif dalam suku-suku akan datang.

    Dalam jangka panjang, pengembangan kapasiti pemprosesan makanan laut yang dirancang dijangka membolehkan SBH Marine meningkatkan output apabila operasi akuakultur huluan Kumpulan terus berkembang.

  • Gardenia Perkukuh Semangat Patriotisme dan Perpaduan Sempena Hari Kebangsaan 2026

    Gardenia Perkukuh Semangat Patriotisme dan Perpaduan Sempena Hari Kebangsaan 2026

    Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. tampil sebagai Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan 2026 anjuran Kementerian Komunikasi yang berlangsung meriah di Dataran Putrajaya. Penglibatan ini menjadi tanda sokongan Gardenia terhadap usaha memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

    Penglibatan Gardenia dalam sambutan penuh bermakna ini turut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong agenda negara serta menyemarakkan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Bersempena sambutan ini, Gardenia turut memperkenalkan produk baharu daripada rangkaian Original Classic sedia ada, iaitu Roti Susu Gardenia Original Classic Supreme 400g. Produk baharu ini diperkenalkan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam kategori roti menerusi penambahan variasi roti susu dengan kepingan yang lebih tebal.

    Roti Susu Gardenia Original Classic Supreme diperkaya dengan tekstur yang lembut, membolehkan pengguna menikmati pengalaman yang lebih memuaskan bermula daripada suapan pertama. Roti ini bukan sahaja mengekalkan identiti Original Classic “Sungguh Enak… Dimakan Begitu Sahaja”, malah sesuai digunakan untuk menghasilkan pelbagai resipi yang lazat, menjadikannya pilihan yang versatil untuk dinikmati pada setiap waktu hidangan.

    Sebagai sebahagian daripada komitmen Gardenia terhadap sambutan Hari Kebangsaan 2026, syarikat turut menyumbangkan pelbagai produk roti Gardenia dan barangan cenderahati eksklusif kepada para pengunjung. Sebanyak 5,000 unit cenderahati eksklusif berupa kipas tangan, bersama produk-produk Gardenia yang lain dengan jumlah keseluruhan bernilai RM15,000, turut diedarkan kepada pengunjung.

    Pada majlis Pra-pelancaran Sambutan Merdeka yang diadakan pada 12 Ogos 2026 yang lalu, Gardenia juga telah mengedarkan sebanyak 600 buku Roti Susu Original Classic Supreme bagi memberi peluang kepada orang awam merasai sendiri keenakan roti susu tersebut.

    Inisiatif ini mencerminkan komitmen Gardenia untuk berkongsi kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 serta mendekatkan jenama dengan masyarakat melalui pengalaman yang lebih bermakna.

    Selain itu, Gardenia turut membuka tapak jualan khas yang terletak di Perkampungan Rakan Strategik, Dataran Putrajaya sepanjang sambutan berlangsung. Gardenia menawarkan sebanyak 1,000 pek kombo jualan dengan promosi istimewa pada harga serendah RM10.

    Pek kombo tersebut menggabungkan pelbagai produk roti Gardenia termasuk roti terbaharu, Roti Susu Original Classic Supreme. Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan menarik yang sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga.

    Kehadiran tapak jualan dan aktiviti interaktif Gardenia bukan sahaja menambah kemeriahan sambutan, malah memberikan peluang kepada pengunjung untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menikmati produk kegemaran mereka.

    Penyertaan Gardenia sebagai Rakan Strategik mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong inisiatif kerajaan serta menyumbang kepada kejayaan Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

    Melalui penglibatan ini, Gardenia berharap dapat terus bersama-sama rakyat Malaysia dalam menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan mewujudkan pengalaman sambutan yang bermakna untuk seisi keluarga.