Noryn Aziz Tampil Dengan “Kaki Kiriku” & Showcase Eksklusif

Penyanyi jazz tersohor tanah air, Noryn Aziz, kembali mewarnai industri muzik dengan kejutan istimewa untuk para peminat yang setia menyokong perjalanan seninya. Baru-baru ini, beliau mengumumkan bakal menghadiahkan sebuah showcase eksklusif berjudul This Is Noryn Aziz yang akan berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur. Lebih mengujakan, Noryn turut muncul dengan single terbaharu berjudul Kaki Kiriku, sebuah karya segar yang menggabungkan elemen jazz klasik, joget tradisional serta sentuhan Parisian jazz.

Selepas sekian lama tidak tampil dengan lagu berentak moderate dan rancak, Noryn memilih untuk kembali dengan sesuatu yang unik dan berbeza. Kaki Kiriku, hasil ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng serta lirik oleh Reza Salleh, menampilkan sisi eksperimental beliau sebagai penyanyi yang berani bermain dengan konsep. Kali terakhir, Noryn tampil dengan single balada penuh emosi berjudul Kertas. Maka, kemunculan Kaki Kiriku menandakan fasa baharu yang lebih segar dan bertenaga dalam katalog muziknya.

Menurut Noryn, lagu ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah misi kecil untuk mengangkat keindahan bahasa Melayu serta warisan budaya melalui muzik. Dengan diterbitkan oleh Moonshine Productions dan dihasilkan sepenuhnya oleh Hin Ee Jeng, Kaki Kiriku turut menampilkan barisan pemuzik hebat seperti KJ di bahagian drum, Che Wan (double bass), Hady Afro (gitar) serta Farid Izwan (klarinet). Proses rakaman, adunan dan mastering dijalankan oleh Rozhan Razman di RMP Productions manakala vokal Noryn dirakam oleh Yee Xing di Little Bad Music MY.

Keistimewaan utama lagu ini terletak pada penggunaan tongue twister Melayu yang terkenal, antaranya “Kakakku kata kuku kakiku kaku, ku kikis kikis kuku kaki kiriku”. Bagi Noryn, elemen permainan lidah ini bukan sahaja menjadikan lagu lebih catchy dan mesra khalayak, tetapi juga sebagai penghargaan kepada bahasa Melayu yang kaya dengan ritma dan jenaka. Beliau mahu generasi muda merasai bahawa bahasa kita penuh keseronokan dan tidak pernah membebankan.

Muzik video Kaki Kiriku yang diarahkan oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim pula dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin. Noryn tampil anggun dalam kebaya hasil rekaan Collaborate Store, Four Season dan Calvin Thoo. Pemilihan kebaya bukan sahaja menambah elemen visual yang indah, tetapi juga melambangkan warisan, keanggunan serta kekuatan wanita Melayu. Lagu ini seterusnya menjadi sebahagian daripada konsep album baharu Noryn yang menggabungkan jazz fusion, joget tradisional, Parisian jazz, serta sentuhan soul moden.

Selain single terbaharu ini, Noryn turut mengundang para peminat menghadiri showcase eksklusif This Is Noryn Aziz. Persembahan satu malam di Auditorium DBKL itu menjanjikan sebuah pengalaman intim dan penuh jiwa dengan alunan jazz, soul serta R&B yang telah menjadi identiti beliau. Showcase ini dibahagikan kepada dua babak utama. Babak pertama akan menampilkan karya-karya asli daripada album terdahulu seperti Fantasi Realiti dan Alam Maya sehingga ke single terbaharu Kaki Kiriku. Babak kedua pula meraikan sisi R&B dengan seleksi kontemporari serta kolaborasi bersama artis undangan.

Bagi Noryn, This Is Noryn Aziz bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah perjalanan emosi dan budaya yang mencerminkan dirinya sebagai penyanyi, wanita dan anak Malaysia. Beliau mahu jazz tidak lagi dianggap asing atau eksklusif, sebaliknya hidup dalam landskap muzik Malaysia dengan ritma, bahasa dan jiwa kita sendiri.

Dengan hanya 500 tempat duduk yang ditawarkan, showcase ini menjadi sebuah peluang eksklusif untuk peminat merasai pengalaman muzik yang dekat, penuh perasaan dan penuh nilai seni. Noryn Aziz tampil bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi juga untuk meraikan bahasa, budaya serta warisan Malaysia melalui muzik yang segar, autentik dan penuh jiwa.