MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Lebih 10 Tokoh Dikir Barat Bakal Gegarkan Muzium Negara November Ini

Seni warisan Dikir Barat bakal mendapat perhatian di pentas nasional menerusi Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang menghimpunkan lebih 10 tokoh dan penggiat seni pada 7 November ini di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara serta sokongan Yayasan Hasanah melalui geran ArtsFAS (Arts For All Seasons), acara ini bertujuan meraikan keunikan Dikir Barat sebagai seni persembahan tradisional yang terus berkembang merentasi generasi.

Antara tokoh yang bakal menyertai persembahan khas tersebut ialah Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Setapo Merak Emas, Eda Ezrin, Den Manjo, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Amran DBA, Ropie Hitam Manis dan Asrulfaizal Kamaruzaman. Nasi Kerabu Moknab turut menyertai program ini sebagai rakan kolaborasi.

Selain persembahan utama, pengunjung berpeluang mengikuti sesi “Seni Berpantun dalam Dikir Barat” bersama Sabri Yunus yang mengetengahkan keindahan bahasa, kreativiti, teknik rima dan permainan kata dalam seni tradisional tersebut.

Program ini turut menampilkan Forum Warisan yang membincangkan masa depan seni tradisional, selain Dikir Barat Youth Camp yang memberi peluang kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi mempelajari asas penghasilan lirik, muzik serta teknik persembahan.

Usaha pendokumentasian digital juga menjadi sebahagian daripada program bagi memastikan persembahan, pengetahuan dan kreativiti penggiat seni dapat direkodkan untuk tujuan arkib serta pendidikan generasi akan datang.

Menerusi gabungan persembahan dan aktiviti pendidikan budaya, Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 diharap dapat memperkenalkan seni warisan ini kepada khalayak yang lebih luas, sekali gus menggalakkan generasi muda meneruskan tradisi yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya Malaysia.