Industri muzik tempatan terus diserikan dengan kemunculan karya baharu sempena Aidilfitri apabila dua bakat muda, Zaki Yamani dan Ahmad Merrah tampil berkolaborasi menerusi single raya berjudul “Raya Tak Nak Single.” Lagu ini dijadualkan dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 6 Mac 2026.
Single tersebut merupakan hasil ciptaan bersama komposer Emeer Bakri dan Amsyar Razqa, serta diterbitkan melalui kerjasama antara A>Cap Music dan Sony Music Malaysia. Menampilkan elemen muzik yang santai, segar dan moden, lagu ini dihasilkan bagi menggambarkan suasana perayaan yang lebih dekat dengan citarasa generasi muda masa kini.
Walaupun kedua-duanya hadir daripada keluarga seni terkenal, Zaki Yamani dan Ahmad Merrah tampil dengan identiti mereka sendiri. Zaki merupakan anak kepada legenda muzik tanah air Datuk Jamal Abdillah, manakala Ahmad Merrah pula anak kepada vokalis kumpulan Wings, Dato’ Awie. Namun kolaborasi ini memperlihatkan mereka sebagai generasi baharu yang membawa warna muzik tersendiri dalam industri.
Keistimewaan projek ini turut diperkukuhkan melalui penghasilan video muzik yang diinspirasikan daripada watak filem yang pernah dilakonkan oleh bapa mereka. Arahan Esham memberi sentuhan sinematik klasik yang digabungkan dengan visual moden bagi menarik perhatian penonton digital.
Selain itu, video muzik tersebut turut menampilkan kemunculan khas artis Sony Music Malaysia, Nazu, yang memainkan watak sebagai gadis yang menjadi perhatian dalam jalan cerita video berkenaan. Kehadiran elemen naratif ini menjadikan visual lagu tersebut lebih menarik dan menghiburkan.
Dengan pengaruh besar di media sosial seperti Instagram dan TikTok, kedua-dua artis ini mempunyai capaian luas dalam kalangan generasi muda. Gabungan populariti digital dan karya muzik yang segar dijangka membantu “Raya Tak Nak Single” menembusi pasaran dan menjadi antara lagu raya yang mendapat perhatian menjelang Aidilfitri tahun ini.
