“KOKUHO” CETUS FENOMENA, TAYANGAN MEDIA EKSKLUSIF MERIAHKAN KEHADIRANNYA DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2026 – Filem Jepun yang mencetuskan fenomena, KOKUHO, diraikan menerusi tayangan media eksklusif anjuran 8TV dengan kerjasama Primeworks Studios pada 21 Julai lalu. Berlangsung menjelang tayangan rasmi di pawagam pada 23 Julai, acara tersebut menghimpunkan lebih 200 tetamu jemputan termasuk wakil media, peminat filem, pencipta kandungan dan selebriti tempatan yang berpeluang menjadi antara penonton terawal menyaksikan karya sinema Jepun berkenaan.

Diadaptasi daripada novel terkenal karya Shuichi Yoshida dan diarahkan oleh Lee Sang-il, KOKUHO menampilkan kisah berdurasi 175 minit yang mengangkat tema pengorbanan, cita-cita, persahabatan dan dedikasi terhadap seni. Filem ini turut membawa penonton menyelami dunia Kabuki, dengan persembahan yang diperhalusi menerusi rekaan pentas, kostum terperinci serta penghayatan lakonan yang menonjolkan keunikan seni tradisional Jepun.

Filem ini mengisahkan Kikuo, lakonan Ryo Yoshizawa, seorang anak daripada keluarga yakuza yang kehidupannya berubah selepas berdepan satu tragedi sebelum menemui jalan dalam dunia Kabuki. Di sana, dia bertemu Shunsuke, lakonan Ryusei Yokohama, pewaris keluarga bangsawan Kabuki. Berasal daripada latar kehidupan yang berbeza, kedua-duanya berkongsi kecintaan terhadap seni yang sama, namun melalui perjalanan masing-masing — Kikuo dengan bakat semula jadinya, manakala Shunsuke membawa tanggungjawab besar untuk meneruskan warisan keluarganya.

Persaingan antara kedua-dua watak utama akhirnya berkembang menjadi hubungan yang lebih erat, dengan rasa hormat dan persahabatan terbentuk di sebalik perbezaan latar belakang mereka. Pentas Kabuki menjadi medan yang menghubungkan perjalanan kedua-duanya, sekali gus menghidupkan kisah mengenai impian, ketabahan, pengorbanan dan usaha mempertahankan warisan seni.

Bagi memastikan watak yang dibawakan tampil meyakinkan, Ryo Yoshizawa dan Ryusei Yokohama menjalani latihan Kabuki secara intensif selama 18 bulan. Latihan tersebut memberi tumpuan kepada pergerakan, bahasa tubuh dan ekspresi, termasuk teknik Onnagata, iaitu tradisi pelakon lelaki yang memainkan watak wanita dalam Kabuki. Komitmen kedua-dua pelakon utama terhadap latihan tersebut menjadi antara aspek yang menyerlah dalam pembikinan filem berkenaan.

Selain Yoshizawa dan Yokohama, KOKUHO turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman termasuk Mitsuki Takahata, Shinobu Terajima, Nana Mori, Takahiro Miura, Ai Mikami, Soya Kurokawa, Keitatsu Koshiyama, Masatoshi Nagase, Kyusaku Shimada, Emma Miyazawa, Ganjiro Nakamura, Min Tanaka dan Ken Watanabe. Kehadiran barisan pelakon tersebut menambahkan lagi dimensi emosi kepada penceritaan dan perjalanan watak-watak dalam filem.

Tayangan media eksklusif itu turut diserikan dengan persembahan langsung lagu tema Luminance, selain Pertandingan Busana Terbaik yang menggalakkan tetamu tampil dalam persalinan berinspirasikan budaya Jepun. Pemenang pertandingan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM500 bersama barangan eksklusif sumbangan SENKA by FineToday, sekali gus menambahkan elemen kebudayaan pada acara berkenaan.

Sebagai kesinambungan kepada acara tersebut, 8TV turut menganjurkan sesi perkongsian khas bertajuk “Inside Storytelling: From Idea to the Screen, From Story to Audience” pada 22 Julai di Universiti SEGi. Sesi yang menampilkan pengarah filem Malaysia yang pernah meraih pengiktirafan antarabangsa, Edmund Yeo, bersama Ketua 8TV Wong Yee Lee dan moderator Brandon Chew, membincangkan aspek penceritaan, pembangunan kandungan dan penerbitan filem serta proses kreatif dalam menghasilkan karya untuk penonton.

Diedarkan dan dipasarkan di Malaysia oleh Primeworks Studios, KOKUHO mula menemui penonton di pawagam terpilih seluruh negara pada 23 Julai 2026, menawarkan peluang kepada peminat filem tempatan untuk menyaksikan kisah epik mengenai seni Kabuki, impian dan warisan budaya Jepun di layar perak.