Gelombang kebangkitan filem tempatan terus menunjukkan momentum yang memberangsangkan apabila naskhah seram psikologi Khadam berjaya mencatat kutipan RM2.6 juta hanya dalam tempoh tujuh hari tayangan di pawagam seluruh negara. Pencapaian tersebut sekali gus meletakkan filem arahan Shamyl Othman itu sebagai antara karya tempatan yang mendapat perhatian besar penonton pada tahun ini.
Kejayaan yang diraih bukan sahaja membuktikan kekuatan genre seram dalam industri perfileman negara, malah menjadi petanda bahawa penonton Malaysia semakin menghargai karya tempatan yang menawarkan jalan cerita berkualiti dan pengalaman sinematik yang berbeza. Dengan sokongan yang terus meningkat dari hari ke hari, Khadam dilihat berjaya meneruskan rentak cemerlang filem-filem tempatan yang mendominasi pawagam sejak kebelakangan ini.
Pengarahnya, Shamyl Othman, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima filem tersebut. Menurut beliau, kejayaan melepasi angka RM2.6 juta bukan sekadar pencapaian dari sudut kutipan, sebaliknya menjadi bukti bahawa karya yang dihasilkan berjaya menyentuh hati serta meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur melihat sambutan yang diberikan kepada Khadam. Kutipan melepasi RM2.6 juta ini bukan sekadar angka buat kami, tetapi membuktikan bahawa Khadam telah mendapat tempat di hati ramai penonton Malaysia. Melihat begitu ramai yang hadir ke pawagam, berkongsi pengalaman dan memperkatakan tentang filem ini memberikan makna yang sangat besar buat kami sebagai pembikin filem,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh tenaga produksi, pelakon dan penonton yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan filem tersebut. Menurutnya, Khadam lahir daripada usaha kolektif ramai individu yang mencurahkan tenaga, masa dan komitmen untuk menghasilkan sebuah karya yang bermakna.
Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Khadam ialah pendekatan seram yang segar dan berbeza daripada kebiasaan. Filem ini tidak hanya bergantung kepada elemen kejutan atau jumpscare, sebaliknya menawarkan penceritaan psikologi yang lebih mendalam serta menyentuh aspek emosi dan konflik dalaman watak-wataknya.
Kekuatan naskhah ini turut disokong oleh persembahan mantap barisan pelakon yang terdiri daripada pelakon terkenal Indonesia, Aghniny Haque, bersama Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Jun Lojong serta dua pelakon cilik berbakat, Zarra Zhaf dan Karl El. Keserasian mereka di layar perak berjaya menghidupkan jalan cerita dan memberi impak yang kuat kepada penonton.

Dalam usaha menghargai sokongan luar biasa peminat, pihak produksi turut mengumumkan Siri Jelajah Pantai Timur yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang. Menerusi program khas ini, para peminat berpeluang bertemu secara lebih dekat dengan barisan pelakon dan tenaga produksi filem tersebut.
Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan Jun Lojong dijadualkan hadir bersama pasukan produksi untuk sesi ramah mesra dan tayangan khas di dua lokasi utama iaitu GSC East Coast Mall pada jam 1.00 petang dan GSC Kuantan City Mall pada jam 8.45 malam. Program ini dijangka menjadi medan terbaik untuk peminat berkongsi pengalaman serta menyatakan sokongan mereka terhadap filem yang kini menjadi bualan ramai.
Dengan pencapaian kutipan yang terus meningkat dan sambutan hangat daripada penonton di seluruh negara, Khadam membuktikan bahawa filem seram tempatan masih mempunyai daya tarikan tersendiri. Kejayaan ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada genre seram, malah mengukuhkan lagi keyakinan bahawa industri perfileman Malaysia mampu terus berkembang dengan karya-karya berkualiti yang mendapat sokongan padu daripada masyarakat.
