Kai, Rezza & Zazzleen: Mampukah Mereka Mengatasi Cabaran Minggu Keempat CSOIAM?

Minggu ketiga pertandingan Calpis Soda One In A Million (OIAM) menyajikan cabaran getir apabila peserta diminta mempersembahkan lagu-lagu yang bukan dalam zon selesa mereka. Sarah Ismail, guru vokal utama, menyatakan, “Ramai peserta adalah penyanyi ballad yang cemerlang, tetapi kali ini mereka diuji dengan lagu-lagu rancak dan catchy yang jauh daripada kekuatan asal mereka.”

Cabaran semakin sukar apabila ada peserta yang tidak mengenali lagu yang diberikan. Meskipun persediaan semasa sesi latihan kelihatan mantap, Sarah terus terang menyuarakan kekecewaannya, “Secara jujurnya, saya tidak berpuas hati. Persembahan langsung mendedahkan banyak kelemahan.”

Sebagai mentor vokal yang membimbing mereka sejak sesi uji bakat, Sarah menyeru agar semua pihak tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada para peserta. “Ramai menyangka penyanyi berbakat boleh menyampaikan apa sahaja lagu dengan sempurna, tapi realitinya tidak semudah itu. Mereka juga perlu menguasai tarian dan persembahan keseluruhan. Ini adalah proses pembelajaran, dan saya akan terus mendidik mereka sebaik mungkin,” tegasnya.

Minggu ini turut dikejutkan dengan insiden tegas melibatkan Sarah dan salah seorang peserta, Rezza Shah. Sarah menegur sikap Rezza yang didakwa kurang disiplin. “Masa di peringkat top 20, kami berjuang untuk awak. Tapi sekarang, gaya awak seperti tidak bersungguh-sungguh,” kata Sarah, merujuk kepada kelewatan Rezza menghadiri sesi latihan dan tidak membawa keperluan kelas. Namun, teguran itu membawa perubahan positif apabila Rezza menunjukkan peningkatan yang ketara. “Kadang-kadang, saya perlu bersikap tegas untuk membuka mata mereka. Disiplin adalah kunci untuk menjadi ‘One in a Million’,” tambahnya.

Sarah juga mengakui komen juri profesional memberikan perspektif baharu dalam mendidik peserta. “Ada perkara yang saya tidak perhatikan semasa latihan, tetapi komen daripada juri seperti Datuk Yusry dan Ernie membantu saya memperbaiki pendekatan,” katanya. Beliau turut memuji Mariam dan Marygrace sebagai peserta paling konsisten, dengan Mariam digelar “intellectual singer” oleh Ernie kerana sentiasa membawa elemen kreatif dalam persembahannya.

Namun, cabaran minggu keempat dijangka lebih mencabar dengan tema Sinergi Muzik. “Peserta perlu menyelaraskan dua lagu berbeza menjadi satu persembahan harmoni. Tugasan ini memerlukan pemahaman mendalam tentang struktur muzik,” jelas Sarah. Antara peserta yang diramal menghadapi cabaran besar ialah Kai Deva, Rezza, dan Zazzleen.

Minggu hadapan, 8 peserta yang masih bertahan akan berentap di pentas, termasuk Mariam, Rezza Shah, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, dan Eylia Guntabid. Tema Sinergi Muzik menjanjikan persembahan penuh warna-warni. Undian penonton sebanyak 40% dan markah juri profesional sebanyak 60% akan menentukan nasib mereka.

Saksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3 setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim HD di Tonton. Jangan lepaskan peluang memenangi hadiah utama berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000!

Jangan lupa juga menonton Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal, sorotan eksklusif perjalanan peserta, setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk menyokong peserta kegemaran anda.