‘Hilang Dalam Rindu 2’ Kembali Dengan Kisah Emosi, Jazmy & Tracie Hadapi Cabaran Kehidupan Berkeluarga

Kuala Lumpur, 11 Mac 2026 – Kejayaan luar biasa musim pertama membuka jalan kepada kesinambungan kisah penuh emosi menerusi Hilang Dalam Rindu 2 yang bakal menemui penonton bermula Hari Raya Aidilfitri pertama. Dengan rekod 9 juta tontonan di televisyen serta 1.5 bilion capaian di media sosial, sambungan ini dijangka terus mencuit hati penonton, apatah lagi ia ditayangkan bersempena kempen Ramadan Raya 2026. Bagi memperkenalkan drama ini, satu sesi iftar eksklusif telah dianjurkan di Banglo 289, menghimpunkan peminat dan rakan media dalam suasana mesra yang membolehkan mereka berinteraksi secara dekat dengan barisan pelakon.

Drama ini menampilkan gandingan Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai pasangan utama, disokong oleh Zarif Ghazzi serta pelakon senior Jalaluddin Hassan. Kisah bermula dengan detik cemas apabila Aira selamat melahirkan anak pertama mereka, Eirman, namun pengalaman hampir kehilangan Aira meninggalkan trauma mendalam dalam diri Eijaz. Kehidupan sebagai ibu bapa baharu mula diuji apabila sifat terlalu melindungi Eijaz bertembung dengan keinginan Aira untuk membuktikan kemampuannya mengurus keluarga dengan caranya sendiri.

Perbezaan pandangan antara mereka mencetuskan konflik kecil yang realistik, diselang-seli dengan detik manis dan lucu dalam kehidupan rumah tangga. Ketegangan semakin memuncak apabila kisah silam kembali menghantui, termasuk kemunculan individu yang pernah melukakan mereka. Lebih daripada sekadar kisah cinta, Hilang Dalam Rindu 2 menyelami isu trauma, kepercayaan serta cabaran membina keluarga, sekali gus mengetengahkan realiti keibubapaan dan pengorbanan dalam mempertahankan institusi kekeluargaan.

Dengan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan sebenar serta lakonan mantap barisan pelakon, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang bukan sahaja menghiburkan, malah penuh makna. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hilang Dalam Rindu 2 dari Hari Raya pertama hingga kelima, jam 10.30 pagi di TV3, atau strim lebih awal di Tonton.