
KUALA LUMPUR, 25 Julai 2026 – Penantian peminat sukan tempur terjawab apabila Fury Championship Vol. II berlangsung dengan penuh aksi di Karisma Arena, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. Acara yang menghimpunkan 26 petarung dari tujuh negara itu menampilkan barisan pertarungan profesional, bakat baharu serta aksi perebutan kejuaraan yang mencuri perhatian peminat sukan tempur tempatan dan antarabangsa.
Sebagai rakan penyiaran rasmi, Tonton membawakan pengalaman Fight Day secara langsung menerusi platform penstriman tersebut, dengan lima pertarungan pembukaan boleh disaksikan secara percuma bermula jam 5.00 petang sebelum aksi utama diteruskan menerusi perkhidmatan Pay-Per-View (PPV) pada jam 8.00 malam. Dengan bayaran RM16.90, peminat berpeluang mengikuti keseluruhan 13 pertarungan utama secara langsung, selain menikmati liputan acara sehingga majlis penutup.
Antara aksi yang menjadi tumpuan ialah perebutan Fury Muay Thai Lightweight Championship yang menyaksikan wakil Malaysia, Izat Zaki, berdepan pencabar dari Indonesia, Brian The Spoiled Boy. Pertarungan tersebut menjadi antara kemuncak Fury Championship Vol. II, selain beberapa pertemuan lain yang menampilkan petarung Malaysia menentang lawan dari Indonesia, Thailand, Morocco, Iran dan United Kingdom.
Aksi turut berlangsung menerusi beberapa perlawanan menarik, termasuk pertemuan Danial Kereta Kebal menentang Gusti Supergass dari Indonesia, Sabri Thaivisix berdepan Abdelhamid The Victories dari Morocco, serta Daelonial Kilat Boy menentang Kitidech Hirunsuk dari Thailand. Sementara itu, Amisha bertemu Katayoun Scorpio dari Iran, diikuti pertarungan Asura Thiagesh menentang Yotharit Petchyindee dari Thailand.
Barisan pertarungan turut menampilkan Bimo Baby Legion menentang Hasbullah Yat Rambo, serta Putih Pretty Boy berdepan Ilham Flanker Leoisa, kedua-duanya daripada Indonesia. Lima aksi pembukaan pula menyaksikan Faris HFL bertemu Syafiq, Qaie Mongkolchai menentang Abilio The Bumble Bee, Abozar The Molotok berdepan Paisal Geronimo, Wan Epul bertemu Wasu Kib Boxing dan Reidzwan The Golden Shin menentang Sammy Algiers.
Fury Championship Vol. II meneruskan momentum selepas edisi sulung sebelum ini mencatatkan jutaan tontonan digital. Dengan skala yang lebih besar dan penyertaan petarung dari pelbagai negara, edisi kedua kejohanan ini sekali lagi mengetengahkan perkembangan sukan tempur serta memberikan pentas kepada petarung tempatan untuk menguji kemampuan mereka di peringkat antarabangsa.
Bagi peminat yang terlepas aksi secara langsung, detik-detik menarik daripada Fury Championship Vol. II turut boleh disaksikan semula menerusi Tonton selepas acara berlangsung, membolehkan peminat mengikuti kembali pertarungan dan momen penting sepanjang kejohanan.