Selepas lebih 20 tahun menyepi daripada pentas berskala besar, kumpulan wanita tersohor negara, ELITE, akhirnya bakal kembali menyapa peminat dengan sebuah konsert eksklusif bertajuk ELITE LIVE ’25. Konsert ini dijadual berlangsung pada 20 September 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.
Kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena pada era 90-an ini tampil dengan barisan asal mereka iaitu Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza. Konsert ini merupakan anjuran Icon Entertainment yang sebelum ini telah berjaya menganjurkan beberapa konsert berimpak tinggi termasuk genKRU yang turut menampilkan ELITE sebagai salah satu tarikan utama. Sambutan luar biasa ketika itu menjadi antara pemangkin utama kepada kelahiran konsert solo berskala besar mereka kali ini.
Konsert ini dilihat sebagai perayaan rasmi ulang tahun ke-30 penubuhan ELITE dalam industri seni hiburan tanah air. Ia juga menjadi peluang keemasan untuk peminat menikmati secara langsung lagu-lagu popular mereka seperti Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G yang selama ini hanya dinikmati melalui penstriman digital atau radio.
Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, penganjuran ELITE LIVE ’25 bukanlah sekadar mengikuti trend semasa. Ia adalah hasil perancangan teliti dan penuh pertimbangan terhadap impak dan relevannya kumpulan ini dalam dunia hiburan tanah air.
Beliau menyatakan bahawa konsert ini telah melalui fasa perbincangan yang panjang dan perlaksanaan yang rapi. Icon Entertainment melihat ELITE sebagai sebuah kumpulan yang masih memiliki daya tarikan tersendiri dan layak diraikan dengan konsert berskala besar. Tambahan pula, kebangkitan minat terhadap muzik dan artis era 90-an menjadi bukti bahawa karya dari zaman tersebut kekal relevan dan masih mendapat tempat di hati pendengar.

Bagi kumpulan ELITE sendiri, tawaran menganjurkan konsert besar-besaran ini hadir bersama perasaan bercampur baur. Mereka mengakui sudah lama tidak tampil bersama di atas pentas, apatah lagi dalam skala konsert besar seperti ini. Namun atas dasar rasa tanggungjawab terhadap peminat dan cinta terhadap karya seni, mereka akhirnya bersetuju untuk merealisasikan konsert ini.
Menurut Linda mewakili ahli kumpulan, mereka melihat ELITE LIVE ’25 sebagai peluang untuk kembali berpesta bersama peminat lama dan meraikan kehadiran peminat baharu yang mungkin baru mengenali mereka.
Tiket konsert ini akan mula dijual pada 26 Jun 2025, Khamis bermula jam 2 petang menerusi platform www.ticket2u.com.my/elite. Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu G.I.G pada harga RM1088 (termasuk sesi Meet & Greet dan jamuan), Manisnya Senyumanmu pada harga RM588, serta dua kategori lain iaitu Catwalk dan Tamparan Wanita masing-masing berharga RM268.
ELITE LIVE ’25 bukan sekadar konsert. Ia adalah momen untuk menghidupkan semula memori muzik yang menjadi sebahagian daripada identiti pop tempatan. Buat peminat setia dan generasi baharu yang ingin merasai magis kumpulan wanita paling ikonik tanah air, inilah masanya untuk menyaksikan mereka bersinar kembali di pentas megah.
Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh didapati di laman rasmi www.ticket2u.com.my/elite mulai 26 Jun ini. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. ELITE kembali, bukan untuk mengimbau kenangan semata-mata, tetapi untuk mencipta memori baharu bersama anda.
