Converse Malaysia bakal mencipta sejarah pada 28 Februari dengan pelancaran Creative Exploration, sebuah inisiatif seni inovatif di bawah kempen LOVE, CHUCK. Pelancaran ini akan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri Malaysia, dalam satu majlis yang mempertemukan industri fesyen, seni dan pendidikan di Malaysia.
Bekerjasama dengan Balai Seni Negara serta institusi akademik UiTM dan MIA, Creative Exploration memberi peluang kepada pelajar seni untuk menghasilkan karya unik menggunakan kasut Chuck Taylor sebagai kanvas kreatif. Karya-karya terpilih akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara dari 28 Februari hingga 12 April, sebelum dibawa ke butik Converse terpilih di Lembah Klang.
Matlamat utama aktivasi ini adalah untuk merapatkan jurang antara jenama dan komuniti seni tempatan, membolehkan lebih ramai bakat muda mendapat pengiktirafan di peringkat nasional. Inisiatif ini juga memperkukuh reputasi Balai Seni Negara sebagai pusat pameran seni kontemporari yang strategik dan relevan dengan perkembangan industri kreatif global.

Ketua Pengajian Seni Reka UiTM, Dr. Shaliza Mohd Shariff menyatakan keterujaannya terhadap projek ini. “Creative Exploration bukan sekadar projek seni, tetapi peluang besar bagi pelajar kami untuk mengembangkan bakat mereka dalam industri fesyen dan seni komersil. Kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak pintu kepada generasi muda dalam industri kreatif.”
Selain membangunkan bakat muda, aktivasi ini turut menonjolkan UiTM dan MIA sebagai institusi pengajian tinggi yang progresif dalam melahirkan seniman profesional. Dengan penglibatan mereka dalam projek ini, ia membuktikan keupayaan mereka dalam menghubungkan pelajar dengan peluang industri yang sebenar.
Creative Exploration dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara jenama dan komuniti seni pada masa hadapan. Converse MY komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai entiti seni dalam memastikan platform kreatif ini berkembang dan memberi impak jangka panjang kepada industri seni tempatan.