Category: News

  • Simpan SSPN 2025 Didik Generasi Celik Kewangan Seawal Usia

    Simpan SSPN 2025 Didik Generasi Celik Kewangan Seawal Usia

    Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 kembali dengan penganjuran kali kedua yang lebih besar, meriah dan padat dengan pengisian pendidikan. Acara anjuran Majalah Pa&Ma dengan kerjasama strategik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) ini berlangsung pada 23 dan 24 Ogos 2025 di KSL Esplanade Mall, Bandar Bestari, Klang, dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Festival yang berlangsung selama dua hari ini direka khusus untuk seisi keluarga dengan menggabungkan pendidikan, hiburan dan aktiviti interaktif yang menyampaikan mesej penting tentang kepentingan simpanan sebagai pelaburan masa depan anak-anak.

    Dengan sasaran kehadiran lebih seribu pengunjung, festival ini bukan sekadar medan hiburan, sebaliknya sebuah platform yang memperkukuh kesedaran tentang literasi kewangan. Ia memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk memahami nilai penabungan melalui Simpan SSPN dalam suasana santai dan menyeronokkan.

    Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid, bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, serta Timbalan Editor Pengurusan Grup Family & Parenting Nu Ideaktiv, Shahir Rahim. Perasmian turut menjadi tumpuan dengan penyertaan hampir 400 kanak-kanak dalam perarakan bertema Warisan Kesultanan Melayu, diserikan dengan persembahan silat berprestij oleh bekas pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, yang melambangkan keutuhan warisan bangsa.

    Kemeriahan majlis bertambah dengan kehadiran penyanyi cilik Umairah yang mempersembahkan lagu tema rasmi Simpan SSPN, melambangkan mesej utama bahawa simpanan pendidikan merupakan kunci masa depan yang lebih terjamin buat anak-anak. Persembahan Azzam Syah dan Sheryl Shazwanie dengan lagu-lagu berirama Malaysia turut memanaskan suasana perasmian dan menghiburkan para pengunjung.

    Selain pentas utama, festival ini turut menampilkan pelbagai reruai interaktif bertemakan pendidikan seperti Petting Zoo, Klinik Gigi Kanak-kanak, Henna, Face Painting dan Kaunter PTPTN Negeri Selangor yang memberi penerangan kepada ibu bapa tentang kepentingan simpanan. Setiap reruai bukan sahaja menjadi tarikan hiburan, malah berperanan sebagai medium pembelajaran santai yang meninggalkan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak.

    Kemuncak festival adalah Konsert Meletop yang menampilkan bakat cilik berusia empat hingga dua belas tahun dengan persembahan kreatif dan penuh semangat. Persembahan tersebut dinilai oleh penyanyi popular Nabila Razali yang turut membuat persembahan istimewa pada malam itu.

    Menurut penganjur, Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 bukan hanya sekadar festival hiburan, tetapi juga sebuah usaha membina generasi muda yang celik kewangan dan menanamkan budaya menabung sejak kecil. Shahir Rahim daripada Nu Ideaktiv menegaskan bahawa pendidikan bermula dengan persediaan kewangan yang kukuh, dan Simpan SSPN menjadi jambatan utama untuk ibu bapa menyediakan masa depan anak-anak dengan lebih terjamin.

    Penganjuran Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 membuktikan bahawa hiburan dan pendidikan boleh digabungkan secara kreatif untuk menyampaikan mesej penting kepada masyarakat. Festival ini menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran kewangan, mendidik generasi muda tentang nilai simpanan sejak awal dan menggalakkan ibu bapa merancang pendidikan anak-anak mereka dengan lebih tersusun melalui skim Simpan SSPN.

  • UTV Perkenal 5 Segmen Premium Hiburan & Platform Pitching Kreatif

    UTV Perkenal 5 Segmen Premium Hiburan & Platform Pitching Kreatif

    Industri hiburan tanah air kini menyaksikan perkembangan baharu dengan pelancaran platform penstriman digital eksklusif, UTV, yang hadir dengan tagline “Stream For You”. Diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd, UTV bukan sekadar ruang untuk menonton hiburan, tetapi juga membuka peluang besar kepada bakat kreatif tempatan untuk menonjolkan karya mereka ke pentas lebih luas.

    Presiden UTV merangkap CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan atau Datuk Nana, menjelaskan bahawa UTV lahir daripada inspirasi dan pengalaman panjang syarikat itu yang telah lama bekerjasama dengan industri seni tempatan serta stesen TV antarabangsa. Beliau percaya setiap karya bukan hanya sebagai hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai legasi yang mencerminkan tamadun bangsa. Menurut Datuk Nana, industri seni merupakan nadi masyarakat kerana ia mengangkat budaya, identiti dan kisah hidup masyarakat. Dari perspektif ini, UTV diwujudkan bukan sekadar untuk menyiarkan karya, tetapi juga sebagai platform yang memberi ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan.

    Bagi mereka yang mempunyai skrip atau idea kreatif yang belum dipaparkan, UTV membuka peluang luas untuk menghantar karya. Datuk Nana menekankan bahawa ramai penulis skrip, penerbit, dan kreator mempunyai jalan cerita hebat tetapi kekurangan platform untuk menayangkan karya mereka. UTV hadir untuk mengubah situasi ini dengan menilai, membimbing, dan membawa karya ke skrin platform tersebut.

    UTV beroperasi menggunakan model Pay Per Content, membolehkan penonton memilih kandungan yang diminati tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej. Pendekatan ini memberikan nilai eksklusif kepada setiap karya dan memudahkan pengguna menyesuaikan pilihan mereka mengikut minat. Keunikan UTV juga terletak pada kesediaannya membuka ruang pitching kepada semua pihak, sama ada syarikat produksi besar, penerbit indie, mahupun penulis skrip baharu. Penonton dan kreator boleh menghantar idea atau sinopsis mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau menerusi media sosial rasmi UTV di Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal.

    Dengan pendekatan ini, UTV dijangka menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak karya asli Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Platform ini menampilkan lima segmen utama yang memenuhi pelbagai citarasa penonton. UTV Original menayangkan drama dan telefilem eksklusif seperti Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang, Diari Air Mata, Poskad Cinta Dari Auckland, Anak Mak, Aku Cinta Dia, dan Hantu Cinta Kamu. UTV Music pula menampilkan konsert eksklusif ke skrin penonton, termasuk Showcase Janji dan A Night With Aina Abdul 3.0. UTV Podcast membawa perbincangan segar dan relevan melalui program seperti Hitam Putih, Ruang Usanita, dan bakal datang Next Gen Ummah. Sementara itu, UTV Talkshow menawarkan bual bicara santai namun penuh nilai, antaranya Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly. UTV Smart pula menggabungkan hiburan dan ilmu melalui Bootcamp Usanita serta Online Business Game 101 with Zoey Rahman.

    Dengan penawaran segmen yang pelbagai ini, UTV bukan sahaja menyajikan hiburan berkualiti, tetapi juga menjadi platform strategik untuk mencungkil bakat baharu dan mengetengahkan idea segar dalam industri seni tempatan.

  • HONOR Brings Magic V5 Roadshow to Johor Bahru with RM114,000 Lucky Draw

    HONOR Brings Magic V5 Roadshow to Johor Bahru with RM114,000 Lucky Draw

    Johor Bahru is filled with excitement as HONOR brings the Magic V5 Roadshow to Mid Valley Southkey. Taking place from 25 to 31 August 2025, the event turns the mall into a showcase of innovation where shoppers can enjoy exclusive discounts, hands-on experiences and the chance to win prizes worth over RM114,000 through a special lucky draw.

    During the roadshow, visitors can enjoy savings of up to RM600 on HONOR’s range of smartphones, including the HONOR 400 Series, Magic7 Pro and X9c, along with attractive deals on tablets such as the HONOR Pad 10 and Pad X9a. Beyond great offers, the highlight is the chance to explore HONOR’s latest foldable flagship, the Magic V5, through interactive demonstrations that let shoppers experience the device’s cutting-edge features up close.

    Shoppers who spend RM1,000 or more in a single receipt are automatically eligible to join the lucky draw with prizes totalling RM114,000. Winners will take home rewards that include the HONOR Pad 10, the HONOR CHOICE Robot Cleaner R2 and HONOR luggage, while many other consolation prizes await lucky participants.

    The Magic V5 stands as HONOR’s most advanced foldable to date. Retailing at RM6,999, it offers a slim 4.1mm profile when unfolded, making it lighter and more durable than previous models. The device is powered by the Qualcomm Snapdragon 8 Elite processor and supported by a 5820mAh Silicon-Carbon Battery with 66W wired HONOR SuperCharge. Its camera system combines a 64MP Periscope Telephoto Camera with up to 100x zoom, a 50MP Main Camera and a 50MP Ultra-Wide Camera. Enhanced by AI features such as AI Eraser, AI Outpainting and AI Motion Sensing Capture, the Magic V5 elevates mobile photography to a professional standard.

    Durability is a key focus, with the Magic V5 built to withstand daily challenges through its Non-Newtonian Fluid technology inner screen, Anti-scratch NanoCrystal Shield outer screen and dual IP58/IP59 protection against dust and water. Each purchase also comes with added value through a complimentary gift bundle worth RM2,697, which includes HONOR CHOICE Earbuds Clip, a one-year Worry-Free Crack Protection plan and two years of Worry-Free Quality Assurance. Customers looking to upgrade can trade in their old devices at HONOR Experience Stores to receive an instant RM400 rebate on the Magic V5.

    Following the success of the Johor Bahru stop, the Magic V5 Roadshow will continue its nationwide journey at Sunway Pyramid in Selangor from 15 to 21 September 2025, bringing more Malaysians closer to HONOR’s foldable innovation.

    For more information, visit www.honor.com/my.

  • Kemenangan Selangor Dan Konsistensi KL City Kukuhkan Saingan Liga Super Malaysia

    Kemenangan Selangor Dan Konsistensi KL City Kukuhkan Saingan Liga Super Malaysia

    Selangor FC kembali bangkit selepas dua keputusan mengecewakan apabila meraih kemenangan bergaya menundukkan Terengganu FC 5-2 di Stadium MBPJ. Pasukan bimbingan Katsuhito Kinoshi tampil garang sejak awal permainan dengan empat gol dihasilkan sebelum rehat separuh masa pertama.

    Chrigor Moraes mencuri perhatian dengan hatrik peribadi pada minit ke-17, 36 dan masa tambahan, manakala Alvin Fortes turut menemui jaringan pada minit ke-25. Dengan kelebihan empat gol, Selangor seakan menguasai perlawanan sepenuhnya.

    Namun Terengganu yang enggan mengalah cuba bangkit di babak kedua. Gabriel Silva menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69 dan Junior Ngong Sam menambah gol kedua pada minit ke-82. Bagaimanapun, Red Giants memastikan kemenangan mutlak apabila penyerang muda Muhammad Aliff Izwan Yuslan meledak gol kelima pada penghujung perlawanan.

    Tiga mata penuh itu melonjakkan Selangor ke tangga keempat dengan enam mata, manakala Terengganu kekal di kedudukan ketiga dengan tujuh mata.

    Dalam aksi berbeza, Kuala Lumpur City FC meneruskan prestasi cemerlang apabila menewaskan PDRM 3-1 di Cheras. Safawi Rasid membuka jaringan pada minit ke-25 sebelum dua lagi gol hadir pada separuh masa kedua. Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah KL City sekaligus mengangkat mereka ke puncak liga dengan 10 mata daripada empat perlawanan. Johor Darul Ta’zim berada di tangga kedua dengan sembilan mata tetapi masih mempunyai kelebihan satu perlawanan.

  • Lifetelco Lancar Platform Inovatif Bakat Digital Pertama di Malaysia

    Lifetelco Lancar Platform Inovatif Bakat Digital Pertama di Malaysia

    Dunia hiburan tempatan kini melangkah ke fasa baharu apabila SocialCeleb dilancarkan sebagai platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia. Bermula 9 September 2025, platform ini boleh diakses oleh orang ramai di seluruh dunia, sekali gus membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menonjolkan bakat mereka.

    Majlis peluncuran di PJPAC, 1 Utama berlangsung meriah dengan kehadiran barisan ikon industri hiburan. Antara yang hadir ialah Dato’ Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Dato’ Aaron Aziz selaku Star Mentors. Turut menyerikan acara ialah Star Celebs berpengaruh seperti Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi dan Hubert Lee.

    Platform ini unik kerana menggabungkan dunia digital dengan peluang hiburan sebenar. Dengan bayaran sekali sahaja sebanyak RM110, peserta menerima Kad SIM Lifetelco dengan 110GB data, perlindungan insurans kemalangan diri bernilai RM50,000, akses eksklusif ke OTT drama & filem, selain peluang mengikuti uji bakat projek-projek besar.

    Menurut Pengarah Rangkaian Lifetelco, Saraleana Nattaya Azmi, SocialCeleb memberi peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat untuk melangkah ke dunia hiburan tanpa batasan lokasi atau kewangan.

    “Kami mahu mencipta laluan masa depan yang lebih terbuka untuk bakat tempatan. Dengan bimbingan mentor berpengalaman, bengkel eksklusif dan peluang lakonan sebenar, SocialCeleb bukan sekadar pencarian bakat – ia adalah perjalanan membina kerjaya,” katanya.

    Dato’ Aaron Aziz pula menekankan peranan mentor bukan hanya sebagai juri, tetapi sebagai pembimbing generasi baharu.

    “Kami mahu membuka pintu kepada anak muda. SocialCeleb adalah ruang untuk mereka melangkah dari skrin telefon ke layar perak,” ujarnya.

    Sementara itu, Dato’ Afdlin Shauki menegaskan bahawa SocialCeleb bukan sekadar pertandingan populariti.

    “Yang istimewa ialah struktur bimbingan yang ditawarkan. Peserta bukan saja mendapat peluang uji bakat, tetapi juga ilmu dan pengalaman yang mampu membina kerjaya jangka panjang,” katanya.

    Dengan bengkel industri, persembahan langsung dan peluang projek sebenar, SocialCeleb diyakini bakal menjadi platform paling berpengaruh dalam pencarian bakat hiburan tanah air.

    Pendaftaran dibuka bermula 9 September 2025 menerusi www.social-celeb.com.

  • Penang FC Tumpas Gara-Gara Lakukan Kesilapan Kritikal

    Penang FC Tumpas Gara-Gara Lakukan Kesilapan Kritikal

    Dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri nyata memberi tamparan buat Penang FC, namun ketua jurulatihnya Wan Rohaimi Wan Ismail percaya skuad bimbingannya mampu bangkit apabila berdepan Kelantan TRW FC pada 30 Ogos ini.

    Mengulas mengenai kekalahan 1-2 menentang KL City FC malam tadi, Wan Rohaimi mengakui kelekaan pemain menjadi punca utama pasukan dihukum. Gol kedua lawan hadir berpunca daripada kesilapan mudah apabila pemain berhenti bermain seketika selepas beranggapan pengadil akan meniup wisel.

    “Kecuaian sebegini tidak sepatutnya berlaku di tahap ini. Jika pemain lebih fokus, rembatan jarak jauh yang menghasilkan gol itu pasti dapat dielakkan,” katanya.

    Walau bagaimanapun, beliau tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya, selain memuji pertahanan muda, Mohammad Khairul Akmal Rukisham, yang tampil beraksi dengan cemerlang sebelum mengalami kecederaan.

    Di kem lawan, jurulatih KL City, Risto Vidakovic, menganggap kemenangan tersebut sebagai titik kebangkitan selepas pasukannya tersingkir daripada Piala FA minggu lalu. Dengan dua perlawanan penting bakal menyusul, beliau mahu momentum positif ini diteruskan.

    Bagi Penang FC, cabaran terbesar kini adalah mengekalkan fokus sehingga ke wisel penamat dan menamatkan badi tanpa kemenangan yang terus menghantui mereka sejak awal musim.

  • Skuad Boling Padang Negara Fokus Raih Kejuaraan Dunia 2025

    Skuad Boling Padang Negara Fokus Raih Kejuaraan Dunia 2025

    Skuad boling padang negara kini mengorak langkah besar ke arah kejayaan apabila menjadikan latihan intensif di Scotland sebagai persiapan utama menjelang Piala Dunia Boling Padang 2025. Kejohanan tersebut akan berlangsung dari 4 hingga 8 November di Arena Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan disifatkan sebagai peluang terbaik buat Malaysia meraih kejuaraan.

    Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, percaya latihan bersama pasukan terbaik dunia di Scotland akan memperkukuhkan keupayaan atlet negara untuk berdepan cabaran antarabangsa. Malah, Piala Dunia ini juga dilihat sebagai platform persediaan menuju Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.

    Selain daripada persiapan pasukan, Malaysia sebagai tuan rumah turut memberi tumpuan kepada aspek penganjuran. Adam Adli menegaskan bahawa kementerian akan memberikan sokongan penuh kepada Bowls Malaysia untuk memastikan kejohanan berjalan lancar, sekali gus membuktikan kemampuan negara menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.

    Kejohanan Boling Padang Kebangsaan 2025 yang sedang berlangsung turut menjadi elemen penting dalam persiapan ini. Lebih 200 peserta bertanding dan prestasi mereka akan direkodkan melalui Sistem Ranking Kebangsaan, yang bakal menentukan peluang menyarung jersi negara di kejohanan utama.

    Dengan persediaan yang rapi, semangat kesukanan yang tinggi serta sokongan penuh daripada pihak kementerian, Malaysia kini optimis untuk menukar peluang di Bukit Kiara kepada sejarah gemilang dalam dunia boling padang.

  • Maxim Laksanakan Program Khusus Pemandu Khas untuk Tingkatkan Keselamatan Jalan Raya

    Maxim Laksanakan Program Khusus Pemandu Khas untuk Tingkatkan Keselamatan Jalan Raya

    Maxim, salah satu platform e-hailing terkemuka di Malaysia, telah melancarkan secara rasmi program pengesahan pemandu yang komprehensif bagi memastikan semua pemandu yang beroperasi di bawah platformnya memiliki lesen sah, mematuhi peraturan, dan beroperasi secara sah. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen Maxim yang lebih luas terhadap keselamatan jalan raya, penjajaran regulator, dan peningkatan kualiti perkhidmatan.

    Sebagai langkah proaktif, Maxim telah mempertingkatkan proses pendaftaran dan pengesahan pemandu bagi menyediakan pengalaman pendaftaran yang lebih selamat, telus, dan menyokong kepada pemandu baru. Menurut Mohd Hazwan, Pengarah Maxim E-hailing Malaysia, program ini bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, tetapi bertujuan membina komuniti e-hailing yang lebih kukuh dan bertanggungjawab. “Kami mahu setiap pemandu di platform kami berasa yakin, berpengetahuan, dan mematuhi sepenuhnya,” katanya.

    Program pengesahan pemandu ini menekankan proses pendaftaran yang dipermudahkan di mana pasukan khas Maxim mengawasi keseluruhan proses bagi memastikan semua dokumen yang diperlukan dikemukakan dan disahkan dengan betul. Pemandu baru dikehendaki mengemukakan dokumen penting seperti lesen PSV yang sah, sijil insurans, laporan pemeriksaan PUSPAKOM, MyKad, serta gambar kenderaan dan potret diri. Setiap dokumen disemak secara manual oleh pasukan pematuhan dalaman yang terlatih untuk memastikan ketulenannya, dan hanya pemandu yang layak sahaja diaktifkan di platform.

    Selain itu, Maxim menyediakan sumber pendidikan dan sokongan untuk membantu pemandu mendapatkan lesen dan permit yang diperlukan. Panduan pendaftaran digital langkah demi langkah, video pendidikan tentang cara mendapatkan lesen PSV dan permit EVP, serta pemberitahuan masa nyata semasa pendaftaran disediakan untuk memastikan proses lebih jelas dan mudah diikuti. Bagi memudahkan lagi, Maxim telah menjalin kerjasama dengan lebih 25 sekolah memandu di seluruh Malaysia bagi membantu pemandu memperoleh lesen yang diperlukan, dengan pemandu juga layak menerima bayaran balik perbelanjaan lesen dalam bentuk bonus platform.

    Rakan-pemandu dari Sungai Petani, Ahmad Azmee, berkongsi pengalamannya menggunakan sistem baharu ini. Beliau menyifatkan proses pendaftaran yang diperbaharui lebih jelas, pantas, dan mudah difahami terutamanya dengan panduan langkah demi langkah berkaitan lesen PSV dan EVP. Makluman masa nyata membantu beliau menyelesaikan sebarang isu dengan cepat, sementara ganjaran bayaran balik untuk lesen menambah motivasi untuk kekal mematuhi undang-undang dan selamat di jalan raya.

    Untuk memperkukuh kesedaran pemandu, Maxim turut menjalankan kempen pendidikan yang meluas melalui pemberitahuan dalam aplikasi, SMS, sokongan telefon, serta acara secara langsung. Kempen ini bertujuan mendidik pemandu mengenai pematuhan undang-undang dan piawaian profesional, memastikan setiap pemandu beroperasi secara selamat dan bertanggungjawab.

    Sejak dilancarkan di Malaysia pada tahun 2019 dengan tempahan pertama di Kuantan, Maxim kini beroperasi di semua negeri. Platform ini telah membangunkan teknologi berinovatif yang membolehkan tempahan dibuat dengan mudah dan selamat, serta memproses berjuta-juta tempahan setiap hari tanpa had. Aplikasi Maxim untuk pengguna dan Taxsee Driver untuk rakan pemandu telah menjadi antara aplikasi e-hailing teratas di Malaysia, tersedia di Google Play Store, App Store, Huawei AppGallery, GetApps, Oppo App Market, Vivo App Store, dan Galaxy Store. Misi Maxim adalah untuk sentiasa meningkatkan pengalaman pengguna dan membantu masyarakat bergerak dengan lebih efisien ke arah matlamat mereka.

    Perkhidmatan akhbar Maxim boleh dihubungi di pr_malaysia@taximaxim.com dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi taximaxim.com.

  • Tag Baharu PropertyGuru: “Everyone Welcome” Jadikan Penyewaan Lebih Mesra dan Inklusif

    Tag Baharu PropertyGuru: “Everyone Welcome” Jadikan Penyewaan Lebih Mesra dan Inklusif

    Bersempena dengan sambutan Merdeka dan Hari Malaysia, PropertyGuru Malaysia melancarkan ciri baharu berbentuk tag inklusif yang diberi nama Everyone Welcome. Inisiatif ini diwujudkan bagi mempromosikan pasaran penyewaan yang lebih adil, mesra dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau latar belakang.

    Tag ini bersifat sukarela dan membolehkan tuan rumah serta ejen hartanah menandakan penyenaraian mereka sebagai inklusif. Melalui penapis khas yang tersedia di platform, para penyewa kini boleh mengenal pasti senarai hartanah yang benar-benar mesra dan terbuka kepada semua dengan lebih mudah. Ciri ini turut disokong oleh garis panduan penyenaraian serta mekanisme pelaporan yang memastikan platform PropertyGuru bebas daripada senarai yang bersifat diskriminasi, pendua mahupun palsu.

    Pengurus Negara PropertyGuru dan iProperty Malaysia, Kenneth Soh, menegaskan bahawa mencari rumah seharusnya menjadi pengalaman yang selamat, telus dan adil. Beliau menambah bahawa pelancaran Everyone Welcome adalah cerminan komitmen syarikat untuk memimpin melalui teladan, membina kepercayaan serta memperkasakan rakyat Malaysia dalam usaha mencari tempat tinggal yang benar-benar mengalu-alukan mereka.

    Kewujudan ciri baharu ini dilihat signifikan berikutan dapatan kajian oleh Architects of Diversity Malaysia (AOD) dan Swayable, yang mendedahkan sebanyak 60 peratus penyewa pernah mengalami diskriminasi kaum ketika mencari rumah sewa. Kajian Omnibus AOD juga menunjukkan hampir separuh daripada responden percaya bahawa tuan rumah wajar dibenarkan menapis penyewa berdasarkan kaum, manakala 31.6 peratus pula menyokong pendekatan penyewaan yang lebih adil dan inklusif.

    Sejak mula diperkenalkan pada April 2025, tag Everyone Welcome telah menunjukkan penerimaan yang positif daripada pasaran. Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak sepuluh peratus daripada senarai penyewaan aktif di PropertyGuru Malaysia telah pun menggunakan tag tersebut. Dalam masa yang sama, hampir tiga peratus penyewa memanfaatkan penapis ini semasa membuat pencarian hartanah.

    Bagi memperkukuh mesej inklusiviti ini, PropertyGuru turut mempersembahkan sebuah filem jenama berjudul Jauh Galaksi, Dekat Di Hati yang ditayangkan bermula 15 Ogos 2025. Filem ini mengambil latar di angkasa lepas dan mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia bersama seekor makhluk asing penuh rasa ingin tahu yang mencari makna sebenar tentang “rumah”. Naratifnya dipenuhi dengan elemen budaya Malaysia, daripada aroma nasi lemak hinggalah ke bahasa Manglish yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat.

    Salah satu detik yang menyentuh hati dalam filem tersebut adalah ketika watak makhluk asing bertanya sama ada dirinya juga dialu-alukan. Jawapan yang diberikan dengan penuh senyuman sambil menunjukkan penapis Everyone Welcome di PropertyGuru menjadi simbol mesej yang ingin disampaikan: rumah ialah tempat di mana semua orang diterima tanpa syarat.

    Pengarah Pemasaran Negara Malaysia dan Thailand, PropertyGuru dan iProperty, Kar Wai Low, berkata filem ini adalah cerminan semangat sebenar Malaysia yang penuh kehangatan, humor dan kasih sayang. Menurut beliau, mesej yang ingin dibawa adalah jelas rumah bukan hanya sekadar ruang untuk berteduh tetapi juga lambang rasa diterima, dihargai dan dirangkul sebagai sebahagian daripada komuniti.

    Dengan gabungan ciri teknologi seperti Everyone Welcome dan naratif penceritaan melalui filem jenama, PropertyGuru terus meneguhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran hartanah di Malaysia. Usaha ini seiring dengan aspirasi untuk memastikan pengalaman mencari rumah bukan sahaja mudah dan bermakna, tetapi juga benar-benar mencerminkan semangat inklusiviti dan perpaduan negara.

  • Watsons Malaysia Sambut Kehadiran Fan Beauty Diary Bersama Fan Bingbing

    Watsons Malaysia Sambut Kehadiran Fan Beauty Diary Bersama Fan Bingbing

    Dunia kecantikan tempatan digemparkan dengan kehadiran jenama terkemuka dari China, Fan Beauty Diary, yang kini secara rasmi menembusi pasaran Malaysia melalui rangkaian Watsons. Pelancaran ini menandakan detik penting dalam usaha pengembangan global jenama tersebut dan diraikan dengan penuh glamor di ibu negara. Majlis tersebut bertambah istimewa dengan kehadiran pengasasnya, pelakon tersohor Fan Bingbing, yang digelar “Ratu Masker”, bersama selebriti tempatan Dato’ Aaron Aziz dan Nazim Othman, sekali gus mencetuskan suasana penuh keterujaan dalam kalangan peminat serta pencinta kecantikan.

    Lebih bermakna, kunjungan Fan ke Malaysia turut membawa khabar gembira apabila beliau bakal menerima gelaran berprestij Datuk daripada Kerajaan Negeri Melaka. Penghormatan ini menjadikan Fan sebagai pelakon wanita pertama dari Tanah Besar China yang diberi pengiktirafan tersebut, berikutan sumbangan besar beliau dalam sektor pelancongan. Sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024, kempen yang diketuainya berjaya meningkatkan kedatangan pelancong dari China ke negeri itu sehingga 224 peratus, di samping mencatat lebih 1.5 bilion capaian digital di platform WeChat.

    Antara produk unggulan Fan Beauty Diary yang kini boleh didapati di cawangan utama Watsons termasuklah Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask, Acids Double Cleansing Clay Mask dan Dragon’s Blood Lentinus Fermentation Facial Treatment Mask. Menariknya, produk baharu ini mencatat sejarah apabila pelancarannya direkodkan sebagai jualan tertinggi dalam sehari bagi jenama kecantikan antarabangsa di Watsons Malaysia, dengan Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask habis terjual hanya dalam beberapa jam.

    Semasa sesi lawatannya ke Watsons TRX, Fan tampil menawan dengan peranan berganda sebagai pengasas serta Ketua Pegawai Pengalaman Fan Beauty Diary. Ratusan peminat sanggup menunggu berjam-jam untuk melihat selebriti kesayangan mereka itu, malah ramai yang terpesona apabila beliau berkongsi rahsia penjagaan kulit kegemarannya yang dirumus khusus untuk iklim tropika Asia Tenggara. Fan menekankan rutin “Cleanse-Hydrate-Repair” sebagai kunci kepada kulit sihat dan berseri, sambil mendedahkan kombinasi Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask bersama Acids Double Cleansing Clay Mask sebagai rahsia peribadinya. Pengakuan itu serta-merta mencetuskan fenomena membeli-belah, dengan ramai peminat menganggap sesi tersebut sebagai peluang emas untuk mempelajari tip kecantikan secara langsung daripada ikon global itu.

    Majlis perasmian Fan Beauty Diary turut mendapat sokongan besar daripada tokoh penting termasuk Pengerusi Tourism Malaysia YBhg. Datuk (Dr.) Yasmin Binti Mahmood, Datuk Bandar Kuala Lumpur Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif, serta Caryn Loh, Pengarah Urusan Watsons Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi Health & Beauty Asia, A.S. Watson Group. Kehadiran selebriti tempatan seperti Dato’ Aaron Aziz dan Nazim Othman bersama-sama Encik Selwyn Chiu, Penolong Pengurus The Exchange TRX, melengkapkan acara berprestij itu.

    Bersempena pelancaran, beberapa cawangan Watsons bertukar wajah menjadi ruang seni penuh pesona. Pink Palace di Sunway Pyramid menampilkan patung bersaiz sebenar Fan Bingbing dengan Peony Youth Capture Brightening Mask, manakala pop-up futuristik bertema biru di TRX menonjolkan Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask dalam paparan gantung eksklusif. Transformasi kreatif ini menambahkan lagi aura unik terhadap pengalaman membeli-belah kecantikan yang ditawarkan.

    Sejak ditubuhkan pada tahun 2018, Fan Beauty Diary telah mencatat kejayaan luar biasa sebagai jenama kosmetik dan penjagaan kulit yang mengutamakan kualiti serta inovasi. Jenama ini menawarkan enam rangkaian utama dengan lebih 20 variasi baharu yang sedang dibangunkan. Antara produk ikonik yang terus meraih pujian global termasuklah Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask, Peony Youth Capture Brightening Mask dan Peptides Anti-aging Face & Neck Mask. Siri Sea Grape khususnya telah mendominasi platform e-dagang di China selama tiga tahun berturut-turut, membuktikan kekuatan dan keberkesanan formulasi jenama ini.

    Bagi Fan Bingbing sendiri, kejayaan Fan Beauty Diary bukan sekadar sebuah perniagaan, sebaliknya satu misi untuk memperkenalkan rahsia kecantikan Asia kepada dunia. Beliau menekankan bahawa pasukan penyelidikan dan pembangunan jenamanya bekerjasama rapat dengan pakar serta pengilang bertaraf antarabangsa bagi memastikan setiap produk diuji dengan teliti sebelum dipasarkan. Matlamat utama mereka adalah untuk menghasilkan produk penjagaan kulit yang selamat, berkesan dan sesuai dengan keperluan kulit masyarakat Asia, tanpa kompromi terhadap kualiti.

    Dalam ucapan penuh inspirasi, Fan menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh mesra dan hangat, malah beliau merasakan seolah-olah bertemu kembali dengan seorang sahabat lama. Beliau berharap agar Fan Beauty Diary terus bersinar di pasaran tempatan, membawa sinar kecantikan yang secerah mentari tropika.