Category: Music

  • Buah Tangan Terbaharu Shiha Zikir Berjudul ‘Pelangi Kelabu’

    Buah Tangan Terbaharu Shiha Zikir Berjudul ‘Pelangi Kelabu’

    Bersama Alternate Records, penyanyi berbakat Shiha Zikir kembali dengan single terbarunya, “Pelangi Kelabu”, sebuah lagu pop balada yang penuh dengan emosi dan menyentuh hati. Lagu ini bukan sahaja memikat dengan melodi yang mempesona, tetapi juga mengungkapkan lirik yang dalam dan penuh makna, membuka ruang bagi pendengar untuk merasai setiap lapisan perasaan yang terkandung dalam lagu ini. Lebih menarik, “Pelangi Kelabu” turut menjadi runut bunyi bagi drama Marina, yang disiarkan eksklusif di aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis.

    “Pelangi Kelabu” menggambarkan kisah perjalanan hati seorang protagonis yang dilanda kesakitan akibat perpisahan. Lagu ini merungkai perasaan patah hati yang menghimpit jiwa dan menggambarkan pergelutan antara kesedihan dan usaha untuk menerima kenyataan. Dalam lagu ini, hujan dan air digunakan sebagai simbol bagi kedalaman kesedihan yang memenuhi jiwa, serta kerinduan yang membuakkan perasaan.

    Pada bahagian korus, liriknya mengisahkan protagonis yang mencari perlindungan di bawah langit mendung, berusaha menyembunyikan tangisan yang tak terucap, sambil merindui cinta yang sudah tiada. “Pelangi Kelabu” melambangkan harapan yang semakin pudar akibat kekecewaan, namun juga memberi pengajaran bahawa seperti hujan yang akan reda dan pelangi yang akan muncul semula, kesedihan ini akan berlalu dan kebahagiaan akan kembali.

    Shiha Zikir, yang terkenal dengan vokal yang penuh emosi, meluahkan rasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada projek ini. Beliau berkongsi, “Kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya sangat teruja kerana lagu ini sangat sesuai dengan tema drama yang sedang trending. Proses rakaman sangat lancar dan hanya mengambil masa 3 jam. John Jeeves banyak membantu mempermudah proses ini.”

    Bercerita tentang cabaran yang dihadapi semasa merakam lagu ini, Shiha berkata, “Cabaran terbesar saya adalah untuk mendapatkan mood yang tepat dan menghayati lagu ini sepenuhnya. Saya perlu meletakkan diri saya dalam lagu ini, membayangkan kesakitan yang saya rasa agar penyampaian saya lebih jujur. Saya berharap lagu ini memberi kesan yang mendalam kepada pendengar dan mereka dapat merasai perasaan yang saya cuba sampaikan.”

    Lagu ini adalah hasil karya bersama antara John Jeeves, Iqie Hugh, dan Omar K. Idea untuk lagu ini tercetus daripada gambaran tentang kesedihan yang mampu mengaburkan kebahagiaan, seperti pelangi yang sepatutnya berwarna-warni tetapi akhirnya menjadi kelabu. John Jeeves memuji kemampuan Shiha dalam menyampaikan pelbagai ekspresi melalui nyanyian, dan menyatakan bahawa kerjasama mereka sangat memuaskan. Beliau juga menambah, “Shiha datang ke studio dengan persediaan yang penuh dan idea-idea yang sangat bernas.”

    Menurut John Jeeves, lagu ini harus didengarkan kerana gabungan lirik yang penuh perasaan dan melodi yang menarik, ditambah dengan penyampaian Shiha yang sangat asli dan memukau. “Kami berharap lagu ini memberi impak yang mendalam kepada pendengar serta memperkenalkan sisi baharu Shiha Zikir dalam dunia seni,” kata John Jeeves. “Kami amat teruja untuk berkongsi karya ini dan berharap lagu ini akan diterima baik oleh industri muzik serta mencapai kejayaan komersial.”

    Single terbaru Shiha Zikir, “Pelangi Kelabu”, kini boleh didengari di iTunes, Spotify, YouTube Music, dan pelbagai platform penstriman dalam talian yang lain. Dengan lirik yang menyentuh hati dan melodi yang memukau, lagu ini pastinya akan menjadi teman bagi sesiapa yang pernah merasai kekecewaan dalam hidup.

    Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, jangan lupa untuk mengikuti akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

  • Liza Aziz Terus Dominasi Gegar Vaganza 11, Menang Dua Minggu Berturut-Turut

    Liza Aziz Terus Dominasi Gegar Vaganza 11, Menang Dua Minggu Berturut-Turut

    Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11), Liza Aziz, terus mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan musim ini apabila berjaya mengekalkan kedudukan pertama pada minggu kedua. Persembahan memukau yang disampaikan dengan penuh jiwa telah membuatkan Liza sekali lagi dinobatkan sebagai juara, mencatatkan markah sebanyak 74.80% menerusi lagu “Siapa Wajah Dihatimu” yang dipopularkan oleh kakaknya, Azlina Aziz.

    Liza yang terkenal dengan bakat nyanyian luar biasa dan keteguhan dalam setiap persembahan tidak pernah berhenti untuk memberikan yang terbaik. “Saya hanya menyanyi dengan sepenuh jiwa raga. Saya anggap persembahan itu ketika saya buat show sahaja. Dan saya sangat puas hati sebab orang suka dengan persembahan saya dan Alhamdulillah saya menang sekali lagi,” ujar Liza dengan penuh rendah diri.

    Kemenangan ini bukan sahaja mengesahkan kedudukan Liza sebagai bintang yang sangat disukai, tetapi juga menunjukkan bagaimana kesungguhan dalam memberi persembahan yang terbaik mampu memberi impak besar kepada penonton dan juri.

    Menginjak ke minggu ketiga, GV11 memasuki tema “Ceritera”, di mana para peserta diberi cabaran untuk menyanyikan lagu yang dekat dengan perjalanan hidup mereka. Tema ini memberi ruang kepada para peserta untuk lebih menyentuh hati penonton dengan mengungkapkan kisah hidup mereka melalui lagu.

    Liza, bersama bintang-bintang lain yang masih kekal bertahan, akan melalui ujian ini dengan penuh semangat. Peserta yang berjaya memasuki tangga lima teratas diberi pilihan untuk menyanyikan lagu yang disarankan atau memilih lagu lain. Cabaran baru ini pastinya akan meningkatkan tahap persaingan dan memberi peluang kepada para peserta untuk mempersembahkan karya yang lebih mendalam dan beremosi.

    Pada minggu kedua, tiada penyingkiran berlaku, memberi peluang kepada semua peserta untuk terus bersaing dalam rancangan ini. Arrora Salwa, yang mendapat perhatian ramai sejak kemunculannya di GV11, juga terselamat daripada penyingkiran, menjadikan pertandingan semakin sengit. Para peminat pastinya teruja untuk melihat bagaimana peserta-peserta ini akan mengharungi cabaran seterusnya dalam usaha mereka untuk merebut gelaran juara.

    Rancangan Gegar Vaganza 11 terus memukau penonton dengan menampilkan juri-juri hebat seperti Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang, dan Datuk Ramli MS. Kehadiran mereka memberi penilaian yang objektif dan profesional terhadap setiap persembahan peserta. Ditambah lagi dengan pengacara berbakat, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, acara ini bukan sahaja menghiburkan, malah penuh dengan kejutan dan momen-momen luar biasa.

    Berikut adalah markah para peserta di kedudukan 10 teratas bagi minggu kedua:

    No.  Penyanyi Markah
    1 Liza Aziz 74.80%
    2 Dyrga Dadali 69.10%
    3 Sheila Abdul 66.30%
    4 The Lima 64.90%
    5 Ning Baizura 64.90%
    6 Zehra Zambri 62.20%
    7 Fairuz Selamat 60.80%
    8 Illa Sabry 56.40%
    9 Inka Christie 54.30%
    10 Yazid Lovehunters 53.70%

    GV11 masih disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan juga boleh distrim melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka. Ini memberi pilihan fleksibel kepada penonton untuk mengikuti perjalanan program ini mengikut keselesaan mereka, tanpa terlepas sebarang detik penting.

    Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman menonton yang lebih baik, Astro juga menawarkan tawaran masa terhad untuk langganan Astro Baharu, dengan harga serendah RM41.99/sebulan serta pemasangan percuma. Peluang ini pastinya sangat menguntungkan bagi peminat setia GV11 yang ingin terus mengikuti perkembangan bintang-bintang kegemaran mereka.

    Gegar Vaganza 11 terus menjadi pentas yang penuh dengan kejutan dan bakat luar biasa. Apakah yang akan terjadi pada minggu seterusnya? Hanya masa yang akan menentukan, namun yang pasti, GV11 tetap menjadi rancangan yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik tanah air.

  • Stacy Anam Terus ‘Menyala’ dengan Sentuhan Rock dan Reggaeton

    Stacy Anam Terus ‘Menyala’ dengan Sentuhan Rock dan Reggaeton

    Sejak melangkah ke pentas muzik Malaysia, Stacy Anam, bintang kelahiran Sabah, telah berjaya memikat hati pencinta muzik tanah air. Kehebatan Stacy bukan sahaja terletak pada vokalnya yang mantap tetapi juga keupayaannya menari dengan lincah, menjadikan persembahannya sentiasa memukau.

    Dikenali dengan lagu-lagu rancak bertempo laju, Stacy telah mencipta nama sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam pada tahun 2008. Kini, Stacy tidak hanya aktif dalam bidang nyanyian, tetapi juga telah mengukir kejayaan sebagai penulis dan pencipta lagu bersama suaminya, Akim Ahmad.

    Menurut Stacy, proses penciptaan lagu “Menyala” bermula daripada sebuah siulan melodi yang mempunyai dua emosi berbeza. “Melodi pada awalnya lembut sebelum beralih kepada unsur rock yang lebih bertenaga. Liriknya pula dihasilkan daripada feel melodi tersebut dan dirangkum dalam satu cerita,” jelas Stacy.

    Karya ini adalah hasil gabungan kreatif Bunga Cantik dan Hang Nadim, yang tidak mengambil masa lama untuk menyempurnakannya. Menurut Stacy, kedua-dua penulis lirik ini memahami tujuan dan mesej lagu, menjadikannya mudah untuk menghasilkan lirik yang berinspirasikan keazaman dan imaginasi persembahan secara langsung.

    “Liriknya menggambarkan keseimbangan dalam hidup, sama ada melalui susunan muzik santai atau keras, semuanya membawa ketenangan,” tambah Stacy.

    Melodi dan lirik “Menyala” dihidupkan melalui gabungan elemen reggaeton, rock, dan sentuhan dramatik berinspirasikan pengaruh Nusantara. Liriknya pula mengingatkan pendengar agar sentiasa berpada-pada dalam apa jua tindakan.

    “Sebagai penyanyi, saya sentiasa mencari keseimbangan ketika membuat persembahan. Fokus dan ketenangan adalah kunci, sama ada di atas pentas atau dalam kehidupan seharian,” kata Stacy.

    Stacy berharap “Menyala” mendapat sambutan positif daripada peminat dan pendengar. “Lagu ini berbeza daripada lagu-lagu saya yang sebelum ini, tetapi masih mengekalkan identiti muzik saya. Semoga ia dapat mewarnai industri muzik tempatan,” ujar Stacy.

    Kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records, dan Rhythm & Rhyme Entertainment ini sudah boleh dinikmati di semua platform digital sejak 8 November 2024, manakala muzik video rasmi “Menyala” dilancarkan pada 5 Disember 2024 jam 8.00 malam.

    INFORMASI

    Tajuk Lagu: Menyala

    Komposer: Bunga Cantik

    Producer: Bunga Cantik

    Penulis Lirik: Bunga Cantik & Hang Nadim

    Penerbit: Rhythm and Rhyme Entertainment

  • MissAlvy Lancar Single Sulung Berjudul ‘Terpikat’

    MissAlvy Lancar Single Sulung Berjudul ‘Terpikat’

    Pempengaruh media sosial yang kini beralih ke dunia seni muzik, Alvynna Joanna Joseph, lebih dikenali sebagai MissAlvy, baru-baru ini memperkenalkan single sulungnya berjudul “Terpikat”. Lagu ini dihasilkan dengan kerjasama komposer muda berbakat seperti Nuha Nik, Fahimi Rahmat, dan Brendonse7an, serta diterbitkan oleh label hiburan ternama, Rocketfuel Entertainment.

    MissAlvy, yang juga dikenali melalui lakonan watak Siew May dalam drama popular “Kelas Tahanan Cikgu Hiragi” yang disiarkan di Astro, meluahkan rasa syukur dan kegembiraan kerana dapat mengejar impian untuk menjadi penyanyi. “Saya tidak pernah menyangka akan bergelar penyanyi, namun saya bersyukur peluang ini hadir, dan saya ingin memberi yang terbaik dalam bidang muzik,” katanya.

    Walaupun bermula sebagai seorang pempengaruh media sosial, perjalanan seni MissAlvy bermula secara tidak sengaja. “Saya hanya berkongsi gambar dan video untuk tujuan suka-suka, namun tanpa disangka, pengikut saya semakin ramai dan peluang berlakon pula datang,” tambahnya. Kini, dengan sokongan penuh Rocketfuel Entertainment, MissAlvy melangkah lebih jauh dengan menghasilkan muzik yang sangat dekat dengan hatinya.

    Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Cik Sher Leen Wee, MissAlvy merupakan bakat baharu yang sangat berpotensi. “Selain berjaya dalam lakonan, MissAlvy juga memiliki suara yang hebat, dan lagu ‘Terpikat’ adalah bukti jelas kemampuan beliau untuk bersaing dalam industri muzik,” jelas Cik Sher Leen.

    Single “Terpikat” menceritakan kisah perasaan “crush” atau suka kepada seseorang secara diam-diam, namun sukar untuk diluahkan. Lagu ini turut menggabungkan elemen pop dan EDM, memberikan nafas baru dalam muzik pop Malaysia. MissAlvy menyatakan bahawa lagu ini sangat berkait rapat dengan pengalamannya sendiri, serta memberi mesej yang boleh dirasai oleh ramai orang.

    Proses penghasilan lagu ini memakan masa hampir setahun. “Walaupun ini bukan kali pertama saya berada di studio rakaman, setiap pengalaman itu tetap memberi kegembiraan. Semua tenaga produksi sangat membantu dalam memastikan lagu ini berjaya dilahirkan,” ujar MissAlvy.

    Dengan semangat yang tinggi untuk terus berkembang dalam dunia muzik, MissAlvy berharap lagu “Terpikat” dapat diterima baik oleh pendengar. Lagu ini kini boleh dimuat turun di iTunes dan didengari melalui platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBox, serta YouTube Music. Video muzik untuk lagu ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

    MissAlvy kini sedang mempersiapkan diri untuk mengembangkan lagi bakat muziknya, sambil terus mempelajari lebih banyak genre dan teknik. “Saya berharap lagu ini dapat menghubungkan saya dengan peminat-peminat saya dan memberi inspirasi kepada mereka yang mendengarnya,” tambah MissAlvy.

    Kini, dunia muzik Malaysia mendapat satu lagi bintang yang berpotensi untuk mencipta fenomena, dan MissAlvy semakin pasti akan memikat hati ramai dengan bakat dan daya tarikannya.

  • 6ixth Sense Kembali dengan Konsert Solo ‘6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years’

    6ixth Sense Kembali dengan Konsert Solo ‘6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years’

    Selepas dua dekad menguasai industri muzik dengan gaya unik dan persembahan yang inovatif, kumpulan legendaris Malaysia, 6ixth Sense, akan mengadakan konsert solo terbesar mereka, “6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years”. Konsert istimewa ini, yang dianjurkan oleh Showtag Asia dan disokong oleh JURAGAN, menjanjikan pengalaman yang luar biasa untuk peminat setia, menggabungkan kenangan manis dan karya baru yang mencerminkan perjalanan muzik mereka sepanjang 20 tahun.

    Konsert ini akan diadakan pada 9 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, di mana penonton bukan sahaja akan menikmati muzik, tetapi juga merasai keakraban antara band dan peminat mereka. Selama dua jam, para peminat akan dibawa mengembara bersama kumpulan ini, mengenang kembali lagu-lagu hits sambil menikmati karya terbaru yang penuh dengan emosi dan kenangan. Ia lebih daripada sekadar pertunjukan muzik—ia adalah satu perayaan yang menunjukkan bagaimana muzik menghubungkan setiap individu, tanpa mengira latar belakang.

    Konsep “Horizontal” yang diterapkan oleh Racus Design memberikan penggambaran visual yang mendalam mengenai perjalanan dinamik 6ixth Sense. Konsep ini menggambarkan perjalanan berterusan kumpulan ini, di mana setiap detik, sama ada suka atau duka, adalah sebahagian daripada kisah mereka.

    Setiap lagu dalam koleksi 6ixth Sense melambangkan satu bab dalam cerita kehidupan mereka—dari awal perjalanan dengan semangat muda hingga karya-karya terbaru yang menunjukkan kematangan seni mereka. Seiring dengan berjalannya waktu, band ini telah berevolusi, menjelajahi pelbagai genre muzik yang semakin beraneka.

    Peminat akan dibawa melalui pelbagai emosi, menikmati lirik yang penuh makna dan melodi yang menyentuh hati, semuanya dilengkapi dengan teknologi visual terkini yang menggabungkan pencahayaan dinamik dan paparan skrin definisi tinggi. Ini akan memberikan pengalaman muzik yang lebih mendalam, di mana elemen visual dan muzik bersatu untuk membawa penonton ke dalam dunia 6ixth Sense.

    6ixth Sense dianggotai oleh enam ahli berbakat yang telah mencipta identiti unik dalam dunia muzik pop-rock:

    • Adi Priyo Sambodo (Adi) – Vokalis dengan vokal bertenaga yang menyentuh jiwa.
    • Mohd Faiz Azizi (Gjie) – Pemain keyboard yang menyempurnakan melodi dengan harmoni.
    • Zairul Azreen Shah (Harry) – Gitaris utama dengan riff dan solo memukau.
    • Shahrul Effendy (Athan) – Gitaris kedua yang menyokong melodi dan ritma.
    • Safuan Hasnan (Wan) – Dramatis yang membawakan tenaga dan tempo bertenaga.
    • Mohd Fairos (Ayoy) – Pemain bass yang menjadi asas kukuh kepada muzik mereka.

    Nama 6ixth Sense dipilih untuk menggambarkan hubungan emosi mereka dengan muzik, mirip dengan filem terkenal M. Night Shyamalan, yang memberi inspirasi kepada mereka untuk melampaui batas muzik konvensional dan menyentuh emosi penonton di luar kebiasaan.

    Sebagai Rakan Rasmi Pakaian, Converse Malaysia turut memeriahkan konsert ini dengan baucar eksklusif untuk pemegang tiket. Ini memberi lebih nilai kepada pengalaman menonton konsert, di samping menonjolkan komitmen Converse terhadap peminat.

    Jualan tiket untuk konsert ini telah bermula pada 3 Disember 2024, jam 10:00 pagi melalui laman web www.ticket2u.com.my/HORI20NTALSIXTHSENSE. Diharapkan peminat membeli tiket secepat mungkin, kerana acara ini dijangka akan laris dalam masa yang singkat.

    Maklumat Harga Tiket:

    • Tanpa: RM189.00 (Free Standing)
    • Bintang: RM259.00 (Seated)
    • Wajah: RM229.00 (Seated)
    • Memories – VIP Box: RM6,000.00 (10 pax)
    • Flowers – Couple Package: RM365.00 (2 pax)

    HORI20NTAL

    Konsep “Horizontal” adalah gambaran visual yang menggambarkan perjalanan dinamik kumpulan 6ixth Sense, mencerminkan perkembangan dan perubahan yang berterusan dalam kerjaya mereka. Pendekatan reka bentuk ini menekankan kelancaran dan pergerakan, menggambarkan bagaimana setiap cabaran dan kejayaan mereka membentuk cerita yang saling berkait dan tak terpisahkan.

    Reka bentuk mendatar ini memberi penekanan kepada sifat perjalanan mereka yang tidak pernah berhenti, menunjukkan bagaimana setiap detik dalam garis masa mereka memberikan ruang untuk menghargai ketahanan dan kebolehan menyesuaikan diri yang menjadi asas kejayaan mereka. Setiap pencapaian dan momen penting dalam perjalanan mereka dicatat dengan teliti dalam reka bentuk ini, mengajak penonton untuk mengimbau kembali detik-detik yang telah membentuk 6ixth Sense hingga ke hari ini.

    Dengan menggunakan grafik yang teratur, terdapat garis mendatar dan menegak yang saling melengkapi. Garis menegak melambangkan turun naik dalam kehidupan dan kerjaya mereka, sementara garis mendatar, yang mewakili perjalanan masa, bergerak dengan lancar ke hadapan, mencerminkan perkembangan yang stabil dan berterusan. Walaupun cabaran adalah sebahagian daripada kehidupan, garis mendatar ini lebih menonjol sebagai simbol perjalanan tanpa henti dan kejayaan berterusan 6ixth Sense dalam industri muzik.

    Angka “20” di dalam perkataan “HORI20NTAL” berfungsi sebagai simbol bagi perjalanan 20 tahun kumpulan ini, mengingatkan kita akan sumbangan besar mereka dalam dunia muzik. Letaknya angka ini di tengah-tengah reka bentuk, seimbang antara empat huruf di setiap sisi, menunjukkan kestabilan dan ketahanan yang telah menjadi ciri utama perjalanan mereka sepanjang tempoh yang panjang ini.

  • Zizi Safira Lancarkan Single ‘Merana’ Gabungan EDM Moden dan Tradisi Nusantara

    Zizi Safira Lancarkan Single ‘Merana’ Gabungan EDM Moden dan Tradisi Nusantara

    Penyanyi berbakat dari Sabah, Zizi Safira, kini melangkah ke satu fasa baru dalam karier muziknya dengan pelancaran single terbarunya, “Merana”. Lagu yang diterbitkan oleh Alternate Records & Talent ini menggabungkan elemen muzik moden EDM bersama sentuhan tradisional Nusantara, menjadikannya satu karya yang menarik untuk didengar oleh semua lapisan peminat muzik.

    Zizi Safira, yang mula menyanyi secara profesional pada tahun 2018, dikenali dengan suaranya yang bertenaga dan memukau. Sejak itu, beliau aktif dalam pelbagai pertandingan nyanyian dan telah menghasilkan tiga single yang dilancarkan di Sabah. Salah satu pencapaian besar dalam kerjayanya adalah kejayaannya menjuarai episod program popular TV3, I Can See Your Voice Malaysia, pada Julai 2024, yang membuka lebih banyak peluang dalam dunia muzik.

    Lagu “Merana” dihasilkan oleh komposer terkenal Mas Dewangga dan Jova Devito, dan ia mengisahkan tentang seseorang yang melalui pelbagai tekanan emosi namun memilih untuk bertahan dan melawan kesakitan itu dengan semangat dan keyakinan. Lagu ini memberikan mesej yang kuat mengenai ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup.

    Menurut Zizi, “Merana” merupakan lagu yang berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dibawakannya sebelum ini. Gabungan bunyi tradisional yang menyentuh perasaan dengan elemen moden membuatkan Zizi jatuh cinta dengan lagu ini sejak pertama kali mendengarnya. “Saya sangat teruja untuk mencabar diri sendiri dan memberikan yang terbaik dalam karya ini,” ujar Zizi.

    Bekerjasama dengan Mas Dewangga dalam lagu ini memberi pengalaman yang sangat bermakna baginya. “Kerjasama dengan Abang Mas Dewangga sangat berharga kerana beliau memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk menyampaikan lagu ini dengan cara saya sendiri. Proses rakaman juga sangat cepat dan lancar. Cabaran utama adalah untuk menyampaikan emosi yang mendalam, dengan karakter sinis, sambil mengawal vokal dan pernafasan untuk memberikan kesan yang maksimal,” tambah Zizi.

    “Merana” mengangkat genre EDM ke tahap yang lebih tinggi dengan menggabungkan elemen progressive house dan pop-dance bersama alat muzik tradisional. Mas Dewangga menyatakan, “Zizi adalah seorang penyanyi yang sangat profesional dan bertenaga. Vokalnya yang kuat memberikan impak besar dan menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar lagu EDM biasa.” Mas Dewangga berharap lagu “Merana” akan menjadi fenomena baru dalam industri muzik Malaysia dan meraih tempat di hati pendengar di platform digital serta acara muzik.

    Single “Merana” akan dilancarkan di semua platform digital pada 6 Disember 2024. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan Alternate Records & Talent, pengikut boleh melawat laman media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

  • David Totorial, Ester dan Rudy Zil Cipta Magis Melalui Single ‘Mencintaimu’

    David Totorial, Ester dan Rudy Zil Cipta Magis Melalui Single ‘Mencintaimu’

    Penyanyi muda tempatan Sabah, Rudy Zil, atau nama sebenarnya Mohd Fadzil Madi, telah melancarkan single terbaru berjudul ‘Mencintaimu’, hasil kolaborasi trio bersama Influencer Tiktok terkenal Sabah, David Totorial (Evid Bin Tamasing), dan penyanyi perempuan muda Sabah, Ester. Lagu ini menceritakan kisah seorang lelaki yang berada dalam dilema kerana pasangan yang curang, namun tetap bertahan dan terus mencintai pasangannya, memberi gambaran tentang ketabahan dalam hubungan.

    Rudy Zil, yang juga bertindak sebagai produser, berkongsi bahawa proses penciptaan lagu ini berlaku secara spontan. “Lagu ini saya hasilkan bersama David sebelum rakaman dimulakan, namun saya merasa ada rangkap yang sesuai untuk vokal perempuan. Oleh kerana David mengenali Ester, saya mencadangkan beliau untuk menyertai projek ini,” kata Rudy. Ester, yang merupakan penyanyi perempuan muda Sabah, turut memberikan sentuhan istimewa pada lagu ini dengan vokalnya yang memukau.

    David Totorial, yang terkenal dengan aktivitinya di Tiktok sejak awal 2023, menggunakan platform tersebut sebagai medium untuk mempromosikan perniagaannya. Menurut David, “Tiktok merupakan tujuan utama saya untuk memperkenalkan perniagaan saya kepada masyarakat dan mempermudah urusan bisnes.” Baru-baru ini, David meraih pengiktirafan apabila memenangi Anugerah KNKV VIRAL AWARD 2024 bagi kategori Best National Original Comedy dengan undian tertinggi, menewaskan calon-calon terkenal seperti Ryan Bakery, Dato’ Aliff Syukri, Pak Mat Western, dan Boss James.

    Rudy Zil yang aktif dalam dunia nyanyian serta penciptaan lagu dan lirik di Sabah, turut mengenali David sebagai influencer di platform Tiktok. Rudy menyatakan, “Saya mula mengenali David sebagai influencer di Sabah dan selalu mengikuti kontennya. Pada satu ketika, saya menghasilkan lagu Kaamatan untuk duet dan melamar David melalui akaun Tiktoknya. Dia bersetuju dan dari situ kami merakamkan lagu Kaamatan tersebut, yang seterusnya membawa kepada kolaborasi untuk lagu Mencintaimu.”

    Sebelum ini, Rudy Zil telah meriliskan beberapa single dan karyanya ditadbir oleh Luncai Emas. Ester, yang turut terlibat dalam projek ini, menyatakan rasa syukur kerana dapat bergabung dalam lagu Mencintaimu. “Such a beautiful song for those yang sedang mempertahankan cintanya. Terima kasih saya dapat menyertai David & Rudy dalam single terbaru mereka. Semoga lebih banyak projek bersama pada masa hadapan,” katanya.

    Ester, yang juga aktif dalam industri muzik, telah melancarkan beberapa single berbahasa Dusun seperti Rasam Id Ginawo dan Tupusku. Dengan kerjasama antara Rudy, David, dan Ester, lagu Mencintaimu diharapkan dapat menarik perhatian pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda yang sedang mencari lagu-lagu dengan mesej mendalam.

    David turut menyatakan harapannya, “Semoga lagu ini diterima dengan baik oleh masyarakat luar dan dapat menyebarkan mesej cinta yang tulus. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam projek ini.”

    Muzik video untuk single Mencintaimu telah dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas, dan lagu ini kini boleh didapati di platform streaming, termasuk YouTube dan iTunes. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar rasmi untuk single ini secara digital. Dengan lagu yang penuh dengan emosi dan sentuhan muzikal yang memikat, diharapkan Mencintaimu dapat menambat hati peminat muzik tempatan dan luar negara, serta menarik perhatian generasi muda yang mencari lagu-lagu berkualiti.

  • Rockers Malaysia Kembali Bersatu di Konsert Rock Kapak 2!

    Rockers Malaysia Kembali Bersatu di Konsert Rock Kapak 2!

    Konsert Rock Kapak yang telah dianjurkan oleh Boss Production dan Attah Music pada 7 Oktober 2023 lalu berjaya mencatatkan sejarahnya sendiri dengan sambutan hangat dari peminat muzik tanah air. Kejayaan konsert tersebut bukan sahaja membawa nostalgia kepada peminat muzik Rock era 1980-an, tetapi juga membangkitkan semula kegemilangan serta populariti muzik rock yang pernah mendominasi industri muzik Malaysia. Keunikan persembahan yang ditawarkan pada malam tersebut benar-benar meninggalkan kesan mendalam di kalangan penonton, menghidupkan semula kenangan indah zaman kegemilangan rock tanah air.

    Menyedari permintaan tinggi daripada peminat dan sambutan yang luar biasa, Attah Music kini kembali dengan lebih besar dan lebih meriah. Konsert Rock Kapak 2 dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu, 28 Disember 2024, di Panggung Asia, Kuala Lumpur. Konsert ini bakal menyaksikan penampilan band-band rock terkenal Malaysia yang pernah mencipta nama di era 1980-an, antaranya Gamma, Gravity, RockapaK Band, bersama penampilan istimewa daripada Amir SYJ/SOFEA serta Joe Rockers. Dengan gabungan band-band legendaris ini, konsert ini pastinya akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat para peminat.

    Konsert kali ini dijangka akan mempersembahkan suasana yang berlainan berbanding konsert pertama. Pemilihan band yang beraksi akan membawa penonton menyelami semula era muzik heavy rock yang gemilang, diselang-seli dengan lagu-lagu balada popular yang pernah mendominasi radio dan jukebox tanah air. Lagu-lagu ikonik dari band-band ini masih tetap mendapat tempat di hati peminat setia, dan hingga kini, lagu-lagu tersebut tidak pernah jemu untuk didengar. Suasana nostalgia yang bakal dibawakan pada malam tersebut akan mengingatkan penonton tentang zaman kegemilangan muzik rock di Malaysia.

    Selain daripada persembahan yang mengasyikkan, konsert ini turut dimeriahkan dengan hadiah cabutan bertuah yang menanti pengunjung. Hadiah-hadiah menarik termasuklah amplifier gitar, gitar elektrik, gitar akustik, alat-alat muzik, t-shirt eksklusif, poster, button band, pakej percutian, serta pelbagai barangan lain yang ditaja oleh 72 Guitar Hunters, Scorpions Bikers, Mentari Merah Entertainment, Rockstage Entertainment, dan AR Travel and Tours. Selain itu, pengunjung yang tampil bergaya dengan pakaian rock terbaik pada malam konsert juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai, sijil penghargaan, dan pelbagai cendera hati menarik tajaan Pemburu Buah Group. Tak ketinggalan, merchandise konsert serta barangan daripada band-band yang terlibat juga akan dijual sepanjang acara berlangsung.

    Konsert Rock Kapak 2 ini pastinya akan menjadi pertemuan yang dinantikan oleh para peminat muzik rock. Selain menikmati persembahan hebat, pengunjung berpeluang beramah mesra dan bergambar bersama artis-artis rock kesayangan mereka, sama ada sebelum atau selepas persembahan. Ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana peminat rock sejati.

    Tiket untuk Konsert Rock Kapak 2 dijual pada harga RM100.00 seorang dan boleh didapati dengan menghubungi wakil-wakil tiket berikut: MM (019-2407 994), Chip Malaya (019-694 7784), Epain (017-249 4273), dan Linda (019-233 3435). Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi nombor-nombor yang disediakan atau melayari laman Facebook rasmi di Facebook Attah Music.

    Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang luar biasa ini. Jom, datang beramai-ramai ke Panggung Asia, Kuala Lumpur, pada 28 Disember 2024, dan saksikan sendiri persembahan penuh tenaga dan semangat daripada band-band rock Malaysia yang ikonik.

  • Konsert Sumandak Stars Cipta Fenomena di Zepp Kuala Lumpur!

    Konsert Sumandak Stars Cipta Fenomena di Zepp Kuala Lumpur!

    Konsert A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku yang dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka, Orange International Entertainment, mencipta sejarah baharu apabila sembilan penyanyi wanita dari Sabah, iaitu Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie, berjaya memukau ribuan penonton di Zepp, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan konsert tersebut. “Malam ini adalah bukti betapa hebatnya bakat dari Sabah yang telah mencipta nama di industri muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk semua artis yang terlibat,” ujarnya.

    Kesemua sembilan artis tersebut berkumpul di atas satu pentas untuk memberikan persembahan yang luar biasa. Dengan suara memukau dan gaya unik masing-masing, malam tersebut penuh dengan emosi, hiburan, dan nostalgia bagi peminat yang hadir. Konsert dimulakan dengan lagu Sumandak Sabah yang menggegarkan dewan, diikuti dengan persembahan Wani Kayrie yang membawakan lagu popular Aiman Tino dengan aksi yang memukau. Ayu Damit kemudian mengimbau kenangan manis dengan lagu Hanya Di Mercu, mengingatkan peminat ketika beliau menjuarai One In A Million musim kedua hampir dua dekad lalu.

    Marsha Milan tampil cemerlang dengan lagu Cinta yang menduduki tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36). Seterusnya, Bella dan Didi Astillah, dua adik-beradik berbakat, menyanyikan lagu Bermanja-manja bersama, sebelum Bella memukau dengan lagu solo Tapi Bukan Denganmu. Persembahan terus memanas dengan Nikki Palikat, Adira Suhaimi, dan Ayu yang menghangatkan suasana dengan lagu Drama. Salma, juara Mentor musim kelima, turut tidak mengecewakan dengan lagu Aku Permata, dan Adira melengkapkan persembahan dengan lagu hitnya Pujaan Hati. Akhirnya, Azharina, dikenali sebagai Queen of Soul, menutup konsert dengan vokal padu menerusi lagu Rawan, Seandainya, dan Elegi Sepi.

    Sebagai kejutan istimewa, kesemua artis bersatu di akhir acara untuk menyanyikan medley lagu Anak Kampung dan Original Sabahan, menciptakan suasana penuh keakraban dan nostalgia. Dato’ Fadzli turut melahirkan rasa optimis terhadap masa depan Orange International, dengan berkata, “Kami sentiasa mencari cara untuk menghadirkan hiburan berkualiti dan bermakna.”

    Konsert ini turut mendapat sokongan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, dengan sambutan luar biasa daripada peminat dari Sabah, Semenanjung Malaysia, Singapura, dan Brunei. Selain itu, ia turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya. Orange International Entertainment merancang untuk membawa konsert ini ke Sabah pada tahun depan. “Selepas kejayaan ini, kami merancang lebih banyak acara yang akan menampilkan gabungan artis dari pelbagai genre dan latar belakang untuk memberikan pengalaman muzik yang pelbagai kepada peminat di seluruh negara,” tambah Dato’ Fadzli.

    Kejayaan konsert ini sekali lagi membuktikan komitmen Orange International dalam menyediakan platform untuk mempamerkan muzik berkualiti dan menyatukan rakyat Malaysia serta negara serantau dalam semangat kesatuan melalui seni. Tahniah kepada semua artis dan pasukan yang terlibat atas kejayaan gemilang ini!

  • Hazama Kembali Dengan Album Kedua ‘Pujangga’

    Hazama Kembali Dengan Album Kedua ‘Pujangga’

    Setelah menanti selama 11 tahun, peminat Hazama Ahmad Azmi akhirnya disajikan dengan sebuah karya penuh yang ditunggu-tunggu. Album kedua beliau yang bertajuk Pujangga kini berada di pasaran sejak 29 November 2024. Album ini hadir sebagai cenderahati yang sangat bermakna, mengingatkan kita pada perjalanan panjang Hazama dalam dunia muzik.

    Pujangga memuatkan 10 lagu yang digarap dengan penuh teliti dan kualiti tinggi. Ia merupakan usaha hasil gabungan dua syarikat, HAZAMAWORKS SDN BHD dan SILENT KAIJU STUDIO, dengan Hazama sendiri bertindak sebagai penerbit album. Isteri beliau, Genervie Kam, dan rakan rapatnya, Zimi, turut membantu sebagai penolong penerbit untuk memastikan album ini memenuhi piawaian muzik yang tinggi.

    Album ini dirakamkan di beberapa lokasi termasuk Royale Chulan, Cherating, dan Tokyo, Jepun. Vokal, mixing, serta mastering dilakukan di KPRO STUDIO, Cheras Perdana. Hazama memilih judul Pujangga kerana ia menggambarkan keseluruhan konsep dan isi album yang penuh dengan makna. Menurut Hazama, Pujangga merujuk kepada seorang pengarang sajak atau ahli fikir yang menyampaikan cerita melalui seni, dan album ini adalah karya yang membawa cerita dalam bentuk melodi dan lirik.

    Dengan banyak pemuzik yang kini lebih cenderung untuk mengeluarkan single, Hazama mengambil keputusan berani untuk menghasilkan album penuh. Pujangga bukan hanya sebuah karya muzik, tetapi juga sebuah langkah berani dalam kariernya sebagai pemuzik dan penerbit album. Menyatakan hasrat untuk mengembalikan era album fizikal yang kaya dengan cerita, Hazama berharap peminat dapat menikmati karya yang lebih mendalam dan penuh makna.

    Beberapa lagu dalam album ini sudah mula diperdengarkan kepada peminat melalui platform media sosial, antaranya “Di Mimpiku” dan “Semacam Pandora”, yang memberikan gambaran awal mengenai arah muzik Pujangga. Hazama mengakui bahawa meskipun album ini dipenuhi dengan karya baru, ia tetap berpegang pada identiti muzik yang telah dikenal pasti oleh peminat setianya.

    Dengan harapan agar Pujangga dapat mengubat kerinduan peminat terhadap karyanya, Hazama turut mengungkapkan bahawa album ini menjadi bukti komitmen dan usaha keras beliau dalam menghasilkan karya yang tak hanya relevan, tetapi kekal dalam sejarah muzik tempatan.

    Kini, Pujangga yang diterbitkan di bawah SONY MUSIC, telah pun dipasarkan di seluruh Nusantara dan tersedia untuk dinikmati oleh para peminat muzik di seluruh dunia.