Category: Entertainment

  • TV3 & Alternate Records Cipta Sejarah di ContentAsia Awards 2025!

    TV3 dan Alternate Records sekali lagi mengukir kejayaan gemilang apabila merangkul dua anugerah berprestij di ContentAsia Awards 2025 yang berlangsung di Taipei pada 4 September 2025. Kemenangan ini menegaskan keunggulan mereka sebagai peneraju industri muzik kreatif dan kandungan negara di pentas antarabangsa.

    Lagu popular Hening Rindu nyanyian Marsha Milan yang menjadi runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3 telah diumumkan sebagai pemenang Gold Award bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. Karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna ini bukan sahaja berjaya memikat hati penonton tempatan, malah mendapat pengiktirafan antarabangsa, setanding dengan pencalonan lain dari seluruh Asia. Gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan bunyi yang penuh emosi dan keserasian dengan jalan cerita drama menjadikan Hening Rindu elemen penting kepada kejayaan siri tersebut. Pengiktirafan di ContentAsia Awards 2025 ini sekaligus membuktikan bahawa karya tempatan mampu berdiri sebaris dengan produksi antarabangsa.

    Antara pencalonan lain dalam kategori ini ialah Bad Guys daripada BASE Entertainment dan CJ ENM Hong Kong Limited, Furever Yours oleh Mediacorp Pte Ltd, Karuvanam hasil kolaborasi Mediacorp Pte Ltd dan Storybots Asia, Lamput Season 4 – Boss On The Moon oleh Warner Bros. Discovery dan Shape of Love daripada Hakka TV / LUMINOSO FILM CO., LTD. Anugerah Gold ini diterima oleh Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik dan Produksi Dalaman Media Prima Television Networks bagi pihak produksi. Shahila menyatakan bahawa kejayaan Hening Rindu bukan sahaja menyentuh jiwa penonton tempatan tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan mampu menembusi persaingan serantau dan meraih pengiktirafan dunia.

    Selain itu, TV3 turut membawa pulang Silver Award bagi kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia menerusi dokumentari Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1. Program ini bukan sekadar dokumentari biasa, tetapi sebuah karya penuh emosi yang mengetengahkan tragedi sebenar dengan mesej sosial yang mendalam. Kemenangan ini menegaskan peranan TV3 sebagai penerbit kandungan berimpak tinggi yang mampu membawa isu masyarakat ke pentas antarabangsa. Ahmad Farith Zahir, Penerbit Eksekutif Fail Mahkamah, menjelaskan bahawa kes Zulfarhan bukan sekadar kisah jenayah, tetapi pengajaran tentang amanah, persahabatan dan kepercayaan yang dikhianati. Dua episod khas dokumentari ini memberikan peluang kepada penonton untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana tragedi tersebut berlaku dan membuka perbincangan tentang isu buli dan penderaan yang masih wujud dalam masyarakat.

    Episod khas Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1 kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton, memberi penonton pengalaman lebih mendalam untuk memahami kisah yang sarat pengajaran ini. Majlis anugerah ContentAsia 2025 menghimpunkan lebih 150 pencalonan dari pelbagai negara Asia dan disiarkan secara langsung melalui platform digital ContentAsia dengan AXN sebagai rakan penyiar rasmi Red Carpet. Kemenangan ini sekali lagi mengangkat martabat industri hiburan dan kandungan produksi Malaysia ke peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu unggul di pentas global.

  • Generasi “Perfect 10”: Cabaran, Impian, dan Pencarian Identiti

    Astro Originals kembali menampilkan karya baharu yang menjanjikan pengalaman menonton unik kepada penonton seluruh Malaysia melalui siri drama Generasi: Perfect 10. Drama ini diinspirasikan daripada pengalaman seorang gadis remaja yang bercita-cita menjadi atlet gimnastik profesional dan menyoroti perjalanan emosinya dalam mengejar impian serta membentuk identiti diri. Siri ini akan mula ditayangkan pada 19 September 2025, setiap hari Jumaat jam 12 tengah malam di OnDemand atau jam 9 malam di Astro Ria dan Astro Citra.

    Sebagai siri bertemakan sukan pertama daripada Astro Originals, Generasi: Perfect 10 membawa penonton menyelami dunia kompetitif atlet gimnastik profesional dan menyingkap cabaran emosi yang jarang dipaparkan di kaca televisyen Malaysia. Kisah ini mengikuti perjalanan Ezie, seorang gadis yang meminati gimnastik sejak kecil. Apabila kelab gimnastik sekolahnya ditutup secara tiba-tiba, Ezie mengambil langkah berani dengan memohon ke akademi sukan paling berprestij di negeri tersebut. Penerimaan ke akademi tersebut membuka lembaran baharu dalam kehidupannya yang dipenuhi persaingan sengit, perkembangan peribadi, dan realiti pahit yang perlu dihadapi dalam mengejar impian.

    Drama ini juga menekankan isu sosial yang mendalam, termasuk pencarian arah hidup, kepentingan sokongan keluarga dalam membina keyakinan diri, ketabahan wanita dalam mengejar cita-cita, dan semangat bersaing untuk mengubah nasib. Siri ini diarahkan oleh Sling Ng dan dikendalikan oleh showrunner Nas Addina. Barisan pelakon utama termasuk Arena Wan sebagai Ezie, Arabella Ellen sebagai Victoria, Sofia Jane sebagai Coach Sue, Ellyza Azizi sebagai Amal, Daniel Fong sebagai Jun, Sharifah Sakinah sebagai Coach Farah, Qi Razali sebagai Azfar dan Sherie Merlis sebagai Nazma. Turut membuat penampilan istimewa adalah legenda atlet negara, Farah Ann, yang juga bertindak sebagai penasihat.

    Penerbit Eksekutif Generasi: Perfect 10, Raja Jastina Raja Arshad, berkata siri ini menampilkan naratif yang menyentuh tema kemanusiaan dan sosial, khususnya bagi gadis remaja yang sedang mencari identiti dan mengejar impian mereka. Menurutnya, siri ini juga bertujuan mengangkat semangat atlet Malaysia dan komuniti yang membentuk mereka, serta menonjolkan ketahanan dan kuasa transformasi yang mendefinisikan mereka sebagai seorang juara.

    Generasi: Perfect 10 turut menampilkan kolaborasi strategik bersama Goodday Charge, susu diperkaya pertama di Malaysia dengan 10 nutrien penting yang membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari. Kerjasama ini melibatkan promosi pemasaran kedua-dua jenama serta penempatan produk, termasuk video khas berdurasi 30 saat untuk Goodday.

    Eksklusif kepada penggemar siri premium Astro Originals, Generasi: Perfect 10 boleh ditonton lebih awal secara On Demand melalui Astro GO bermula jam 12 tengah malam, serta di aplikasi sooka. Penonton juga boleh mendapatkan informasi terkini dan menonton klip menarik melalui platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw termasuk Instagram, TikTok, Facebook, dan X. Selain itu, siri ini turut boleh distrim melalui Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99 sebulan atau tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Entertainment pada harga RM139.99 sebulan. Maklumat lanjut untuk melanggan atau menaik taraf boleh diperoleh di laman web rasmi Astro atau melalui WhatsApp.

  • YKAT Lancar Konsert Budi Kasih Malaysia 2025, Janji Hiburan & Amal Bersatu

    Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Malaysia (YKAT) bakal menganjurkan sebuah konsert amal istimewa bertajuk “Konsert Budi Kasih Malaysia 2025” yang menghimpunkan nama-nama besar dalam industri muzik tanahair untuk sebuah malam penuh seni, kasih, dan keprihatinan. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2025, bermula pukul 8 malam hingga 10.30 malam di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Majlis ini akan diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Haji Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sebagai Tetamu Kehormat.

    Menurut Datuk DJ Dave, Pengerusi YKAT, konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi juga merupakan usaha untuk menghargai insan seni yang telah lama berjasa dalam dunia seni tanahair. Dana yang dikumpul akan disalurkan bagi membantu kebajikan artis veteran serta menyokong penggiat seni yang memerlukan bantuan.

    Konsert ini akan menampilkan persembahan daripada barisan penyanyi lagenda dan generasi baharu dengan konsep eksklusif yang menggabungkan elemen tradisional dan moden. Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Datuk DJ Dave, Dato’ M Nasir, Dato’ Nash, Dato’ David Arumugam bersama Alleycats, Dato’ Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Suki Low, Bella Astillah serta Pasukan Tarian Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Wilayah Kuala Lumpur.

    Orang ramai, syarikat korporat dan badan kerajaan dijemput untuk turut menyokong konsert ini dengan mendapatkan meja atau tiket individu. Hasil sumbangan akan menjadi pemangkin semangat buat dunia seni tanahair untuk terus berkembang. Konsert ini menawarkan beberapa kategori harga untuk pembelian meja dan tiket individu bagi memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk hadir menyaksikan persembahan sambil menyumbang ke arah kebajikan artis tanahair. Pembelian boleh dilakukan secara terus melalui pihak pengurusan YKAT di talian 019-988 3172.

    Datuk DJ Dave menekankan bahawa jualan tiket terhad kepada 500 orang sahaja dan berharap rakyat Malaysia akan bersama-sama menjayakan konsert ini. Beliau menambah bahawa harga yang ditawarkan sangat berbaloi kerana para penonton bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan yang memukau tetapi juga menikmati makan malam dalam suasana yang selesa.

    Selain persembahan, malam konsert ini turut menyaksikan penyampaian tiga anugerah iaitu Ikon Pelakon, Ikon Penyanyi dan Ikon Pemuzik. Beberapa aktiviti lain juga telah dirancang oleh pihak YKAT bagi terus menjaga kebajikan artis tanahair. Bagi maklumat lanjut mengenai program YKAT, orang ramai boleh menghubungi Pengurus YKAT, Cik Salmiyah di talian 019-9883172.

  • Hujan Dedikasi Lagu “Demi Lencana Di Dada” Sebagai Lagu Rasmi Harimau Malaya

    Demi menyemarakkan semangat membara bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada penyokong Harimau Malaya, terjalin sebuah kerjasama utuh antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melahirkan single berjudul Demi Lencana Di Dada. Lagu ini dibawakan oleh kumpulan Hujan yang sememangnya dikenali sebagai salah satu gergasi muzik tempatan, menjanjikan sesuatu yang istimewa untuk memanaskan lagi suasana bola sepak tanah air.

    Dilancarkan secara rasmi pada 5 September, Demi Lencana Di Dada bukan sekadar sebuah karya muzik biasa. Ia diangkat sebagai lagu rasmi skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, yang diyakini mampu memperkuat semangat kesukanan dan membangkitkan rasa patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia ketika menyokong pasukan negara di pentas bola sepak.

    Menurut vokalis Hujan, Noh, idea projek ini mula digerakkan sejak Februari 2025 dengan penekanan terhadap kualiti muzik, lirik serta mesej yang ingin disampaikan. Beliau menyatakan rasa bangga dan terharu apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya kerana baginya, bola sepak sudah sebati dengan jiwa rakyat Malaysia. Menurutnya lagi, lagu ini bukan sekadar sebuah melodi tetapi semangat yang mampu menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan tanah air.

    Lagu ini diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September sempena perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Singapura. Ia turut akan dimainkan pada perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September 2025. Noh mengakui bahawa proses merakamkan lagu ini bukanlah mudah kerana mereka perlu menyampaikan semangat Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Setiap bait lirik dan setiap nada yang dibawakan perlu benar-benar membakar semangat pemain di padang dan penyokong sama ada di stadium mahupun di rumah.

    Seperti yang diketahui, muzik berperanan besar dalam menghidupkan semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak. Ia juga menjadi medium yang mampu menghubungkan satu generasi dengan generasi lain, selain menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Justeru, Demi Lencana Di Dada bukan sahaja menyuntik semangat perpaduan malah diyakini mampu mendorong pemain Harimau Malaya untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

    Hujan menzahirkan harapan agar bola sepak Malaysia terus melangkah maju bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga sebagai platform untuk menyatukan rakyat Malaysia. Mereka percaya bola sepak mempunyai kuasa luar biasa untuk menghubungkan masyarakat, dan dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia mampu terus melakar sejarah yang membanggakan.

    Demi Lencana Di Dada diterbitkan hasil kerjasama erat antara WMM dan FAM, sekaligus menjadi lagu rasmi pertama pasukan kebangsaan yang lahir daripada inisiatif kedua-dua pihak ini. Lagu tersebut boleh distrim di semua pelantar digital bermula 5 September manakala lirik video rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube WMM.

  • Sharul Kamal Sertai Rocketfuel Entertainment, Lancar Single Pertama “Emas”

    Penyanyi, komposer dan pelakon berbakat besar, Sharul Kamal kini melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan seninya apabila secara rasmi menandatangani kontrak bersama label ternama Rocketfuel Entertainment. Sebagai seorang pemuzik versatil yang sebelum ini bergerak secara bebas, langkah ini menjadi titik permulaan penting buat dirinya untuk berkembang lebih jauh dalam dunia seni suara.

    Sharul tampil dengan dua buah karya istimewa sebagai pembuka lembaran baharu, iaitu single pertamanya berjudul “Emas” dan single kedua “Bayangan” yang bakal menjadi runut bunyi rasmi filem aksi Magik Rompak. Lagu “Emas”, sebuah balada mellow yang sarat dengan nuansa rock, telah pun dilancarkan pada 18 Ogos lalu lengkap dengan video muzik rasmi. Bagi Sharul, karya ini bukan sekadar sebuah lagu tetapi simbolik kepada permulaan baharu dalam kerjaya muziknya, selain memperlihatkan sisi emosinya yang penuh perasaan namun tetap mengekalkan identiti rock yang sudah sinonim dengan dirinya.

    Tidak lama selepas itu, Sharul akan mempersembahkan single keduanya berjudul “Bayangan”, sebuah lagu ciptaannya sendiri bersama sahabat serta kolaborator lama, Aepul Roza. Lagu ini lebih istimewa apabila dipilih sebagai lagu tema rasmi filem Magik Rompak, sebuah karya aksi berskala besar yang menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 11 September 2025. Sharul meluahkan rasa bangga apabila “Bayangan” diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada nadi emosi dalam jalan cerita filem tersebut, manakala Aepul pula menyifatkan kerjasama ini sebagai satu bukti keyakinannya terhadap bakat dan visi muzik Sharul.

    Langkah Sharul bersama Rocketfuel turut dilihat sebagai peluang besar untuk mengembangkan bakatnya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke peringkat serantau. Beliau menekankan betapa pentingnya sokongan sebuah pasukan yang mempercayai visinya sebagai seorang artis. Dengan dua single yang sarat dengan jiwa dan keikhlasan, Sharul berharap muziknya mampu diterima bukan hanya sebagai hiburan tetapi juga sebagai karya yang meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

    Kini, dengan vokal bertenaga, sentuhan emosi yang tulus serta sokongan padu daripada Rocketfuel Entertainment, Sharul Kamal bersedia melangkah lebih jauh mewarnai industri muzik tanah air. Single “Emas” boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music, manakala “Bayangan” bakal menemui peminat bermula 5 September 2025.

  • Noryn Aziz Tampil Dengan “Kaki Kiriku” & Showcase Eksklusif

    Penyanyi jazz tersohor tanah air, Noryn Aziz, kembali mewarnai industri muzik dengan kejutan istimewa untuk para peminat yang setia menyokong perjalanan seninya. Baru-baru ini, beliau mengumumkan bakal menghadiahkan sebuah showcase eksklusif berjudul This Is Noryn Aziz yang akan berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur. Lebih mengujakan, Noryn turut muncul dengan single terbaharu berjudul Kaki Kiriku, sebuah karya segar yang menggabungkan elemen jazz klasik, joget tradisional serta sentuhan Parisian jazz.

    Selepas sekian lama tidak tampil dengan lagu berentak moderate dan rancak, Noryn memilih untuk kembali dengan sesuatu yang unik dan berbeza. Kaki Kiriku, hasil ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng serta lirik oleh Reza Salleh, menampilkan sisi eksperimental beliau sebagai penyanyi yang berani bermain dengan konsep. Kali terakhir, Noryn tampil dengan single balada penuh emosi berjudul Kertas. Maka, kemunculan Kaki Kiriku menandakan fasa baharu yang lebih segar dan bertenaga dalam katalog muziknya.

    Menurut Noryn, lagu ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah misi kecil untuk mengangkat keindahan bahasa Melayu serta warisan budaya melalui muzik. Dengan diterbitkan oleh Moonshine Productions dan dihasilkan sepenuhnya oleh Hin Ee Jeng, Kaki Kiriku turut menampilkan barisan pemuzik hebat seperti KJ di bahagian drum, Che Wan (double bass), Hady Afro (gitar) serta Farid Izwan (klarinet). Proses rakaman, adunan dan mastering dijalankan oleh Rozhan Razman di RMP Productions manakala vokal Noryn dirakam oleh Yee Xing di Little Bad Music MY.

    Keistimewaan utama lagu ini terletak pada penggunaan tongue twister Melayu yang terkenal, antaranya “Kakakku kata kuku kakiku kaku, ku kikis kikis kuku kaki kiriku”. Bagi Noryn, elemen permainan lidah ini bukan sahaja menjadikan lagu lebih catchy dan mesra khalayak, tetapi juga sebagai penghargaan kepada bahasa Melayu yang kaya dengan ritma dan jenaka. Beliau mahu generasi muda merasai bahawa bahasa kita penuh keseronokan dan tidak pernah membebankan.

    Muzik video Kaki Kiriku yang diarahkan oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim pula dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin. Noryn tampil anggun dalam kebaya hasil rekaan Collaborate Store, Four Season dan Calvin Thoo. Pemilihan kebaya bukan sahaja menambah elemen visual yang indah, tetapi juga melambangkan warisan, keanggunan serta kekuatan wanita Melayu. Lagu ini seterusnya menjadi sebahagian daripada konsep album baharu Noryn yang menggabungkan jazz fusion, joget tradisional, Parisian jazz, serta sentuhan soul moden.

    Selain single terbaharu ini, Noryn turut mengundang para peminat menghadiri showcase eksklusif This Is Noryn Aziz. Persembahan satu malam di Auditorium DBKL itu menjanjikan sebuah pengalaman intim dan penuh jiwa dengan alunan jazz, soul serta R&B yang telah menjadi identiti beliau. Showcase ini dibahagikan kepada dua babak utama. Babak pertama akan menampilkan karya-karya asli daripada album terdahulu seperti Fantasi Realiti dan Alam Maya sehingga ke single terbaharu Kaki Kiriku. Babak kedua pula meraikan sisi R&B dengan seleksi kontemporari serta kolaborasi bersama artis undangan.

    Bagi Noryn, This Is Noryn Aziz bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah perjalanan emosi dan budaya yang mencerminkan dirinya sebagai penyanyi, wanita dan anak Malaysia. Beliau mahu jazz tidak lagi dianggap asing atau eksklusif, sebaliknya hidup dalam landskap muzik Malaysia dengan ritma, bahasa dan jiwa kita sendiri.

    Dengan hanya 500 tempat duduk yang ditawarkan, showcase ini menjadi sebuah peluang eksklusif untuk peminat merasai pengalaman muzik yang dekat, penuh perasaan dan penuh nilai seni. Noryn Aziz tampil bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi juga untuk meraikan bahasa, budaya serta warisan Malaysia melalui muzik yang segar, autentik dan penuh jiwa.

  • Malam Gemilang AIM24 Dimeriahkan Artis Ternama

    Malam Gemilang AIM24 Dimeriahkan Artis Ternama

    Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) terus memperkukuhkan reputasinya sebagai acara muzik paling berprestij di tanah air apabila mengumumkan senarai barisan penghibur, pasangan hos serta penyampai trofi yang bakal memeriahkan malam kemuncak pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.

    Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudikan acara besar itu. Gandingan mereka yang sebelum ini mendapat pujian kerana keserasian dan kelancaran mengendalikan pentas dijangka akan mengekalkan momentum serta menjadikan AIM24 lebih meriah.

    Persembahan daripada barisan artis ternama turut dinantikan dengan kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Exists, Shila Amzah, Ernie Zakri, Black Hanifah, Ara Johari, Masdo dan ramai lagi yang bakal menggegarkan pentas dengan persembahan istimewa. Kehadiran Dolla pula menjadi tumpuan kerana bakal bergandingan dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, sekali gus membuktikan bahawa AIM24 memberi ruang kepada kolaborasi rentas negara.

    Ernie Zakri juga akan tampil dengan persembahan istimewa bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia, menambahkan lagi nilai antarabangsa pada malam berprestij itu. AIM24 kali ini turut meraikan artis baharu dengan memberikan peluang kepada finalis kategori Artis Baru Terbaik untuk mempersembahkan bakat masing-masing di pentas utama.

    Selain itu, pemenang 11 kategori terpilih bakal membawa pulang dana berjumlah RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif yang diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi. Anugerah Album Terbaik menawarkan ganjaran RM200,000 manakala kategori lain seperti Lagu Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik serta Artis Baru Terbaik masing-masing akan menerima dana RM50,000.

    Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim berkata, pemilihan barisan hos, artis dan penyampai dibuat berdasarkan kemampuan mereka yang konsisten dalam industri serta sejajar dengan tema AIM24, “Kemuncak Segala-Galanya”.

    AIM24 yang mempertandingkan 30 kategori keseluruhan termasuk empat kategori baharu akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan portal RTM Klik bermula jam 9 malam dengan acara karpet merah seawal jam 8 malam.

  • CSR Kreatif: Hello Bam Bam Buka Mata Tentang Kesihatan Mental

    CSR Kreatif: Hello Bam Bam Buka Mata Tentang Kesihatan Mental

    Hello Bam Bam bukan sekadar sebuah drama biasa, tetapi lahir sebagai satu inisiatif seni yang membawa misi besar untuk membuka mata masyarakat terhadap isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak, dan kehidupan insan terpinggir. Projek ini dihasilkan oleh penerbit Amy Mazurah dengan kerjasama MFI Group sebagai sebuah drama inspirasi yang sarat mesej positif, khususnya buat remaja yang berdepan tekanan hidup, masalah buli, kecenderungan bunuh diri, krisis identiti dan kezaliman sosial.

    Sebagai sebuah projek CSR, Hello Bam Bam menekankan mesej utama bahawa hidup memang penuh cabaran, namun tidak bermakna kita harus berputus asa. Lebih menarik, drama ini hadir dengan konsep interaktif yang membolehkan penonton memilih sendiri pengakhiran kisah, sama ada berakhir dengan kegembiraan atau kesedihan. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan penonton lebih terlibat, tetapi juga menyedarkan mereka bahawa setiap pilihan dalam hidup memberi kesan besar terhadap perjalanan seseorang.

    Selain menjadi medium hiburan, Hello Bam Bam turut membuka ruang kolaborasi kepada pempengaruh, artis tempatan, penaja dan rakan strategik untuk bersama menyuarakan isu kesedaran mental melalui platform digital TikTok yang begitu dekat dengan generasi hari ini. Antara pihak yang menyokong projek ini termasuk Tourism Johor serta beberapa penaja seperti Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp, Berjaya Waterfront Hotel, Majalah Santai Travel dan Restoran Kopihut.

    Projek ini juga menampilkan kehadiran seniman legenda era 90-an, Ady Wow, yang menyumbangkan sebuah lagu baharu berjudul “Luahan” sebagai runut bunyi rasmi drama Hello Bam Bam. Kehadiran lagu ini menambahkan lagi nilai emosi dan keindahan seni dalam naskhah yang penuh dengan makna kemanusiaan.

    Dari segi jalan cerita, Hello Bam Bam membawa penonton menyelami kisah tiga jiwa yang terpinggir, yang masing-masing berjuang melawan trauma silam, depresi, serta kekejaman masyarakat. Awin, lakonan Shafie Naswip, merupakan seorang khunsa yang sejak kecil menderita akibat dera dan buli di asrama anak yatim. Hidupnya berubah selepas diselamatkan oleh Deddy, seorang pendandan rambut flamboyan lakonan Diva AA, yang memberinya sinar baharu. Pertemuan Awin dengan Jojo, lakonan Hello Angah, seorang tomboy lantang yang pernah hampir menamatkan riwayat hidupnya sendiri, melahirkan persahabatan erat yang menjadi kekuatan untuk mereka berdua terus bangkit.

    Kehadiran Bam Bam, seorang kanak-kanak terbiar lakonan Bang Aji, membuka lembaran baharu dalam hidup mereka. Dalam keadaan serba kekurangan, Awin dan Jojo memilih untuk menjadi ibu dan ayah kepada Bam Bam yang hampir menjadi mangsa sindiket jalanan oleh ayah kandungnya sendiri. Keputusan itu bukan sahaja mengubah hidup mereka, malah menguji sejauh mana kasih sayang dan pengorbanan mampu bertahan dalam dunia yang penuh dengan tekanan, fitnah, dan kezaliman.

    Watak-watak antagonis seperti Black, majikan lama Jojo yang pendendam, serta Cik Wawa, tuan rumah kaya yang tamak dan tidak berperikemanusiaan, menjadi cabaran besar dalam kehidupan mereka. Namun di sebalik kesempitan, Awin dan Jojo tidak menyerah. Dengan kekuatan kasih sayang, sokongan sahabat, dan semangat untuk terus melindungi Bam Bam, mereka memilih untuk bangkit meskipun setiap langkah dilingkari ancaman.

    Hello Bam Bam hadir sebagai sebuah karya yang bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga mencerminkan realiti kehidupan tentang depresi, trauma, kemiskinan dan ketabahan insan yang sering dipinggirkan. Drama ini membawa mesej jelas bahawa kasih sayang, walaupun datang daripada insan yang tidak sempurna, mampu menyelamatkan jiwa dan memberi harapan baharu kepada mereka yang hampir berputus asa.

  • Luncai Emas Rangkul Pasaran Indonesia dengan Kolaborasi Rentas Negara

    Luncai Emas Rangkul Pasaran Indonesia dengan Kolaborasi Rentas Negara

    Lagu terbaru berjudul Rasa Sakit Rasa Rindu telah dilancarkan secara rasmi bersama video muzik pada 8 Ogos 2025 melalui saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital. Pelancaran ini menandakan langkah baharu Luncai Emas dalam usaha menembusi pasaran muzik Indonesia selepas kejayaan lagu Tiara dan Isabella yang sebelum ini berjaya memikat hati pendengar di seberang.

    Kolaborasi ini mempertemukan komposer eksklusif Luncai Emas, Sang Hitam, dengan penyanyi terkenal Indonesia, Andrigo. Lagu ini merupakan karya asli yang digarap dengan penuh emosi, membawa sentuhan Malaysia terus ke hati pendengar muzik serantau. Sang Hitam bukan sahaja penulis lirik dan komposer, malah juga penerbit muzik yang dikenali dengan keberanian mengangkat sisi gelap dan jujur kehidupan ke dalam karya seni. Hasil karyanya sering kali menyentuh tema kehilangan, cinta yang palsu dan harapan yang rapuh, menjadikan setiap ciptaan sebagai pengalaman emosi mendalam. Beliau pernah menghasilkan lagu untuk artis-artis Malaysia seperti Ariff Bahran, Luqman Faiz, Sufian Suhaimi, Wani Syaz dan ramai lagi. Antara karya terkininya termasuk lagu Gelora Jiwa Meronta Asmara yang dinyanyikan oleh Tomok dan Siti Nordiana.

    Menurut Sang Hitam, lagu Rasa Sakit Rasa Rindu memberi ruang kepada pendengar untuk merasai kesakitan kehilangan, indahnya rindu dan ketakutan membuka hati semula. Beliau turut berterima kasih kepada Andrigo kerana menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa dan kepada Luncai Emas kerana memberi peluang untuk karyanya diterbitkan di Indonesia.

    Andrigo, penyanyi asal Riau yang sudah lebih 16 tahun berkecimpung dalam arena muzik Pop Melayu, merupakan nama besar di Indonesia dengan lagu-lagu popular seperti Pacar Selingan, Demi Cinta, Cinta Yolanda dan Terbunuh Rindu. Pernah bernaung di bawah label NAGASWARA, beliau kini tampil dengan kolaborasi istimewa bersama Luncai Emas. Andrigo menyatakan bahawa Rasa Sakit Rasa Rindu merupakan nafas baru dalam kerjayanya dan berharap lagu ini diterima baik oleh pendengar Indonesia serta Malaysia. Menurutnya, lagu ini istimewa kerana digarap dengan sentuhan slow rock Malaysia yang kuat.

    Kerjasama ini juga tercetus hasil komunikasi awal antara Andrigo dengan pihak Luncai Emas untuk merakam semula lagu Isabella. Pertemuan dengan Dato’ M. Nasir dan Jennifah, selaku Pengarah Hakcipta Luncai Emas, membuka jalan kepada realisasi projek ini pada tahun 2025.

    Single Rasa Sakit Rasa Rindu diterbitkan dengan kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd. dari Malaysia dan PT Dua Suara Media dari Indonesia. Penerbitan muziknya dikendalikan oleh Dodhy dari kumpulan Kangen Band, manakala gubahan muzik disempurnakan oleh Sang Hitam. PT Dua Suara Media sendiri bukanlah nama asing dalam industri muzik Indonesia kerana pernah menerbitkan lagu-lagu popular termasuk Cinta Sampai Mati nyanyian Raffa Affar yang menjadi lagu luar negara persembahan tertinggi di Anugerah MACP dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

    Dengan kombinasi tenaga kreatif Malaysia dan Indonesia, lagu ini diyakini mampu menawan hati peminat muzik Nusantara. Ia menjadi bukti kesungguhan Luncai Emas untuk terus membawa karya ciptaan tempatan ke pentas antarabangsa melalui kolaborasi strategik bersama artis dan penerbit muzik serantau.

  • Loco Janji Aksi Panas di Kuala Lumpur, Scraps Tour 2 November

    Berita baik buat peminat K-rap di Malaysia apabila Loco bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Kuala Lumpur sempena jelajah terbaharu. 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 November ini, hari Ahad, jam 7 malam. Konsert ini dianjurkan oleh Starry Live Entertainment dengan kerjasama The WonderLand+.

    Jelajah ini diadakan bersempena pelancaran album studio ketiga Loco yang berjudul “Scraps”, sekali gus menjadi album pertama di bawah label Locomotive yang diasaskannya sendiri. Album tersebut menampilkan 12 buah lagu dengan gaya penceritaan tersendiri, selain menampilkan kolaborasi bersama Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri, antara artis lain. Untuk rangka jelajah Asia kali ini, Loco turut dijadualkan membuat persembahan di Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong.

    Loco mula mencuri perhatian pada tahun 2012 selepas muncul sebagai juara pertama rancangan televisyen rap Korea Selatan, “Show Me the Money”. Sejak itu, namanya terus melonjak sebagai salah seorang penyanyi rap terkemuka Korea dengan lagu popular seperti “No More”, “You Too” dan “Don’t Give It to Me”. Beliau juga pernah bekerjasama dengan ramai artis terkenal termasuk Hwasa, Crush dan Gray yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah satu nama besar dalam dunia hip-hop Korea.

    Pertunjukan Loco sering digambarkan sebagai persembahan intim tetapi penuh semangat. Beliau bukan sahaja bergantung pada visual, malah berjaya memukau penonton dengan karisma serta penguasaan pentas yang luar biasa. Selain persembahan dinamik, interaksi bersama peminat seperti sesi perbualan dan nyanyian bersama sering menjadi momen istimewa yang meninggalkan kenangan manis. Konsert di Kuala Lumpur ini dijangka akan mencerminkan perkembangan Loco bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai insan yang terus dekat dengan peminatnya.

    Tiket konsert akan mula dijual pada hari Jumaat, 5 September jam 11 pagi melalui my.bookmyshow.com. Peminat berpeluang menikmati pelbagai faedah eksklusif seperti sesi raptai, foto berkumpulan, sesi ucap selamat tinggal, kad cenderahati serta poster bertandatangan yang disediakan dalam jumlah terhad untuk kategori tertentu.

    Dengan reputasi hebat di pentas serta barisan lagu popular yang terus menjadi siulan, kemunculan Loco di Kuala Lumpur pastinya akan menjadi antara konsert yang paling dinantikan peminat K-rap pada tahun ini. Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diperoleh melalui laman Instagram rasmi Starry Live Entertainment serta halaman Facebook mereka.