Category: Awareness

  • Malam Amal Night Of Love & Compassion Sumbang Dana Untuk Pelajar Di Besut

    Malam Amal Night Of Love & Compassion Sumbang Dana Untuk Pelajar Di Besut

    Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran acara makan malam amal bertajuk ‘Night Of Love & Compassion’. Acara ini diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, terutamanya di sekitar kawasan Besut.

    Malam amal ini akan menampilkan dua penyanyi lagenda tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah, yang dijanjikan akan memberikan persembahan yang penuh emosi melalui rangkaian lagu-lagu hits mereka yang masih relevan hingga ke hari ini. Suara merdu mereka pastinya akan menyentuh jiwa semua yang hadir.

    Acara ‘Night Of Love & Compassion’ akan berlangsung pada 14 Disember 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Menurut Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, persatuan ini komited dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan, terutamanya dari latar belakang yang kurang beruntung.

    “Setiap tahun, kami mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyokong anak-anak di sekolah sekitar Besut, khususnya di Sekolah Tengku Mahmud. Dalam dua dekad ini, kami bergantung pada sumbangan ahli-ahli persatuan yang telah bersara, dan untuk itu kami perlu mencipta modal baru. Setelah berbincang, kami sepakat untuk mengadakan acara ‘Night Of Love & Compassion’,” jelas Dato’ Muhammad Nasir.

    TMESA juga berhasrat untuk meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 1000 pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah. “Program ini telah berjalan selama 16 tahun dan telah memberi sokongan kepada pelajar-pelajar yang benar-benar memerlukan. Kami melakukan temu duga sendiri untuk memastikan mereka layak. Ada pelajar yang hanya dapat makan nasi tiga kali seminggu, tetapi mereka sangat bersemangat untuk belajar. Antara mereka ada yang bercita-cita menjadi doktor, peguam, guru, dan ustaz,” tambahnya.

    “Jika acara makan malam ini berjaya, kami menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1 juta, yang akan digunakan untuk memperbaiki kemudahan di sekolah-sekolah ini,” katanya lagi dengan penuh harapan.

    Dalam pada itu, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa teruja dapat terlibat dalam program amal ini, bertekad untuk menyumbang demi memastikan pelajar-pelajar ini tidak tercicir dalam pelajaran. “Saya bersyukur kerana bakat yang dikurniakan Tuhan dapat saya manfaatkan untuk mengumpul dana dan membantu mereka yang memerlukan, terutama pelajar-pelajar,” ujarnya.

    Sementara itu, Datuk Hattan menyatakan komitmennya terhadap usaha amal seperti ini. “Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukanlah kali pertama saya menyertai program amal untuk membantu pelajar sekolah. Sejak awal kerjaya saya, saya berjanji untuk tidak menolak sebarang undangan dari pihak sekolah. Saya memahami kesukaran yang mereka hadapi, kerana saya juga pernah melalui zaman sukar,” katanya.

    Acara ‘Night Of Love & Compassion’ ini akan menawarkan sebanyak 98 meja dengan pelbagai pilihan harga untuk memenuhi pelbagai bajet:

    • Bronze: RM4,000 (20 meja)
    • Silver: RM6,000 (20 meja)
    • Gold: RM8,000 (16 meja)
    • Diamond: RM10,000 (16 meja)
    • Platinum: RM15,000 (16 meja)

    Tempahan dan pembelian meja boleh dibuat dengan menghubungi nombor yang tertera:

    • EN. HATTA: 018 223 9934
    • EN. NIK AHMAD: 019 452 4567
  • PruBSN AnugerahMax: Pelan Takaful Mampu Milik Serendah RM50 Sebulan

    PruBSN AnugerahMax: Pelan Takaful Mampu Milik Serendah RM50 Sebulan

    Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) telah melancarkan produk terbaharu mereka, PruBSN AnugerahMax, sebuah pelan takaful komprehensif yang menawarkan perlindungan serba lengkap bermula serendah RM50 sebulan.

    Produk ini direka khusus untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan perubatan dan kewangan pada harga yang berpatutan.

    Dengan rekod kejayaan produk terdahulu seperti PruBSN Anugerah dan PruBSN AnugerahPlus, PruBSN AnugerahMax kini memperkenalkan lebih banyak ciri fleksibel dan pilihan perlindungan yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

    Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, menjelaskan bahawa pelan ini hadir dengan 18 rider pilihan yang boleh ditambah untuk memperluaskan lagi skop perlindungan.

    Antara rider yang ditawarkan termasuk perlindungan penyakit kritikal, perlindungan kemalangan, serta peluang pelaburan yang lebih fleksibel.

    Menyedari statistik yang membimbangkan, di mana 70% belia Malaysia berumur antara 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko penyakit kardiovaskular, beliau menegaskan bahawa PruBSN AnugerahMax adalah jawapan kepada keperluan mendesak untuk perlindungan yang lebih menyeluruh dalam kalangan golongan muda.

    Selain itu, penyakit kronik seperti kanser di kalangan kanak-kanak turut menjadi isu utama dalam masyarakat Malaysia.

    Setiap tahun, lebih 700 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun disahkan menghidap kanser, menjadikan perlindungan perubatan yang komprehensif semakin kritikal.

    Kos rawatan perubatan pula dijangka terus meningkat dua kali ganda menjelang 2028, yang menambah beban kewangan kepada keluarga.

    Pelan seperti PruBSN AnugerahMax bertujuan untuk memberi jaminan kewangan yang kukuh dan akses kepada rawatan berkualiti, terutamanya bagi mereka yang menghadapi penyakit kritikal atau perlukan rawatan segera.

    PruBSN AnugerahMax menawarkan rider tambahan yang unik seperti Medic TotalCare, yang memberikan perlindungan lengkap untuk rawatan hospital, penjagaan kanser moden, dan penjagaan kesihatan mental.

    Crisis TotalCare pula meliputi 166 jenis penyakit kritikal, termasuk peringkat awal dan akhir, serta beberapa keadaan kesihatan mental yang kian mendapat perhatian.

    Ciri auto-pelanjutan pula membolehkan pelan ini dilanjutkan sehingga umur 100 tahun tanpa perlu menjalani proses pengunderaitan semula, memberikan ketenangan kepada pemegang polisi bahawa perlindungan mereka tidak akan terganggu walaupun usia meningkat.

    Menariknya, pelan ini juga memberikan ganjaran untuk pencapaian akademik melalui ciri EduAchieve Bonus, yang menawarkan bonus tunai kepada anak-anak berumur satu hingga 18 tahun yang menyertai pelan ini.

    Ganjaran ini diberikan kepada mereka yang mencapai keputusan cemerlang dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke tahap Sarjana dan PhD.

    Selain menggalakkan kecemerlangan akademik, ganjaran ini dapat dilaburkan semula untuk menyokong pendidikan masa depan anak-anak, sekaligus membantu merancang kewangan pendidikan yang lebih baik.

    Dengan lebih 400 individu telah dilindungi di bawah siri produk PruBSN, dan jumlah tuntutan mencecah hampir RM1 bilion, PruBSN AnugerahMax jelas menawarkan bukan sahaja perlindungan yang menyeluruh tetapi juga ketenangan fikiran kepada pelanggan.

    Pelan ini juga patuh Syariah, menjadikannya pilihan yang ideal untuk masyarakat yang mencari perlindungan takaful yang mengikut prinsip-prinsip Islam, sekaligus membina masa depan yang lebih cerah buat keluarga.

  • Perkukuh Semua Cawangan untuk Bantu Lebih Ramai Rakyat

    Perkukuh Semua Cawangan untuk Bantu Lebih Ramai Rakyat

    Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat, Klaus Lim (DNS), menyeru semua cawangan badan sukarelawan itu untuk bekerja sama dan memperkukuhkan jaringan mereka di seluruh negara. Menurut beliau, kolaborasi dengan pelbagai pihak adalah penting bagi melaksanakan lebih banyak program kebajikan yang bermatlamat untuk membantu rakyat yang memerlukan.

    Klaus Lim, yang juga dikenali sebagai ‘Abang Susu’, yakin bahawa kerjasama ini akan memudahkan pelaksanaan program-program yang dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran seperti rumah anak yatim dan rumah penjagaan orang tua. “Kerjasama ini juga membolehkan banyak dana dikumpul dan disalurkan kepada lebih ramai golongan memerlukan,” kata beliau.

    Beliau menambah, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban kerajaan, malah menggalakkan semua cawangan untuk bergiat aktif serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain. Dengan cara ini, lebih banyak bantuan dapat diberikan berdasarkan keperluan komuniti setempat.

    Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat kini mempunyai cawangan di pelbagai lokasi termasuk Teluk Intan (Perak), Melaka, Muar (Johor), Nilai (Negeri Sembilan), Pulau Pinang, Kelantan, dan Kuantan. Cawangan lain turut beroperasi di Miri dan Kuching (Sarawak), Ipoh (Perak), Klang (Selangor), dan Johor Bharu. Tidak ketinggalan, cawangan di luar negara seperti di Thailand dan Cambodia juga aktif membantu rakyat yang memerlukan.

    Dengan pengumpulan dana yang melibatkan semua cawangan, pertubuhan ini mampu menganjurkan pelbagai aktiviti sosial, termasuk membantu kanak-kanak yang menghadapi penyakit jantung, jantung berlubang, dan kanser untuk mendapatkan rawatan di hospital. Program khidmat sosial masyarakat (CSR) yang telah dilaksanakan adalah bukti komitmen pertubuhan ini dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

    “CSR yang diadakan ini bukan hanya sekadar membantu masyarakat, malah mempunyai misi untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kepada komuniti. Pada masa sama, ia juga dapat menyemai dan mewujudkan sikap kasih sayang sekali gus menarik minat masyarakat prihatin untuk turut sama membantu,” kata Klaus Lim.

    Dengan misi dan visi yang jelas, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat berusaha untuk memperluaskan lagi jaringan bantuan dan memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program-program kebajikan yang dijalankan.

  • VIT’S berkolaborasi bersama Datuk Khadijah Ibrahim sempena keluaran produk terbaharu “Ramen Asam Laksa Ibu”

    VIT’S berkolaborasi bersama Datuk Khadijah Ibrahim sempena keluaran produk terbaharu “Ramen Asam Laksa Ibu”

    Majlis makan malam amal yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia berjaya mengumpulkan lebih daripada RM 100,000.00 melalui hasil jualan meja daripada penderma yang telah menyertai majlis tersebut. Dana yang terkumpul ini akan membantu lebih daripada 100 ahli persatuan yang terdiri dari pelbagai golongan seperti golongan belakang tabir, individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam aktiviti seni di Malaysia. Dalam ucapannya, Dato’ Freddie Fernandez, selaku presiden persatuan, menyatakan kejayaan majlis tersebut dan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang.

    VIT’S, sebuah jenama mee segera Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 1975, juga turut membantu dengan memberikan sumbangan dana sejumlah RM 50,000 kepada Persatuan Karyawan. Pengarah Eksekutif VIT’S, En YT Lai, menyatakan bahawa inisiatif ini adalah untuk membentuk sebuah komuniti yang menghargai sumbangan seni dan memberi peluang kepada para seniman untuk terus berkarya.

    Selain sumbangan tersebut, VIT’S turut berkolaborasi dengan penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim, untuk menghasilkan produk Ramen Asam Laksa Ibu. Setiap pembelian produk ini akan menyumbang RM 1.00 kepada Persatuan Karyawan, dengan harapan agar masyarakat dapat membelinya sambil beramal.

    Produk Ramen Asam Laksa Ibu ini dilancarkan dalam Konsert Malam Amal tersebut oleh Yang di-Pertua Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Pengarah Eksekutif VIT’S Encik YT Lai, dan Datuk Khadijah Ibrahim.

    Konsert yang bermula pada jam 8 malam tersebut telah menyatukan penyanyi-penyanyi lagenda seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Dato’ Ramli Sarip, Rahimah Rahim dan ramai lagi dalam satu acara gemilang dan telah menghiburkan lebih dari seribu penonton yang terdiri dari penderma yang turut bersama turun padang berhibur sambil memeriahkan konsert ini.

    VIT’S turut menghidangkan menu “Ramen Asam Laksa Ibu’ di mana pengunjung boleh merasai sendiri produk tersebut. Produk keluaran terbaharu boleh didapati melalui aplikasi TikTok Shop vits_official.

    Segala informasi sila lawati www.vitsnoodles.com untuk maklumat lanjut.

  • SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) Menganjurkan Program ‘Nikmati Rezeki@SACC’

     

    Program CSR yang diadakan oleh SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) dengan tajuk ‘Nikmati Rezeki@SACC’ yang dimeriahkan dengan alunan qasidah dan tazkirah dari Ustaz Don Daniyal Biyajid merupakan inisiatif yang sangat positif dalam memberikan kesejahteraan kepada masyarakat tempatan. Kerjasama dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) juga menambah nilai kepada program tersebut dengan membawa kecerahan dan makna yang mendalam.

    Penglibatan daripada 50 orang pelajar Maahad Al-Iman Al-Adni dan 50 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia disantuni oleh para kakitangan dan keluarga SCSB yang hadir hampir 150 orang.

    “Saya menghargai agar majlis hari ini menjadi salah satu pengalaman yang berharga buat semua individu yang hadir, serta menjadi titik permulaan bagi usaha-usaha lebih besar dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat. Tanggungjawab kita tidak hanya terhenti di sini sahaja, sebagai ummah yang prihatin, kita wajar memberi perhatian kepada mereka kerana menjaga anak yatim ini ibarat bersama Rasulullah S.A.W. di syurga”, ujar Azlina Amran Ketua Pegawai Eksekutif SCSB.

    SCSB turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM5000 kepada rumah kebajikan dan Maahad Tahfiz selain pemberian duit raya dan saguhati sebagai tanda berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan dan membantu meringankan beban kedua-dua buah rumah tersebut.

    Tetamu yang hadir turut dapat menyumbang kepada YIDE yang kemudian akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan melalui kod QR yang disediakan pada bunting, meja dan skrin LED sepanjang Bufet Ramadan SACC yang berlangsung dari 14 Mac hingga 7 April 2024.

    Program CSR ini turut ditaja oleh Adabi dengan sumbangan produk-produk yang boleh dimanfaatkan oleh semua yang hadir terutama bagi penyediaan sahur dan iftar sepanjang bulan Ramadan ini.